Google+ Followers

TERIMA KASIH

MTMR

Monday, June 2, 2014

Mengutip cukai adalah haram?

SETIAP kali hujung bulan April setiap tahun, kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) penuh sesak dengan pembayar cukai. Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, semua yang mempunyai pendapatan di Malaysia wajib mengisytiharkan pendapatan bercukai mereka.

Namun begitu, ada pihak mempersoalkan tanggungjawab membayar cukai dengan alasan Islam tidak mewajibkan apa-apa bayaran selain zakat. Mereka berhujah dengan sebuah hadis Nabi SAW: "Pengutip cukai tidak akan masuk syurga." (Sunan Abu Dawud & Musnad Ahmad).

Hadis itu seolah-olah menggambarkan tindakan LHDN yang mengutip cukai bagi pihak kerajaan adalah haram dan zalim. Sebenarnya hadis itu perlu dianalisis secara lebih adil dan saksama bagi mengelakkan kekeliruan.

Pada asalnya, Islam hanya mensyariatkan zakat untuk tujuan mewujudkan keadilan ekonomi dan sosial dalam masyarakat. Zakat berfungsi untuk mengimbangi jurang ekonomi di antara orang miskin dan orang kaya. Namun begitu, agihan zakat adalah hak Allah yang hanya terbatas kepada lapan kumpulan (asnaf) sahaja dan ia tidak boleh disalurkan kepada perkara lain, selain yang telah ditetapkan oleh al-Quran (al-Tawbah[6:60]).

Secara logiknya, pihak pemerintah perlu memiliki dana lain (selain zakat) bagi urus tadbir negara seperti pendidikan, kesihatan, kemudahan asas, keselamatan dan lain-lain.

Berbeza dengan zaman awal Islam, dana untuk tadbir urus negara Islam Madinah banyak ditampung oleh sumber lain seperti Jizyah: cukai kepala kepada golongan bukan Islam, Ghanimah: harta rampasan perang, Khumus: 1/5 daripada keseluruhan Ghanimah yang diperuntukkan kepada Allah & Rasul dan Fi': harta rampasan perang Islam tanpa berlakunya pertempuran.

Rasulullah SAW pula bersikap zuhud dengan menyerahkan kembali bahagiannya daripada Khumus kepada pengurusan negara Islam. Namun begitu, pergantungan kepada sumber-sumber di atas semakin mengecil dengan berkurangnya Futuhat atau pembukaan wilayah baru Islam.

Saidina Umar al-Khattab semasa era pemerintahannya telah mengenakan cukai perniagaan sebanyak 10 peratus yang dipanggil 'Usyur kepada peniaga kafir harbi (bukan Islam dari negara musuh), 5 peratus kepada peniaga kafir dhimmi (bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam) dan 2.5 peratus kepada peniaga Muslim (Muwatta' Malik & Sunan al-Bayhaqi).

Pengurangan cukai diberikan kepada peniaga Islam kerana mereka sudah mempunyai tanggungjawab membayar zakat perniagaan pada kadar tertentu.

Mekanisme cukai yang dibuat oleh Umar adalah untuk menampung perbelanjaan negara Islam yang semakin mendesak. Berpegang kepada zahir hadis yang menyatakan "pengutip cukai tidak akan masuk syurga" tanpa analisis mendalam, seolah-olah menyifatkan Saidina Umar masih lagi jahil sunnah Nabi dan tidak akan ke syurga.

Kenyataan itu ternyata bercanggah dengan sebuah hadis yang menyatakan beliau adalah salah seorang daripada 10 sahabat yang sudah dijamin syurga (Sunan Abu dawud, al-Tirmidhi, Musnad Ahmad). Ia juga bercanggah dengan arahan Rasulullah SAW yang menyuruh kita mengikut sunnah Khulafa' al-Rashidin selepasnya (Sunan Abu Dawud, al-Tirmidhi, Ibn Majah & Musnad Ahmad).

Menurut Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Zakat, hadis yang mencela pengutipan cukai itu sebenarnya didatangkan dalam konotasi negatif iaitu (Sahib Muks). Ia merujuk kepada cukai yang dikutip untuk menambah kekayaan pemerintah zalim dan kuncu-kuncunya serta menindas rakyat.

Hak rakyat pada cukai itu tidak dikembalikan sebagaimana yang sepatutnya. Akibatnya, jurang ekonomi antara pemerintah dan rakyat bertambah jauh. Sesetengah raja Arab pada zaman jahiliah sudah biasa mengutip cukai sebegini.

Menurut majoriti ulama, pengenaan cukai oleh pemerintah berjalan atas asas Islam yang dikenali sebagai Masalih al-Mursalah iaitu sesuatu peraturan baru yang terbukti mempunyai kepentingan dan faedah kepada umum walaupun tidak dinyatakan dengan jelas oleh al-Quran dan al-Sunnah.

Dengan perkataan lain, pengenaan cukai oleh pemerintah menjadi peringatan kepada rakyat bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga setiap inci bumi yang mereka diami sama ada dengan harta atau jiwa raga mereka.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat