MALBATT 850-1 harumkan  nama Malaysia  
Hishammuddin bersama anggota MALBATT 850-1 berdoa selepas bersembahyang Tarawih di Kem Marakah, Beirut, Lubnan, semalam.
 
Misi keamanan PBB diterima penduduk tempatan

Lubnan: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melahirkan rasa bangga dengan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-1 kerana mengharumkan nama negara dalam misi keamanan di bawah bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.
 
Katanya, kehadiran MALBATT 850-1 bukan saja diterima masyarakat setempat, malah laporan diterima daripada orang luar dan hasil interaksi membolehkan mereka yang tidak mengenali Malaysia sebelum ini mula mengetahui mengenai Malaysia.
Kita tidak boleh bandingkan apa yang dilakukan anggota MALBATT 850-1 di sini kerana yang menjadi gadaian adalah nyawa mereka yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit” Hishammuddin Hussein, Menteri Pertahanan

“Saya mendengar bagaimana anggota MALBATT 850-1 yang terdiri daripada pelbagai kaum mendekati penduduk di sini dan diterima di sini.

“Sekiranya ada yang bertanya apa kelebihan yang ada pada anggota kita, ia adalah keikhlasan,” katanya selepas mengakhiri lawatan sehari suntuk ke tiga kem yang menempatkan anggota MALBATT 850-1 iaitu Kem Marakah, Kem Shamrock dan Kem Tibnin.