TERIMA KASIH


counters

MTMR

Friday, January 3, 2014

LGE dakwa Muhyiddin beri 'sokongan provokatif'

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa BN cuba menguatkuasakan undang-undang Islam terhadap bukan Islam berikutan kejadian serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang mendakwa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi 'sokongan provokatif' terhadap cadangan Umno Selangor untuk mengadakan protes di hadapan Gereja Katolik di negeri itu Ahad ini bagi menghalang penganut Kristian menggunakan nama 'Allah'.

"Tak pernah lagi parti pemerintah dibenarkan membuat demonstrasi di hadapan rumah ibadat dan ketiga-tiga perdana menteri awal kita akan tidak setuju dengan tindakan tidak bertamadun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Dr Ong Kian Ming menganggap serbuan tersebut hanya menakutkan masyarakat Kristian di negeri Selangor.

"Jika diambil (tindakan) secara ektrem, adakah JAIS akan menyerbu semua gereja di Selangor yang mengadakan upacara dalam Bahasa Malaysia di mana perkataan yang tidak dibenarkan dalam enakmen tersebut bakal digunakan?

"Adakah JAIS akan menyerbu ke tempat kediaman semua penganut Kristian yang disyaki mempunyai Kitab Injil Bahasa Melayu, termasuk rumah saya?" tanya beliau.

Ong yang mempunyai senaskah Alkitab (Kitab Injil Bahasa Melayu) mendesak JAIS menghentikan serbuan sedemikian, terutamanya menurut beliau, setelah tiada bukti kitab berkenaan digunakan untuk memurtadkan orang Muslim.

PM diminta buktikan ucapannya

Penasihat DAP Lim Kit Siang pula mengajak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan kata-katanya seperti ucapannya baru-baru ini dalam memastikan kesatuan nasional dan kebebasan beragama di negara ini.

Katanya, tidak sampai sepuluh hari selepas dua ucapan Najib sempena sambutan Krismas,mesej beliau mengenai kesederhanaan, harmoni dan hidup bersama sudah hilang dalam sebuah serbuan yang tidak pernah berlaku dan didakwanya tidak mengikut perlembagaan.

"Pastinya, serbuan itu... bukan apa yang ada dalam fikiran Najib mengenai apa yang dijanjikannya kepada rakyat Malaysia bagaimana kerajaan BN akan membina kembali penyatuan nasional dengan kemunculan tahun baru," kata Lim dalam satu lagi kenyataan.

Sementara itu Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Ti Lian Ker turut menganggap serbuan JAIS itu bertentangan dengan penyelesaian 10-perkara yang diajukan oleh kerajaan dalam menyelesaikan isu tersebut pada 2011.

Beliau mahu JAIS menjelaskan peruntukan undang-undang yang membolehkan sitaan dibuat terhadap lebih 300 kitab injil berbahasa Melayu itu.

"Pihak berkuasa berkenaan perlu mengambil langkah segera untuk menyiasat JAIS dan menentukan sama ada mereka telah menyalahgunakan kuasa dalam menjalankan serbuan ke atas Persatuan Bible Malaysia," tambahnya.

'Ambil pendekatan lebih rasional'

Ti turut mengutuk rancangan sekumpulan NGO pro-Islam untuk melakukan protes di hadapan gereja di Klang Ahad ini kerana mendakwa ia mampu menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.

MCA, tegasnya, menyeru pendekatan lebih rasional diambil bagi menangani perkara yang sulit tersebut.

"Keputusan untuk protes di hadapan gereja hanya mencipta lebih banyak pergeseran dan perlu dielak dengan apa cara sekalipun bagi menghalang pihak pelampau mengeksploitasi isu tersebut dan mengakibatkan kejadian yang tidak diingini," katanya dalam satu lagi kenyataan.

Ketua Pemuda MCA Chong Sin woon mengambil sikap sama dengan Ti dan meminta orang ramai mengambil pendekatan bersederhana atau cara yang lebih aman bagi mengelak konflik itu bertambah tegang.

"Penggunaan nada yang kasar serta ugutan hanya mencipta lebih banyak tentangan, mengembangkan perbezaan antara agama yang berlainan, dan isu ini tak akan mampu diselesaikan," katanya.
 

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat