Pemimpin tertinggi PKR, termasuk Datuk Saifuddin Nasution, Nurul Izzah Anwar dan dan Rafizi Ramli, membentuk gabungan bagi menghadapi pemilihan parti itu Mei ini.
Pembentukan pasukan bertemakan “Masa Depan Bersama” itu diumumkan dalam sidang media di sebuah hotel berdekatan ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Saifuddin bertanding jawatan timbalan presiden dalam pertandingan enam penjuru menentang beberapa lagi tokoh heavyweightparti, termasuk penyandang Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Naib Presiden Tian Chua.
Nurul pula mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden manakala Rafizi pula mencuba nasib untuk jawatan sama.
Calon lain dalam pemilihan PKR yang hadir dalam acara itu termasuk Tian Chua dan Nik Azmi Nik Ahmad (calon ketua Pemuda), selain beberapa wakil rakyat.
Kemunculan Tian Chua, yang bertanding jawapan sama dengan Saifuddin, juga membuka kemungkinan terdapat rundingan antara kedua-dua pihak.
Tian Chua bagaimanapun berkata masih menumpukan kepada kerusi timbalan presiden dan belum membuat keputusan sama ada mahu menarik diri.
Sementara itu, Rafizi berkata, beliau bergabung dengan dua pemimpin itu kerana berkongsi prinsip “memberi tumpuan kepada soal-soal rakyat” berbanding isu perselisihan personaliti.
Anggota Parlimen Pandan itu membangkitkan secara langsung pertembungan Khalid dan Azmin yang memuncak ketika Azmin digugurkan daripada syarikat negeri Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS).
“Kebelakangan ini perselisihan personaliti antara Tan Sri Khalid Ibrahim dan Azmin Ali tidak membantu rakyat, pada pendapat saya.
“Walaupun keputusan saya menongkah arus, saya diberitahu ada yang mengatakan tindakan ini tindakan membunuh diri, namun, kita wujudkan (kumpulan ini) untuk bawa suara rakyat," katanya.
Sementara itu, Nurul Izzah pula berkata, gabungan itu mempamerkan “nilai reformasi” untuk kepentingan masa depan parti.