Kuala Lumpur: Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan merogol serta merompak seorang wanita, September lalu.

Mohamad Azhan Mohamad Johan, 28, yang bisu dan pekak, membuat pengakuan itu dalam bahasa isyarat sebaik tuduhan dibacakan oleh jurubahasa isyarat di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.


Tertuduh yang bekerja sebagai tukang cuci dan berasal dari Setapak, didakwa atas dua tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita berusia 38 tahun.


Dia turut didakwa merogol wanita berkenaan dan merompak RM100 daripada mangsa di Menara UAB, Jalan Tun Perak, antara jam 7 pagi hingga 7.15 pagi, 12 September lalu.

Azhan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377C bagi pertuduhan seks luar tabii, yang mana kedua-duanya membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan merompak, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebat.

Tak dibenar diikat jamin

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 November ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurmadiana Mamat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 24 September lalu, pendakwaan terhadap tertuduh tidak dapat diteruskan selepas Mohamad Azhan tidak boleh mendengar tuduhan yang dibacakan ke atasnya.