Kelington Bhd, syarikat perkhidmatan teknologi kejuruteraan dalam maklumat, yakin meraih kontrak keseluruhan bernilai RM200 juta tahun ini. Ia adalah 37 peratus lebih tinggi berbanding kontrak keseluruhan RM146 juta yang diraihnya pada 2013.


Pengerusi Kumpulan dan Ketua Eksekutifnya, Raymond Gan, berkata keyakinan itu bersandarkan peluang cerah syarikat itu untuk memperoleh kontrak biodiesel bernilai RM35 juta di Taiwan bernilai yang dijangka diketahui tidak lama lagi, selain selebihnya menerusi projek sedia ada.

Beliau berkata, syarikat itu sudah membina rekod mantap untuk sistem penghantaran gas dan kimia Ultra Ketulenan Tinggi (UHP) dalam sektor teknologi tinggi di rantau ini sejak 10 tahun lalu, berikutan kepakaran kejuruteraan serta pengetahuan meluas syarikat itu mengenai gas dan kimia sejak penubuhannya.


“Matlamat kami ialah untuk mengukuhkan lagi kedudukan selaku pembekal pembekal penyelesaian sistem kejuruteraan UHP Malaysia yang terkemuka,” katanya dalam satu temu bual menerusi e-mel.

Pelbagaikan perniagaan

Kelington yang ditubuhkan pada 2000 adalah penyedia sistem penyelesaian kejuruteraan UHP yang turut mempunyai operasi di luar negara iaitu di China, Taiwan dan Singapura.

Sejak beberapa tahun lalu, ia turut mempelbagaikan perniagaannya membabitkan reka bentuk sistem dan model, fabrikasi dan pemasangan, ujian kualiti dan pensijilan, kawalan dan peralatan serta penyelenggaraan untuk pelbagai kilang pemasangan semikonduktor dan paparan panel rata.

Ia menyediakan pelbagai perkhidmatan yang komprehensif dalam rantaian pengedaran gas ketulenan ultra tinggi dan sistem penghantaran kimia membabitkan reka bentuk, pemasangan, peralatan, jaminan kualiti dan penyelenggaraan.

Sistem penghantaran gas dan kimia UHP digunakan dalam industri yang sangat khusus seperti paparan panel rata dan sektor pemasangan wafer serta industri sedang membangun seperti tenaga solar, farmaseutikal, diod pemancar cahaya dan sektor biosains.


Peningkatan perbelanjaan modal

Gan berkata, sejajar usaha pengembangannya, Kelington turut menjangkakan peningkatan perbelanjaan modal sebanyak 10 peratus tahun depan dengan sebahagian besarnya diperuntukkan untuk pembangunan sumber manusia.

Beliau berkata, syarikat itu lebih menumpukan terhadap pembangunan sumber manusia kerana perniagaannya yang lebih menjurus kepada perkhidmatan kejuruteraan yang mana perbelanjaan modal adalah tidak besar berbanding industri yang berasaskan pembuatan.

“Bagaimanapun, berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, kita boleh jangkakan peningkatan tetapi tidak lebih 10 peratus kerana kami perlu meningkatkan skil dan pengetahuan kami secara berterusan untuk bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dalam industri yang kami memberi khidmat,” katanya.