Google+ Followers

TERIMA KASIH

MTMR

Wednesday, October 7, 2015

1MDB Perlu penyelesaian segera?

KENYATAAN MEDIA

YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO

Saya amat menyambut baik dan menjunjung kasih titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap piha-pihak yang terlibat. Titah yang terkandung dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Peyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad  semalam menunjukkan keprihatinan DYMM Raja-Raja terhadap kemelut 1MDB yang semakin hari semakin menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

DYMM Raja-Raja pada kebiasaannya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kecuali ianya melibatkan isu besar yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara. Apabila DYMM Raja Raja bertitah mengenai isu 1MDB, ini menandakan 1MDB adalah satu isu yang amat besar pada hemat baginda sekalian dan membayangkan kebimbangan mereka tentang kesan negatif kemelut 1MDB terhadap rakyat jelata dan negara. Titah DYMM Raja-Raja dalam hal ini amatlah saya hargai dan sanjung tinggi.

Oleh kerana DYMM Raja-Raja telah bertitah menggesa kerajaan supaya bertindak segera menyelesaikan kemelut 1MDB, maka pihak yang sewajarnya menjunjung titah baginda sekalian ialah YAB Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan. Tanggungjawab menyelesaikan isu ini akhirnya terpikul di bahu YAB Perdana Menteri sendiri.

Beliau mesti memastikan siasatan terhadap 1MDB oleh agensi-agensi berkaitan dijalankan secara telus, adil dan berkecuali tanpa sebarang gangguan atau campur tangan daripada mana-mana pihak. Lebih penting lagi, jika hasil siasatian mendapati  terdapat pihak-pihak yang melanggar undang-undang, maka tindakan undang-undang perlu diambil dengan kadar segera tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Sehingga kini, masih tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak berhubung skandal 1MDB. Sepertimana yang dilaporkan oleh media, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, telah membuat kenyataan bahawa BNM telah pun menyelesaikan siasatan berhubung transaksi 1MDB dan hasil siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara pada bulan Ogos yang lalu.

Jika hasil siasatan Bank Negara mengandungi bukti-bukti yang boleh mensabitkan mana-mana pihak dengan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang negara, maka adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa mereka yang terbabit di mahkamah.

Saya khuatir oleh kerana kemelut 1MDB adalah satu isu yang menyentuh kepentingan awam, maka kelewatan Peguam Negara membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis. Adalah wajar bagi Peguam Negara tampil dalam masa terdekat untuk memaklumkan kepada masyarakat umum mengenai perkembangan mutakhir berhubung perkara ini.

Mengambil semangat titah DYMM Raja-Raja berhubung kemelut 1MDB, agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dahulunya terlibat dalam Pasukan Petugas Khas siasatan terhadap 1MDB mesti diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk meneruskan siasatan terhadap syarikat ini hingga selesai dan menyerahkan  hasil siasatan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. 

Begitu juga dengan siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Keanggotaan PAC mesti diisi dengan segera untuk membolehkan jawatankuasa ini meneruskan siasatan mereka terhadap 1MDB. Amat malang sekiranya siasatan oleh PAC terbengkalai hanya disebabkan beberapa ahlinya menerima pelantikan sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan ekoran rombakan kabinet baru-baru ini.

Masyarakat umum juga tertunggu-tunggu laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Laporan awal mengenainya telah pun diserahkan kepada PAC. Dengan siasatan oleh PAC yang tergendala setakat ini, masyarakat umum pastinya ingin mengetahui status laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

Pada hemat saya, perkembangan siasatan dan pendakwaan berhubung skandal 1MDB amat mendukacitakan. Di satu peringkat kerajaan kelihatan serius untuk menyelesaikan kemelut ini, tetapi kemudiannya perkembangan proses siasatan kelihatan perlahan dan hampir tergendala. Seolahnya terdapat tangan-tangan ghaib yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak-pihak tertentu. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Saya juga berasa bimbang dengan tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan mengenai 1MDB. Yang terbaharu ialah penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012 semata-mata kerana tindakan beliau membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa di luar negara berhubung transaksi 1MDB.

Seingat saya SOSMA adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan atau terrorisme. Adakah tindakan membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa berhubung transaksi yang dibuat oleh sebuah syarikat swasta merupakan satu kegiatan keganasan? Adakah 1MDB kini telah menjadi satu institusi yang kebal dan amat dilindungi oleh pihak berkuasa negara kita? Saya tidak fikir begitu. Membuat laporan terhadap 1MDB bukanlah satu kegiatan keganasan dan 1MDB bukanlah sebuah institusi yang kebal. 1MDB adalah satu entiti yang tertakluk kepada undang-undang negara.

Memandangkan DYMM Raja-Raja telahpun bertitah menggesa kerajaan menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit, maka pada hemat saya adalah amat wajar bagi warganegara yang prihatin menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu 1MDB atau membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya menyiasat setiap dakwaan terhadap 1MDB secara telus, adil dan berkecuali. Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya.

Malaysia adalah sebuah negara yang berpaksikan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berasaskan perlembagaan dan undang-undang negara dalam menyelesaikan kemelut 1MDB bukan sahaja akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis malah mencemarkan nama Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

Dalam beberapa lawatan saya ke luar negara yang mutakhir ini, saya sering ditanya oleh pemimpin negara luar tentang isu 1MDB. Mereka berasa amat hairan dengan apa yang terjadi kepada negara kita. Mereka tidak percaya sebuah syarikat pelaburan strategik negara menanggung hutang berbillion ringgit dan menghadapi masalah aliran tunai yang kronik sehingga tidak mampu untuk membayar hutang-piutang syarikat. Lebih malang jika wang dalam kantung syarikat ini juga telah lesap.

Malaysia adalah sebuah negara yang amat dihormati oleh masyarakat antarabangsa dan diyakini oleh para pelabur dan pedagang di seluruh dunia. Janganlah kita biarkan kemelut 1MDB mencemarkan nama baik Malaysia. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Oleh yang demikian, amatlah wajar bagi kerajaan dan pihak berkuasa negara kita menjunjung sepenuhnya titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.


TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Presiden UMNO

7 Oktober 2015

Kebaikan perjanjian TPPA!!!

Pandangan Pakar Sains Politik tentang TTPA - Dari Prof Agus

SAYA menerima banyak permintaan dari sahabat supaya menulis tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement yang akan ditandatangani pada Oktober nanti. Pada mulanya saya tidak mahu menulis tentang isu ini kerana mahu serahkan kepada pakar ekonomi untuk menulis mengenainya. Tetapi apabila tidak ada ulasan yang saya harapkan, maka saya menulis juga untuk memberi pencerahan kepada kawan-kawan supaya kita semua tahu tentang inti Perjanjian ini dan kesannya kepada kita.

TPPA adalah perjanjian multilateral terikat yang melibatkan negara Asia Pasifik seperti Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam. TPPA ini alah tentang liberalisasi pasaran di mana negara ahli bebas berniaga di pasaran negara ahli secara terbuka sesuai dengan konsep globalisasi.

Masalahnya dengan TPPA ini ialah semua perbincangannya dibuat secara rahsia dan semua teks perbincangan adalah rahsia sehinggalah selepas empat tahun perjanjian dimeterai. Ini bermakna perjanjian TPPA ini meletakkan rakyat dalam kegelapan, sesuatu yang cukup pelik dalam sebuah dunia terbuka tanpa sempadan.

Apabila ditanya mengapa dirahsiakan, jawapan kerajaan adalah standard: Perjanjian ini baik untuk negara kerana memudahkan barangan kita untuk memasuki pasaran luar. Persoalannya, jika TPPA begitu bermanfaat, mengapa teks perjanjian yang sedang dirundingkan tidak dibentangkan untuk pengetahuan umum? Mengapa perlu berahsia?

Saya tanyakan hal di atas kerana terdapat beberapa klausa dalam TPPA ini yang akan memberikan kesan yang cukup besar kepada rakyat dan negara dan cukup membimbangkan saya. Untuk maklumat ringkas, di bawah ini saya perturunkan beberapa kesan negatif yang perlu sangat kita ketahui:

i. Hampir 80% harga ubat akan menjadi mahal, sehingga mencecah 1000% dari harga sekarang. Ini kerana ubat generik yang lebih murah tidak boleh dijual lagi kerana Malaysia terikat menggunakan ubat patented (asli) yang dihasilkan syarikat famarkeutikal dari luar negara. Kesannya akan menyukarkan pesakit berpendapatan rendah dan sederhana kerana kos untuk mendapatkan ubatan menjadi sangat tinggi. Bayangkan jika seorang guru menghidap penyakit barah yang memerlukan ubat bernilai RM7000 sebulan, mampukah mereka untuk membayar kos perubatan semahal itu? Apakah nasib ramai rakyat di negara kita nanti?

ii. Syarikat gergasi akan bebas berniaga di negara kita menyebabkan usahawan-usahawan kecil terpaksa bersaing dengan syarikat gergasi dari luar negara. Ini seolah-olah meletakkan kepentingan syarikat asing mengatasi kepentingan rakyat kita. Ini juga seperti memberi kuasa kepada negara maju seperti AS, Singapura dan Australia untuk mencereboh ekonomi negara kita.

iii. Kerajaan boleh disaman oleh pelabur luar di tribunal antarabangsa yang berpangkalan di Washington dan Geneva jika terdapat dasar-dasar kerajaan yang boleh merugikan hak pelabur luar dan menghalang aktiviti perdagangan mereka. Ini tentunya menjejaskan bidang kuasa kerajaan dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara.

iv. Petani kita terpaksa bersaing dengan hasil pertanian luar negara. Lebih merisaukan lagi ialah TPPA bakal memberi kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras dari AS yang menerima subsidi yang tinggi dipasarkan di negara ini. Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan terjejas jika TPPA dimeterai.

v. TPPA juga menyebabkan bidang pelaburan dan khidmat undang-undang dan pelbagai khidmat profesional tempatan yang lain terpaksa berhadapan dengan persaingan pasaran terbuka. Mampukah industri perkhidmatan kita berhadapan dengan kemasukan syarikat gergasi ini?

vi. TPPA melanjutkan perlindungan hakcipta bahan-bahan rujukan dari 50 tahun selepas kematian penerbit kepada 120 tahun. Ini bermakna segala bahan-bahan rujukan yang kini percuma dan telah didigitalkan akan menjadi terhad kepada pengguna. Ini juga bermakna segala bahan rujukan wajib dibeli atau wajib dibayar sewa, sekaligus menghadkan kemudahan ilmu kepada rakyat yang kurang mampu.

Justeru implikasi TPPA ini besar kepada rakyat dan negara, maka saya merayu supaya kerajaan mengambil tindakan berikut terlebih dahulu sebelum memetarai perjanjian ini. Antaranya:

i. Menangguhkan perundingan TPPA sehingga segala teks mengenainya didedahkan kepada rakyat untuk mendapatkan maklumbalas. Rakyat berhak tahu dan diberi hak memberi pandangan kerana perjanjian ini melibatkan kualiti hidup mereka.

ii. Ahli parlimen perlu diberi pencerahan dan perlu membahaskan baik buruk Perjanjian ini. Semasa membahaskan hal ini, ahli parlimen perlulah melihat Perjanjian ini dari aspek kebaikannya untuk rakyat dan negara, bukannya berterusan terikat kepada kepentingan parti.

iii. Kerajaan mesti menolak status layanan tempatan yang perlu diberikan kepada syarikat gergasi luar.

Saya akui TPPA ini ada baiknya untuk negara kerana kita bergantung kepada kemasukan pelaburan luar untuk memacu ekonomi negara kita. Namun, setelah mengamati kesan perjanjian ini, saya dapati perundingan TPPA ini perlu disemak semula dengan teliti oleh kerajaan kerana ia memberi kesan besar kepada rakyat. Sekiranya kerajaan mendapati keburukannya lebih banyak dari kebaikan, maka masih belum terlewat untuk kita menarik diri daripada Perjanjian ini.

Harapan saya cuma satu dari keputusan muktamad yang bakal diambil oleh kerajaan nanti: Jangan biarkan anak cucu kita tergadai melalui perjanjian yang bersifat globalisasi ini. Jangan biarkan menang sorak kampung tergadai.

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat