TERIMA KASIH


counters

MTMR

Thursday, October 3, 2013

Henti Keganasan : Malaysia Seru Dunia Guna Kesederhanaan.

Daripada Khairdzir Md Yunus
Dalam seruan paling lantang beliau kepada dunia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa seluruh umat Islam, yang kebanyakan mereka merupakan pencinta keamanan, supaya bersatu dalam menentang puak pelampau yang menggunakan agama sebagai alasan untuk melakukan keganasan.


Katanya di seluruh dunia, umat Islam hanya mampu melihat dengan perasaan hampa konflik yang meruntuhkan beberapa komuniti tertua mereka, manakala dalam sejarah mereka, umat Islam amat jarang menghadapi keganasan seperti ini.

Najib, yang menyuarakan seruan itu melalui Kenyataan Nasional pada Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-68 di sini, berkata banyak perkara sudah berubah sejak beliau menyuarakan saranan pada UNGA di sini pada 2010 tentang penubuhan Gerakan Kesederhanaan Global bagi menolak fahaman pelampau dalam segala bentuk.

Kata beliau sebenarnya, perpecahan yang berlaku bukanlah antara Timur dan Barat, antara dunia maju dan membangun atau antara umat Islam, Kristian dan Yahudi, tetapi antara golongan sederhana dan pelampau daripada semua agama.

Beliau berkata pembunuhan adalah beban yang tidak tertanggung lagi oleh umat Islam di seluruh dunia dan kini sudah tiba masanya perbuatan itu dihentikan dan tumpuan diberi terhadap usaha membina agenda bersama bagi keamanan dan kemakmuran melalui penggunaan antara alat paling kuat iaitu al-wasatiyyah atau amalan kesederhanaan.

Katanya berikutan bantahan dan pembaharuan yang muncul di Timur Tengah dan Afrika Utara serta daripada bahang 'Arab Spring', timbul pula persoalan baharu tentang kadar perubahan demokrasi, peranan Islam dalam politik dan perlunya pembangunan besifat lebih inklusif.

"Bagaimanapun, usaha mencari jawapan bagi persoalan itu telah tertangguh," katanya.

Beliau berkata apabila regim autoritarian tersungkur, kerajaan pula runtuh akibat dilanda perubahan politik, maka puak pelampau cuba mengisi ruang yang mereka tinggalkan.

"Didorong oleh ideologi, politik dan agama, mereka cuba melarikan diri daripada pembangunan yang menuntut usaha keras dengan mengamalkan keganasan yang buruk padahnya," katanya.

Najib berkata konflik yang berlaku merebak melepasi sempadan negara serta menyalakan kembali api ketegangan lampau dan menyalakan yang baharu manakala di seluruh dunia, fahaman pelampau meragut nyawa dan memusnahkan peluang.

"Ini menjejaskan kita semua. Bagiamanapun, terdapat suatu umat, daripada suatu agama, yang paling teruk menderita. Saya percaya ancaman paling besar bagi umat Islam hari ini, bukan datang dari dunia luar, tetapi dari dalam," katanya.

Beliau berkata konflik antara puak Sunnah dan Syiah mengancam nyawa serta kehidupan berjuta-juta umat Islam dan agama Islam, yang berasaskan keamanan serta menganjurkan sifat toleransi, diputar belit oleh golongan pelampau, yang menggunakan hujah berbaur kepalsuan untuk menimbulkan perpecahan dan mewajarkan keganasan.

Katanya di dunia Islam, puak pelampau menyembunyikan agenda songsang mereka di dalam pakaian agama untuk memecah-belahkan keluarga, negara dan umat.

"Setiap kali berlaku kekejaman baharu, ketegangan akan meningkat, manakala keamanan pula menjadi semakin jauh. Pengaruh jahat pelampau memang tidak mudah untuk ditentang.

"Bagaimanapun, kita masih mempunyai kuasa untuk bertindak. Saya percaya kesederhanaan dalam beragama dan proses politik mampu menyekat kehilangan nyawa dan kebebasan di dunia Islam.

"Di sebalik setiap keganasan yang begitu tragis, terdapat usaha untuk membela masa depan Islam. Dengan memperkukuhkan kembali komitmen kita terhadap kesederhanaan - dan menyelesaikan masalah politik yang mengibatkan wujudnya keadaan tidak stabil - kita mampu untuk kembali berkuasa. Kita mampu pinggirkan puak pelampau dan memperjuangkan agenda keamanan, keharmonian serta keadilan," katanya.

Beliau berkata konsep keseimbangan dan kesederhanaan serta keadilan sosial yang menjadi tonggak ajaran Islam, menggesa umatnya supaya berpegang pada prinsip yang diamalkan Nabi Muhammad (S.A.W.) dalam Piagam Madinah.

Kata Perdana Menteri, umat Islam bertanggungjawab memulihara kesucian agama mereka dengan mempamerkan secara jelas ajaran sebenar Islam - agama keamanan, kesederhanaan dan toleransi.

"Kita perlu sebarkan mesej ini dengan jelas agar semua orang mendengarnya dan berdiri teguh dalam menentang kumpulan minoriti yang memperalatkan Islam untuk menganjurkan keganasan bagi tujuan jahat," katanya.

Beliau berkata kesederhaan tidak patut disalah tafsir sebagai kelemahan, manakala perjuangan menentang mereka yang menganjurkan keganasan serta menyeru kepada kedamaian, bukan mempamerkan kelemahan, tetapi sebaliknya kekuatan kita.

Najib juga menyeru para pemimpin Islam supaya bersuara dan mengutuk keganasan sekiranya mereka tidak mahu sikap berdiam diri mereka disalah anggap sebagai merestui perbuatan itu.

Beliau berkata kesederhanaan boleh diamalkan di peringkat nasional, seperti yang dilakukan di Malaysia, dengan menganjurkan sifat saling menghormati dan inklusif serta mengeratkan hubungan antara masyarakat berbeza agama.

"Semua negara perlu memaperkukuhkan kembali komitmen mereka terhadap prinsip kesederhanaan, bukan sahaja berkaitan agama tetapi juga bagi pembangunan lestari dan kestabilan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Najib berkata kesederhanaan juga boleh mempengaruhi arah tuju dasar serantau seperti yang terbukti melalui usaha Malaysia membawa keamanan ke selatan Filipina dan wilayah selatan Thailand yang dilanda pergolakan.

Katanya ASEAN, yang menjadi penyokong Gerakan Kesederhaaan Global, komited terhadap usaha mencari penyelesaian secara aman dan tanpa menggunakan kekerasan dalam menangani pertikaian wilayah.

"Di peringkat antarabangsa pula, kesederhanaan mampu membimbing pendekatan kita untuk menghadapi cabaran besar global pada zaman ini iaitu pelampau yang melakukan keganasan, pembangunan lestari dan pertumbuhan sama rata," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat