TERIMA KASIH


counters

MTMR

Friday, October 25, 2013

PENDAHULUAN (sambungan)

TERAS BAJET 2014

Tuan Yang di-Pertua,

17. Bajet 2014 digubal untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang kukuh dan mengurangkan defisit fiskal negara, dengan matlamat keseluruhannya Memakmur Negara dan Mensejahtera Rakyat. Memenuhi maksud ini, Bajet 2014 dirangka bertemakan “MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI”, dengan menggariskan lima teras utama.

Teras Bajet Yang Pertama: Merancak Aktiviti Ekonomi
Teras Bajet Yang Kedua: Mengukuh Pengurusan Fiskal
Teras Bajet Yang Ketiga: Mengunggul Modal Insan
Teras Bajet Yang Keempat: Mempergiat Pembangunan Bandar dan
Luar Bandar

Teras Bajet Yang Kelima: Mensejahtera Kehidupan Rakyat



PRESTASI EKONOMI 2013 DAN PROSPEK 2014

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

18. Terlebih dahulu, izinkan saya mengutarakan tentang prospek ekonomi global dan negara masa kini. Ekonomi dunia dijangka berkembang perlahan dengan kadar 2.9 peratus pada tahun 2013. Malaysia tidak terkecuali daripada tempias ini. Namun, asas ekonomi negara yang kukuh dan dasar monetari yang akomodatif membolehkan kita terus mencatat pertumbuhan yang mapan. Malah, dalam tempoh separuh pertama tahun ini, ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus.

19. Indikator ekonomi menunjukkan trend yang menyokong pertumbuhan. Sebagai contoh, sehari sebelum pembentangan Bajet ini, Indeks Bursa Malaysia mencatat paras dan nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu 1,818 mata, bersamaan dengan nilai pasaran 1.66 trilion ringgit pada penutup Bursa, 24 Oktober 2013. Ia membuktikan keyakinan pelabur luar dan domestik semakin meningkat.

20. Kemasukan pelaburan langsung asing bersih pula, jumlahnya lebih tinggi, yakni 18.2 bilion ringgit berbanding 15.9 bilion ringgit pada separuh pertama 2012. Manakala, rizab antarabangsa pula, kekal kukuh sebanyak 444.9 bilion ringgit pada 14 Oktober 2013. Tuan Yang di-Pertua, jumlah ini mampu membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

21. Bagi keseluruhan tahun 2013, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Prestasi tersebut disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 16.2 peratus dengan anggaran pelaburan sebanyak 165 bilion ringgit. Di samping itu, penggunaan swasta dan awam dijangka berkembang 7.4 dan 7.3 peratus, disokong terutamanya oleh kerancakan aktiviti ekonomi domestik.

22. Pada tahun 2014, berdasarkan prospek ekonomi global yang dijangka lebih baik, ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 5 hingga 5.5 peratus. Pertumbuhan ini akan dipacu oleh pelaburan swasta, sebanyak 12.7 peratus dan penggunaan swasta sebanyak 6.2 peratus.

23. Berikutan perkembangan positif permintaan luar negara, eksport barangan dijangka meningkat pada kadar 2.5 peratus. Dari sudut penawaran, sektor pembinaan dianggar meningkat pada kadar 9.6 peratus dan diikuti sektor perkhidmatan 5.7 peratus. Kadar pengangguran pula dianggar hanyalah pada 3.1 peratus, manakala kadar inflasi kekal rendah di paras 2 hingga 3 peratus.

Tuan Yang di-Pertua,

24. Ingin saya kongsikan di sini, pendapatan perkapita tahun 2014 dijangka akan mencecah 34,126 ringgit berbanding 24,879 ringgit pada tahun 2009. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh 6 tahun. Sehubungan hal ini, jika dicongak, InsyaAllah, besar kemungkinan pendapatan perkapita pada tahun 2020 kelak mampu melebihi sasaran 46,500 ringgit atau 15 ribu Dolar Amerika. Dalam erti kata lain, mudah-mudahan kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun 2020.

PERUNTUKAN BAJET 2014

Tuan Yang di-Pertua,

25. Bajet 2014 akan menyediakan peruntukan sebanyak 264.2 bilion ringgit bagi melaksanakan langkah-langkah, program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, 217.7 bilion ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan 46.5 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.

26. Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah 63.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 36.6 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 114.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.4 bilion ringgit lagi, disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.5 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

Tuan Yang di-Pertua,

27. Daripada peruntukan pembangunan yang berjumlah 46.5 bilion ringgit itu, sejumlah 29 bilion ringgit disediakan untuk sektor ekonomi. Sebanyak 10.5 bilion ringgit bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 3.9 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan. Selebihnya, 1.1 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.

28. Pada tahun 2014, Kerajaan Persekutuan mengunjurkan kutipan hasil sebanyak 224.1 bilion ringgit, yakni, tambahan sebanyak 4 bilion ringgit berbanding tahun 2013. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurangan kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK bagi tahun 2014, berbanding 4 peratus pada tahun 2013. Jelas di sini Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan sangat komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan negara.

Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

29. Dengan mengambil kira senario ekonomi antarabangsa dan domestik semasa seperti yang tersebut, maka sekarang saya bentangkan lima teras yang dirangka sebagai tunjang dan pedoman bagi Bajet 2014.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat