Tujuh daripada 44 senjata api milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hilang di antara 2010 dan 2012 seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 sudah dijumpai semula.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata antara punca kehilangan senjata api yang dikenal pasti ialah kereta dipecah dan senjata api tertinggal dalam kereta, diragut atau disamun, tercicir ketika menjalankan tugas, kehilangan dalam tandas dan kehilangan dalam pejabat.
Nilai senjata berbeza


“Nilai senjata itu berbeza mengikut jenis dan negara pengeluar, secara keseluruhan kategori senjata yang hilang adalah dari senjata ringan (pistol dan revolver) yang boleh diletakkan di badan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Chua Tian Chang @ Tian Chua (PKR-Batu) di Dewan Rakyat, semalam, yang ingin tahu jumlah senjata api yang hilang dan prosedur serta tindakan terhadap pegawai polis yang kehilangan senjata api.

Ahmad Zahid berkata, Bahagian Teknologi Maklumat (IT) PDRM sedang membangunkan sistem yang mengandungi submodul bagi tujuan pemantauan dan rekod kes kehilangan aset organisasi itu yang dijangka beroperasi November ini.

“Sistem itu akan merekodkan kehilangan aset PDRM bermula daripada kehilangan sehinggalah ke peringkat tindakan diambil ke atas pegawai cuai.
 
“Dengan sistem itu, semua kes kehilangan aset PDRM akan diketahui dengan mudah oleh Urus Setia Pengurusan Kehilangan Aset PDRM,” katanya. - BERNAMA