Tentera Darat Malaysia (TDM) menerima enam unit helikopter Light Scout/Attack model MD530G yang akan diaturgerak demi kelangsungan misi dan meningkatkan kesiagaan tentera darat dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, berkata helikopter yang berperanan sebagai Pesawat Tempur Ringan itu dilengkapi kuasa tembakan (firepower) jenis Gatling Gun 7.62mm, Heavy Machine Gun 12.7 milimeter dan Rocket Launcher 70mm.
"Keupayaan kuasa tembakan (firepower) yang dimiliki oleh pesawat ini mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan trup Infantri dalam jarak 500 meter ke 7 kilometer.
"Ketangkasan (agility) helikopter ini juga membolehkan ia melaksanakan tugas tinjauan udara.
"Helikopter ini akan diaturgerakkan untuk membantu ketumbukan Tempur TD yang lain di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan acara Ketibaan Enam Unit Light Scout/Attack Helicopter Model MD530G di Hangar 2, Invation Aero, di sini hari ini.
Zamrose berkata, tiga pesawat tempur ringan ini akan dihantar ke Sabah untuk kegunaan di kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
"Sebelum ini, kita memang rancang untuk penugasan persisiran Pantai Timur Sabah tetapi memandang sudah ada tiga Agusta Westland di sana, jadi kita akan tempatkan tiga di ESSCOM dan tiga buah lagi di Kluang (Kem Mahkota) untuk tujuan latihan," katanya.
Mengulas lanjut mengenai pesawat buatan Amerika Syarikat itu katanya, ia dibekalkan oleh Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd melalui Syarikat Destini Prima Sdn Bhd itu dibina oleh MD Helicopter Inc (MDHI).
"Helikopter ini tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Feb lalu dari Pelabuhan Oakland, Amerika Syarikat setelah melalui pelayaran panjang selama 31 hari.
"Selain membekal enam helikopter, kontrak perolehan ini juga merangkumi program latihan untuk Juruterbang dan Juruteknik Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
"Seramai lapan juruterbang dan sembilan juruteknik menghadiri program latihan itu di Mesa, Arizona, Amerika Syarikat selama 43 hari bermula pada 26 April hingga 11 Jun tahun lalu," katanya.
Beliau berkata, satu pasukan pemeriksaan Pre-Delivery Inspection (PDI) ditubuhkan pada Julai tahun lalu bagi menentukan kualiti pesawat ini menepati spesifikasi TD.
"Ini diaturgerak ke Premis MDHI di Mesa, Arizona, Amerika Syarikat untuk melaksanakan pemeriksaan yang bermula pada 6 hingga 17 Disember tahun lalu.
"Pemeriksaan ini merangkumi pemeriksaan fizikal pesawat, pemeriksaan kefungsian/keupayaan pesawat, pemeriksaan fizikal alat ganti, pemeriksaan Flight Training Device (FTD) (simulator) dan pemeriksaan fizikal persenjataan.
"Ketika ini, pesawat itu sedang melalui pemeriksaan oleh Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) yang dijangka berjalan selama kita-kira enam hari sehingga 2 Mac depan, seterusnya akan melalui proses penerimaan akhir oleh TD," katanya.
Beliau berkata, satu pasukan pemeriksa dikenali sebagai Tim Final Acceptance Test (FAT) ditubuhkan dan akan dipertanggungjawabkan untuk memeriksa pesawat itu secara terperinci bermula pada 3 hingga 27 Mac depan.
"Setelah Tim FAT mengesahkan helikopter ini lulus pemeriksaan akhir, Sijil Pemeriksaan Akhir akan dikeluarkan dan ditandatangani oleh wakil syarikat bersama Tim FAT dan ini menandakan enam helikopter ini menjadi hak milik Tentera Darat Malaysia secara rasminya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.