TERIMA KASIH


counters

MTMR

Friday, April 29, 2016

Angkatan kapal selam TLDM habiskan 10 ribu jam bawah laut. ( Selamat HUT TLDM KE 83 )

KUALA LUMPUR - Sejumlah anggota dan pegawai pengendali kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghabiskan masa lebih 10,000 jam berada di bawah laut, demi operasi mengemudi dua kapal selam Scorpene milik Malaysia, kata Ketua Staf Markas Angkatan Kapal Selam TLDM Kapten Baharudin Wan Md Nor.

Baharudin yang juga Pegawai Pemerintah Pertama Kapal Selam KD Tun Razak berkata, tempoh berkenaan sangat luar biasa berbanding pengendali kapal selam asing yang secara purata bersara sekitar tempoh antara 3,000 dan 4,000 jam.

"Meskipun, kita baru nak masuk tahun ketujuh, namun ada (anggota) yang dah menghabiskan tempoh setahun berada di bawah laut.

"Setahun ada 8,800 jam, sesetengah daripada kita sudah ada lebih 10,000 jam," katanya kepada pemberita yang menyertai latihan 'Combine Anti-Submarine Exercise' (CASEX) dengan Perancis di tengah-tengah Laut China Selatan, baru-baru ini.

Justeru, Baharudin yang sendiri sudah menghabiskan tempoh lebih 10,000 jam di bawah laut, bertanyakan pemberita: "Bagaimanakah ini (tempoh berada dalam laut) boleh berlaku, jika kapal selam ini tidak dapat menyelam, sebagaimana yang sering didakwa oleh orang ramai dan ahli politik?".

KD Tun Razak tiba di Pangkalan TLDM di Lumut, Perak pada 2 Julai 2010 sebelum ia ditempatkan di pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah pada 15 Julai 2010 dan kini di bawah tanggungjawab Pegawai Pemerintah Ketiga.

Kapal selama pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman pula ditempatkan di kemudahan TLDM di Teluk Sepangar sejak 17 Sept 2009.

Sejak kedua-dua kapal selam buatan Perancis itu tiba di tanah air, terdapat pelbagai tuduhan dan kritikan bahawa kedua-dua kapal selam negara itu tidak mampu untuk menyelam.

Bagi Baharudin, tuduhan tidak berasas itu amat "mengecewakan dan tidak wajar" dibuat, lebih-lebih lagi oleh mereka yang tiada kemahiran mengenai kapal selam.

"Kami bukan orang politik, kami tidak berjuang bersama-sama anda, kami tiada kaitan dengan cerita-cerita yang anda dengar, kami pengendali kapal selam (TLDM).

"Dilatih untuk mengendalikan kapal selam keluar (di perairan) dan memastikan apa jua misi yang diberikan, akan kita tunai serta pertahankan keselamatan, kepentingan dan kedaulatan negara," tegas beliau.

Menurut Baharudin, jika kritikan dan persepsi negatif diterima dalam negara, berbeza pula keadaanya di luar, apabila anggota pengendali kapal selam TLDM sangat dihormati oleh negara-negara operasi kapal selam yang lebih berpengalaman.

"Amerika Syarikat adakan perbincangan dengan kita setiap tahun, mereka nak berbincang dan tawarkan kita, itu dan ini.

"Sementara Perancis pula, sanggup datang dari jauh ke sini (untuk CASEX). Setiap tahun kita bertemu dengan mereka (Tentera Laut Perancis).

"Mereka semua kagum dengan cara kita bangunkan pasukan kita dan apa yang kita capai dalam tempoh singkat," tambah beliau. - Bernama 3 April 2016

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat