TERIMA KASIH


counters

MTMR

Friday, June 13, 2014

Agong berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana, Sungai Besi di sini.

Istiadat sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi ATM diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ketibaan Seri Paduka Baginda berdua pada pukul 8.30 pagi disambut dengan iringan lagu Negaraku serentak dengan 21 das tembakan meriam kehormatan oleh 41 Bateri Istiadat/Rejimen Artileri Diraja yang diketuai Leftenan Kolonel Hashim Muda.

Seri Paduka Baginda kemudiannya menaiki pentas khas bagi menerima tabik hormat diraja daripada pasukan kawalan kehormat yang dianggotai pegawai dan anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Acara terbang lintas turut diadakan yang disertai lima buah helikopter milik ATM iaitu tiga EC 725 Cougar, sebuah Agusta A-109 LOH dan sebuah Fennec yang masing-masing membawa bendera Malaysia, ATM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat.

Tuanku Abdul Halim kemudiannya diiringi Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memeriksa perbarisan kawalan kehormat yang terdiri daripada 22 pegawai dan 560 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Megat Ahmad Najib Megat Yunus.
Selesai acara pemeriksaan perbarisan, Gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Kapten Mohd Subri Mohd Isa dari TUDM masuk membuka medan dengan memainkan alunan lagu-lagu patriotik.

Sejurus kemudian istiadat mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan dalam tempo kawad perlahan dan cepat di hadapan Seri Paduka Baginda, para pegawai dan hadirin.

Lima Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diarak iaitu Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, TLDM dan TUDM.

Laungan bergemuruh 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali kemudiannya dipersembahkan oleh anggota perbarisan menandakan penghujung upacara.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Ketua Pengarah Kor Agama ATM, Mejar Jeneral Datuk Kamarudin Mamat.

Tuanku Abdul Halim sekali lagi menerima tabik hormat daripada barisan kawalan kehormat dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM serentak dengan alunan lagu Negaraku dimainkan sebelum Seri Paduka Baginda berangkat meninggalkan majlis.

Istiadat turut disaksikan menteri-menteri kabinet, pegawai-pegawai kanan daripada ketiga-tiga cabang ATM, diplomat asing, atase pertahanan beberapa Suruhanjaya Tinggi serta kedutaan asing.

Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong merupakan istiadat gilang-gemilang kepada ATM.

Panji-Panji pula merupakan lambang kemegahan, semangat dan taat setia yang tidak berbelah bahagi ATM terhadap Raja dan Negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat