Kritik demi Islam, bukan wang  
Tan Sri Dr Harussani Zakaria
Kuala Lumpur: Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria semalam menegaskan, beliau tidak pernah menerima walau sesen daripada mana-mana pihak yang kononnya didakwa menajanya untuk mengkritik pihak menentang kerajaan.


Sebaliknya, beliau mengkritik pihak terbabit, terutama kumpulan yang ingin menggulingkan kerajaan semata-mata kerana Islam dan tidak akan berganjak daripada pendirian serta kenyataannya sebelum ini, termasuk menyifatkan kumpulan terbabit sebagai ‘bughah’ atau penderhaka terhadap pemerintah yang adil.
Tidak peduli

“Saya tak peduli puak (mereka) itu tuduh saya dapat duit daripada pihak tertentu supaya selalu kritik puak itu. Itu bersangka buruk... dalam Islam tidak baik kita bersangka buruk terhadap orang lain.

“Saya kata, sesiapa yang berhimpun semata-mata hendak menggulingkan kerajaan, puak itu boleh disifatkan sebagai ‘bughah.’ Puak itu kata, dia hendak tuntut harga barang turun sedangkan asalnya puak itu hendak menggulingkan kerajaan tetapi apabila tiada sambutan, puak itu kata, hendak turunkan harga barang,” katanya kepada BH, semalam.

Harussani berkata, beberapa senjata tajam yang dijumpai polis pada malam perhimpunan propembangkang Selasa lalu di Dataran Merdeka membuktikan ada pihak cuba menimbulkan huru-hara.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Dr Khairudin Aman Razali yang dilaporkan berkata, kenyataan Harussani itu mendukacitakan kerana ia menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum ‘bughah’ dan boleh menyebabkan huru-hara.
Turut mengkritik Harussani ialah bekas Mufti Perlis, Dr Mohamad Asri Zainal Abidin yang dilaporkan berkata, hanya mereka yang menentang kerajaan dengan senjata dan memiliki kekuatan yang boleh disifatkan sebagai ‘bughah.’

Peserta bertindak ganas Sambutan berkenaan terpaksa dihentikan jam 11.30 malam, selepas peserta perhimpunan haram bertindak ganas, termasuk merempuh sekatan pihak berkuasa.

Berikutan itu, persembahan artis sedang berlangsung dan pertunjukan bunga api yang dijadualkan sebagai kemuncak acara dibatalkan.

Polis menjumpai empat parang dan tiga pisau di Kompleks Dayabumi, dipercayai dibuang peserta perhimpunan haram yang memenuhi Dataran Merdeka dan tiga anggota polis cedera di tangan apabila peserta perhimpunan merempuh kawalan anggota polis pada jam 11 malam.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, tiada kaedah lain untuk memastikan keamanan dipelihara kecuali pasukan keselamatan bertindak tegas terhadap pihak sengaja menimbulkan kekecohan sematamata mendesak pihak lain menerima sistem dianggap mereka benar.

“Kumpulan penentang ada pada setiap zaman. Ketika negara baru lepas Perang Dunia Kedua, kumpulan penentang Kerajaan British ialah komunis.

Sekarang, pihak yang menentang kerajaan adalah mereka yang tidak mempercayai sistem diamalkan kerajaan.

“Mereka menganggap hanya sistem mereka yang betul.

Semakin rakyat kita berpendidikan tinggi, semakin tidak rasional. Mereka tidak suka mengikut peraturan, apatah lagi hendak menghormati demokrasi dan kerajaan yang dipilih rakyat,” katanya.