Membela kedaulatan negara atau Najib?
ULASAN l Pada bulan Syawal di mana kita menyambut kemenangan berpuasa sebulan baru-baru ini, saya memohon pemimpin pemimpin politik supaya jangan menganggap rakyat Malaysia ini tidak celik maklumat dan kurang cerdik.
Isu kontroversi 1MDB telah melihat seorang bekas menteri kabinet, seorang menteri besar dan seorang ketua parti pembangkang mengeluarkan kenyataan yang sangat sangat mengelirukan dan tidak tepat.
Mereka menyatakan penyiasatan kes 1MDB oleh kerajaan asing adalah campur tangan kuasa luar untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia. Marilah kita merenung secara rasional situasi sebenarnya.
Kepada bekas menteri abinet itu, saya ingin tekankan di sini apabila kes NFL yang melibatkan pemimpin tinggi dan pinjaman beratus juta yang tidak digunakan untuk penternakan lembu, kerajaan Amerika tidak menyentuh langsung isu tersebut kerana tiada kaitan dengan mereka.
Kerajaan Singapura terpaksa memberi kerjasama siasatan kerana sebahagian dari wang tersebut telah dilaburkan di Singapura. Kes ini dalam proses perbicaraan. Tidak timbul kerajaan Singapura nak jatuhkan mana mana pemimpin.
Dalam kes 1MDB, ia melibatkan berbillion billion ringgit wang rakyat yang di bawa keluar dari Malaysia ke Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, kepulauan Caymen dan juga Hong Kong dengan cara haram yang melibatkan penggubalan wang secara haram (money laundering act).
Pada tahun 2015, Malaysia sendiri telah membawa pindaan rang undang-undang penggubalan wang haram di Parlimen untuk memperketatkan undang-undang tersebut. Kita sendiri mengakui penggubalan wang haram adalah salah.
Negara-negara lain juga mempunyai undang undang mereka tentang aktiviti penggubalan wang haram.
Apabila 1MDB telah membawa wang dan melabur secara haram di Amerika, Singapura dan Switzerland mereka terpaksa menyiasat kes kes tersebut kerana menjaga reputasi dan nama baik institusi kewangan mereka sendiri.
Kalau 1MDB hanya mengedar atau melabur secara haram di dalam Malaysia sahaja, tiada sebab atau kuasa mereka hendak menyiasat kes dalam Malaysia.
Tetapi isu dan masalahnya, 1MDB menjalankan aktiviti secara haram di Amerika, Singapura dan Switzerland,dan kerajaan mereka wajib menyiasat kesalahan di bumi mereka.
Tiada apa apa konspirasi di sini yang mereka melanggar kedaulatan undang undang kita. 1MDB yang melanggar undang undang di negara mereka. Ini kita perlu faham dan jangan kelirukan rakyat.
Singapura terpaksa menutup Bank BSI mereka sendiri, menangkap pengurus-pengurus mereka dan merampas harta 1MDB kerana kesalahan isu berkaitan 1 MDB di Singapura.
Bekalan air
Tiada sebab Singapura hendak berkonspirasi terhadap Malaysia apabila mereka bergantung begitu besar terhdap bekalan air kita, pekerja kita dan sedang berunding membina keretapi laju yang akan banyak menguntungkan Singapura.
Ini isu melanggar undang-undang Singapura.
Sebuah syarikat dari Abu Dhabi pula telah menuntut hutang 1MDB melalui Mahkamah Timbangtara Antarabangsa kerana 1MDB gagal membayar hutang mereka.
Adakah kita hendak tuduh Abu Dhabi, sebuah negara Islam, juga terlibat dalam konspirasi terhadap Malaysia.
Isunya ialah hutang 1MDB yang di ketuai oleh Datuk Seri Najib Razak, bukan negara Malaysia yang hendak dihukum.
Switzerland terkenal sebagai negara berkecuali yang tidak pernah terlibat bermain politk antarabangsa dalam sejarahnya, menyiasat 1 MDB kerana ingin menjaga nama baiknya sebagai pusat perbankan dunia terbaik kerana aktiviti mencurigakan 1MDB di Swizerland
Kembali kepada Amerika pula. Barrack Obama adalah rakan golf akrab Najib yang telah dua kali melawat Malaysia dalam setahun.
Di Parlimen kita telah diberitahu olih seorang bekas menteri pertahanan Malaysia yang Amerika sedang berunding dengan Malaysia untuk membina perlabuhan tentera di Sabah menghadapi ancaman negara China.
Dengan kes mahkamah antarabangsa oleh Filipina baru-baru ini terhadap China tentang kedaulatan Lautan Cina Selatan, yang menimbulkan ketegangan serantau ASEAN, mengapa Amerika hendak berbalah politik dengan Malaysia?
Topik panas
Ini semua tidak masuk akal melainkan ianya semata-mata isu perundangan kewangan antarabangsa berkaitan penggubalan wang haram yang amat serius.
Marilah kita menggunakan ilmu pengetahuan melalui penyelidikan dan bukan emosi sebelum membuat anggapan tidak munasabah yang mengelirukan rakyat dan mengalih pandangan dari isu sebenarnya.
Negara kita menghadapi masalah kepercayaan dan kredibiliti yang amat serius sekarang.
Saya baru pulang dari luar negara dan isu 1MDB dan Najib adalah topik panas utama di semua negara luar. Rakyat-rakyat Malaysia di luar negara dihujani pelbagai soalan dan cemuhan kerana isu 1MDB.
Yang amat melucukan adalah kenyataan dari bekas menteri wanita tadi bahawa campur tangan kuasa asing akan menyebabkan Malaysia menjadi seperti Iraq - yang dijajah!
Soalan kami berapa titik sahajalah rezab minyak Malaysia kalau dibanding dengan sumber Iraq, Arab Saudi atau Amerika sendiri?
Lagi pun bukankah perdana menteri Malaysia di antara kalangan kroni-kroni Amerika?
Pada tahun ini saya sendiri telah menyoal di Parlimen mengapa Malaysia menyertai latihan tentera - “ Northern Thunder” di Arab Saudi yang disertai oleh semua kroni Amerika dari negara Arab dan Afrika sahaja?
Kerana ingin mengambil hati Amerika, Malaysia sanggup "menyelit" dan merupakan negara tunggal yang bukan dari Arab dan Afrika dalam latihan tersebut.
Najib sendiri telah melawat tentera Malaysia semasa latihan tersebut. Patutlah Obama sayang pada Najib dan melawat Malaysia dua kali dalam setahun.
Presiden Amerika terakhir melawat Malaysia sebelum itu adalah Presiden Johnson pada tahun 1960an - iaitu hampir 50 tahun dahulu!
Apabila kita mendengar seorang bekas menteri kanan kerajaan, seorang ketua parti pembangkang, dan terakhir, seorang menteri besar Umno menyatakan isu 1MDB ini adalah usaha kuasa asing hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia, cuba kita fikirkan dari mana datangnya logik analisis mereka!
Emosi
Saya mohon mereka cuba asaskan teori mereka dari fakta-fakta yang nyata serta kukuh dan bukan dari emosi!
Kami boleh memahami kenapa bekas menteri kanan dan menteri besar membuat kenyataan demikian kerana ia berasakan emosi dan sentimen kepartian. Tetapi susah kita hendak memahami kenapa seorang ketua parti pembangkang membuat kenyataan yang sama!
Cuba kita renungkan, mengapa tiada bantahan dan tuduhan mencabul kedaulatan atau campur tangan kuasa asing – Amerika dibuat oleh mereka ini semasa perkara-perkara tersebut di bawah berlaku:-
Latihan beribu-ribu tentera Amerika di Terengganu beberapa tahun lalu.
Penggunaan pelabuhan Pelabuhan Kelang oleh Kapal Perang Amerika.
Cadangan pembinaan pelabuhan tentera Amerika di Sabah seperti pendedahan bekas Timbalan Menteri Pertahanan.
Perjanjian TPPA yang akan menggunakan undang-undang negara asing - Amerika di Malaysia.
Adakah bantahan mereka ini untuk membela kedaulatan Malaysia atau untuk menyambung hayat pemerintahan Najib supaya terus berkuasa dan meneruskan salah guna kuasa dan memperkayakan golongan-golongan tertentu?
Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.