Mohd Hafarizam Harun  
Mohd Hafarizam Harun
 
KUALA LUMPUR - Hampir setahun selepas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 diwartakan untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang dimansuhkan, soal sama ada undang-undang baharu itu menyediakan keseimbangan antara melindungi keselamatan negara dan hak asasi tertuduh terus diperbahaskan.

  
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau ringkasnya SOSMA, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April, 2012, diberikan perkenan Diraja pada 18 Jun 2012, dan diwartakan pada 22 Jun 2012.
  
SOSMA ialah sebuah akta "bagi menyediakan langkah-langkah khas berkaitan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan dan bagi hal-hal berkait".
  
Peguam kanan Datuk Mohd Hafarizam Harun berpendapat SOSMA tidak melanggar hak asasi tahanan di sisi undang-undang.
 
Beliau berkata akta itu menyediakan ketetapan untuk polis segera memaklumkan kepada waris kadim iaitu anggota keluarga terdekat tahanan berhubung penahanannya dan membenarkan tahanan berunding dengan pengamal undang-undang pilihannya.

Akta itu menyatakan seorang pegawai polis, boleh, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana orang yang berkenaan dengan dia mempunyai sebab untuk mempercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan. Orang itu boleh ditahan bagi tempoh 24 jam untuk tujuan penyiasatan.
  
Pegawai polis boleh melanjutkan tempoh penahanan untuk tempoh tidak lebih 28 hari, bagi tujuan penyiasatan.
  
Pegawai polis hendaklah dengan segera memberitahu waris kadim kepada orang itu mengenai tangkapan dan penahanan orang itu dan membenarkan orang itu untuk berunding dengan pengamal undang-undang pilihannya.
  
Mohd Hafarizam berkata: "ISA lebih tegas daripada segi tempoh (penahanan) yang lebih lama dan tahanan boleh ditahan tanpa perbicaraan".
  
Beliau berkata orang awam perlu tahu kenapa tempoh penahanan di bawah SOSMA dibuat agak lama - 28 hari.

Katanya orang akan berkata bahawa tindakan itu melanggar hak tertentu dan kebebasan fundamental yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi menurutnya, SOSMA adalah undang-undang subsidiari di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
  
Beliau berkata akta itu tegas mengenai tempoh penahanan 28 hari itu daripada aspek ia tidak membenarkan pelanjutan tempoh selepas atau melebihi 28 hari itu.
  
Mohd Hafarizam berkata penahanan tidak bermaksud ditahan di lokap atau penjara bagi seluruh 28 hari itu kerana akta itu membenarkan peranti pengawasan elektronik dipasang pada tahanan yang dibebaskan dalam tempoh 28 hari itu.
  
Beliau memberikan misalan seperti berikut: "D telah ditahan untuk kesalahan keselamatan. Selepas ditahan selama 24 jam, seorang superintenden polis melanjutkan tahanannya selama tujuh hari lagi.

Apabila habis tempoh tujuh hari, D telah dibebaskan tetapi dia masih diperlukan untuk membantu penyiasatan.

Apabila laporan oleh pegawai polis diterima, Pendakwa Raya boleh memohon kepada Mahkamah supaya suatu peranti pengawasan elektronik dipasang  pada D. Mahkamah boleh membenarkan peranti pengawasan elektronik dipasang pada D sehingga tempoh 21 hari.
  
"Oleh yang demikian, tahanan tidak boleh mendakwa hak mereka telah dicabuli seperti ketetapan Perkara 5 Perlembgaan Persekutuan (kebebasan seseorang)," kata Mohd Hafarizam dan menurutnya kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi khususnya apabila membabitkan isu sensitif seperti hal-hal keselamatan negara atau mencetuskan kebencian kaum.

Mohd Hafarizam berkata orang awam perlu dididik untuk memahami betapa seriusnya isu berkenaan, untuk diberitahu bahawa sekiranya ia tidak dikendalikan dengan amat berhati-hati ia akan membawa kepada keadaan seperti insiden pemberontakan di Timur Tengah baru-baru ini.
  
Beliau berkata penyemaian sentimen-sentimen luaran dalam kalangan orang ramai perlu dicegah sebelum ia marak.
  
Mohd Hafarizam berkata prosedur dalam SOSMA adalah serupa dengan ketetapan dalam Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), di mana suspek diberi peluang untuk melantik peguam bela dan berunding dengan anggota keluarga.
  
Namun, katanya sekiranya sesuatu undang-undang itu bertujuan mengekalkan ketenteraman awam dalam negara, SOSMA boleh dikatakan kurang efektif daripada segi penguatkuasaan kerana ia membenarkan tahanan mempertahankan diri mereka.

"Pendek kata, undang-undang ini masih membenarkan andaian 'tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’," katanya dan menambah kata SOSMA bertujuan memenuhi elemen-elemen dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kuasa-kuasa khas untuk membanteras kegiatan subversif, keganasan terancang, dan tindakan dan jenayah yang memudaratkan orang awam.

Peguam kanan jenayah Datuk N. Sivananthan berkata SOSMA mungkin efektif dalam situasi tertentu kerana ia membenarkan polis menahan suspek sehingga 28 hari sekiranya terdapat ancaman sebenar terhadap ketenteraman awam atau keselamatan negara, dengan syarat ia digunakan dengan betul, hanya dalam hal berkaitan kesalahan terhadap negara dan/atau kesalahan berkaitan keganasan.
  
Sivananthan, yang dilantik oleh kerajaan Filipina untuk mengetuai pasukan lima peguam untuk mewakili lima warga negara itu yang dituduh mempunyai kaitan dengan kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, berkata SOSMA sebenarnya undang-undang untuk situasi ekstrem apabila terdapat ancaman terhadap nyawa.
  
"Bagaimanapun, jika seorang itu memang meletakkan bom atau bahan letupan semasa pilihan raya, dengan itu boleh dianggap sebagai kesalahan keselamatan yang membolehkan SOSMA digunakan," katanya semasa ditanya mengenai pihak tertentu mendakwa polis mungkin menyalahgunakan undang-undang baharu itu untuk kesalahan yang dianggap mencabuli demokrasi berparlimen semasa pilihan raya umum.
  
Beliau menjelaskan SOSMA untuk tujuan kesalahan-kesalahan yang membawa hukuman mati dan/atau penjara seumur hidup.
  
Katanya sebelum ini apabila tertuduh dituduh dengan kesalahan seumpama itu, KPJ, Akta Keterangan dan Perlembagaan Persekutuan akan diguna pakai, tetapi di bawah SOSMA, semua itu tidak lagi diguna pakai.

"Di bawah SOSMA, semua itu dikeluarkan bagi memastikan perbicaraan adil," katanya yang merupakan peguam Malaysia yang pertama dilantik sebagai naib presiden yang bertanggungjawab bagi rantau Asia Pasifik, Badan Peguam Jenayah Antarabangsa (ICB). (Pelantikan beliau dibuat pada perhimpunan dua tahun sekali ICB yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol pada Mac 2010.)
  
Sivananthan berkata tahanan boleh melantik peguam bela tetapi apa yang tidak dapat diterima ialah semua peraturan yang ada untuk memastikan perbicaraan adil akhirnya diabaikan, dan ini merupakan perkara yang tidak disedari ramai.
  
Seorang lagi peguam jenayah, Amer Hamzah Arshad, berpendapat peruntukan dalam SOSMA lebih memihak kepada negara daripada memastikan perbicaraan adil untuk orang kena tuduh.
  
Beliau berkata perbicaraan bagi penjenayah biasa tertakluk oleh KPJ dan Akta Keterangan tetapi kesalahan keselamatan akan dibicarakan di bawah SOSMA.
  
"Peruntukan dalam SOSMA tidak sama dengan yang terdapat dalam KPJ. KPJ mempunyai lebih banyak perlindungan dan adil kepada orang kena tuduh manakala peruntukan dalam SOSMA lebih memihak kepada negara," katanya.

Beliau berkata oleh kerana SOSMA hanya berupa undang-undang prosedur yang mengikat prosedur perbicaraan bagi kesalahan keselamatan, ia dengan itu tidak boleh menafikan hak perlembagaan tertuduh untuk diwakili peguam bela pilihannya.
  
Katanya tidak perlu menggunakan SOSMA berhubung laporan-laporan yang dibuat semasa tempoh pilihan raya umum baru-baru ini kerana ia hanya berupa laporan jenayah biasa seperti vandalisme.
  
Pada Februari, tiga individu – bekas tahanan ISA Yazid Sufaat, Halimah Hussein dan Muhammad Hilmi Hasim -- merupakan kes pertama ditahan di bawah SOSMA. Yazid menghadapi pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria, manakala Halimah dan Muhammad Hilmi dituduh bersubahat dengannya.
  
Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan mereka pada 20 Mei selepas membenarkan permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan terhadap mereka.
  
Dalam membuat keputusan penting itu, Hakim Kamardin Hashim memutuskan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai bagi tindakan ancaman di Malaysia  - Bernama