Google+ Followers

TERIMA KASIH

MTMR

Friday, October 14, 2016

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja hari ini bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan dekat di hati penduduk negeri ini.

Merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra, Tengku Muhammad Faris Petra, 47, menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.

Sering membahasakan diri baginda sebagai 'kita' ketika bertemu dengan rakyat negeri ini, baginda sering dilihat turun padang bertemu masyarakat termasuk penduduk kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli.

Baginda yang ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Okt 1985 dilihat lebih gemar mengenakan jubah atau berbaju Melayu atau lebih dikenali di negeri ini sebagai 'baju gumbang', serta berkain pelikat dan berkopiah putih ketika melawat rakyat baginda.

Sultan Muhammad V, sebelum ini Timbalan Yang di-Pertuan Agong sejak 12 Dis 2011, turut mencetuskan idea Program Walkathon D'Raja Kelantan sejak 2011 bagi mengeratkan lagi hubungan raja dengan rakyat.

Menerusi Program Walkathon D'Raja Kelantan itu, ribuan rakyat Kelantan daripada pelbagai peringkat umur berpeluang untuk berjalan bersama-sama Sultan Muhammad V dan beberapa kerabat diraja yang lain sejauh 10 km di sekitar bandar Kota Bharu.

Sepanjang laluan, terdapat beberapa 'checkpoint' yang mempersembahkan pelbagai aktiviti kebudayaan seperti dikir barat, paluan kertuk dan rebana ubi.

Pada 2011, program itu diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records sebagai penyertaan terbesar Walkathon Diraja Malaysia pada tahun berkenaan selepas berjaya mengumpul sebanyak 21,111 peserta.

Program tersebut adalah program amal anjuran Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi bagi mendekatkan baginda dengan rakyat, menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain menjadi ikon tarikan pelancongan Kelantan.

Baginda turut tidak ketinggalan menyemai spiritual masyarakat Islam di negeri ini menerusi program 'Qiam With Me' yang diadakan pada setiap Ramadan sejak 2011.

Program tersebut yang diadakan pada pukul 10 malam selepas solat Isyak dan Tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan, disusuli Qiamullail sehingga sahur dan solat Subuh berjemaah bersama baginda.

Menerusi program itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf dan golongan kurang bernasib baik.

Malah, kedua-dua program tersebut - Walkathon D'Raja Kelantan dan Qiam With Me - dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Kelantan sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan yang unik di negeri ini.

Di sebalik populariti baginda sebagai Sultan Kelantan yang sering mendapat liputan meluas pengamal media di negeri itu, kerap kali dalam diam dan tanpa pengetahuan media, baginda berkenan menjengah kehidupan penduduk yang memerlukan pembelaan.

Malah, pernah tersebar sekeping gambar di media sosial baginda membuat rondaan menaiki pacuan empat roda seorang diri selepas bencana banjir besar melanda Kelantan pada 2014.

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Okt 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I di Kota Bharu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Sultan Muhammad V, yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pada masa lapang gemar membaca buku, serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda, kejohanan kuda lasak dan menembak.

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, 42, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 38, dan Tengku Amalin A'ishah Putri, 32.

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat