Yuran khas perlu dipersetujui PIBG  
Sebahagian ibu bapa masih beratur bagi membeli buku-buku serta perkakas sekolah menjelang sesi persekolahan yang akan bermula.
 
Kuala Lumpur: Semua pentadbir sekolah perlu mendapatkan persetujuan ibu bapa, sebelum membuat sebarang kutipan bayaran tambahan yuran khas bagi sesi persekolahan baru yang bermula esok dan lusa.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan, berkata yuran tambahan khas itu tidak termaktub dalam pekeliling diedarkan kementerian kepada Jabatan Pendidikan seluruh negara.
 
“Setiap urusan pembayaran yuran tambahan perlu mendapat persetujuan ibu bapa dan Jabatan Pendidikan, sebelum pentadbiran sekolah boleh mengutipnya daripada pelajar masing-masing.

“Berdasarkan prosedur sedia ada, yuran tambahan itu perlu diluluskan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan kemudian dimajukan kepada jabatan untuk kelulusan sebelum boleh dikutip daripada setiap pelajar,” katanya.

Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor, turut menerima maklumat berhubung permohonan beberapa sekolah yang ingin melakukan kutipan yuran khas itu bagi menampung perbelanjaan kelas tambahan sebagai persediaan peperiksaan.

“Sekolah tidak akan membebankan ibu bapa dengan yuran tambahan khas yang tinggi. Ia biasanya diwujudkan hanya untuk menampung perbelanjaan kelas tambahan untuk peperiksaan besar,” katanya.

Tak benar kutipan tambahan

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin, berkata pihaknya tidak membenarkan sebarang kutipan tambahan pada awal persekolahan oleh mana-mana sekolah selagi belum mendapatkan kebenaran jabatan itu.

“Selain itu, sebarang kutipan yuran PIBG pula perlu mendapatkan persetujuan dan sokongan ketika mesyuarat agung persatuan itu,” katanya.

Persetujuan ibu bapa bagi sebarang bayaran tambahan itu perlu susulan arahan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengarahkan semua sekolah tidak mengutip yuran peperiksaan, kokurikulum dan kos kertas peperiksaan yang ditanggung sepenuhnya kerajaan menerusi bajet RM150 juta setahun sejak 2012.

Ahmad Tarmizi berkata, PIBG juga perlu berunding dengan ibu bapa mengenai yuran yang mahu dikenakan badan itu kepada setiap pelajar bagi mengelak timbul kekeliruan berikutan pemansuhan yuran sekolah oleh kerajaan.

Beliau mengulas mengenai sungutan ibu bapa berpendapatan rendah yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan kos perbelanjaan termasuk yuran hari pertama persekolahan anak mereka yang dianggap membebankan.

Seorang bapa yang hanya ingin dikenali sebagai Azman, 42, berkata dia agak terkejut dengan jumlah pembayaran hari pertama persekolahan yang dianggapnya agak membebankan, tambahan beliau mempunyai dua anak yang baru masuk sekolah.