Parlimen telah dibubar, tarikh penamaan calon sudah ditetapkan dan rakyat yang berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei akan datang.
Nabi SAW bersabda: “Demi Allah sesungguhnya kami tidak akan memberikan tugas kepimpinan kepada orang yang memintanya dan orang yang tamak dengannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Rakyat juga diberi ruang untuk menilai dan muhasabah pemerintah sedia ada bagi menentukan pemerintah benar-benar amanah dalam menjaga agama dan hak asasi mereka secara adil, bagi penggal akan datang.
Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitab Ad-Din Wa As-Siyasah menyatakan, “Yang kita maksudkan dengan demokrasi (yang diterima dalam Islam) ialah dari sudut politiknya iaitu inti pati demokrasi ialah rakyat memilih pemerintah yang akan mentadbir urusan negara. Maka ini seperti ditekankan Islam melalui konsep syura dan bai’ah. Hal ini kerana Islam menolak dan mencela sistem pemerintahan firaun dan diktator. Dan sesungguhnya Allah bersama-sama dengan jemaah. Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar: Sekiranya kamu berdua bersepakat dalam satu pandangan, maka aku tidak akan bertentangan dengan kamu. Hadis ini menjadi dalil bahawa Nabi SAW memperakui akan suara majoriti.”
Pemilihan pemimpin
Pemilihan pimpinan adalah perkara penting bagi umat Islam kerana mereka akan membawa hala tuju orang yang dipimpin. Kepimpinan satu tanggungjawab sangat berat, bukan suatu benda yang harus direbut.
Nabi SAW bersabda: “Demi Allah sesungguhnya kami tidak akan memberikan tugas kepimpinan kepada orang yang memintanya dan orang yang tamak dengannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hari ini, orang berebut-rebut menawarkan diri untuk menjadi pemimpin dan tamakkan kuasa, sampaikan terjadi permusuhan berpanjangan walaupun sesama Islam, memburuk-burukkan satu sama lain, semata-mata untuk memenangi hati pengundi.
Kemajuan teknologi menjadikan sumber maklumat lebih luas dan jaringan media yang tersebar memberi rakyat pilihan. Sebagai orang Islam, pilihan perlulah berdasarkan nas-nas al-Quran dan as-sunnah, serta buat pilihan secara adil.
Seseorang yang dipilih untuk menjadi imam solat pun hendaklah disukai makmumnya supaya solat yang dipimpin imam itu diterima, maka lebih-lebih lagi dalam konteks pemerintahan negara, pemimpin dipilih perlulah yang disukai dan disenangi rakyatnya.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Dan seburuk-buruk pemimpin ialah kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu dan kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.” (Riwayat Muslim).
Adalah menjadi suatu pengkhianatan terhadap Allah, Rasulullah SAW dan rakan seagama yang lain jika pemimpin yang dipilih tidak diredai Allah dan Rasul-Nya. Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik seorang lelaki untuk mengurus dan memerintah satu kaum sedangkan ada yang Allah lebih reda daripada lelaki itu, sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang beriman.” (Riwayat Hakim).
Pemimpin yang dipilih perlu seorang yang bertakwa kepada Allah SWT dan amanah terhadap kepimpinannya. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu akan menakluk di timur dan di barat bumi. Semua pemimpin-pemimpinnya berada dalam neraka kecuali dia bertakwa kepada Allah dan yang memegang amanah.” (Riwayat Ahmad).
Sifat amanah selalunya berjalan seiring dengan sikap mengotakan janji dan bercakap benar. Seorang pemimpin yang khianat terhadap amanah diberikan, tidak mengotakan janji dan berbohong untuk mendapatkan undi adalah tergolong dalam golongan munafik seharusnya ditolak.
Berpaksikan akal waras, dipandu oleh ilmu dan iman, umat Islam mestilah berhati-hati membuat pemilihan. Jadilah pengundi yang bijak dan matang. Pelbagaikan bahan bacaan dan lihatlah sumber untuk memperluaskan skop pemikiran seterusnya membolehkan kita membuat ijtihad yang betul.
Nilai cara berkempen
Satu cara mudah untuk menilai kepimpinan adalah dengan melihat cara mereka berkempen. Cara berkempen yang baik adalah secara berhemah dan mengikut lunas Islam, menjaga nama baik umat Islam, menjaga tata susila sebagai rakyat yang bertamadun dan matang.
Semangat demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di negara ini seharusnya disuburkan dengan menghormati undang-undang dan peraturan pilihan raya, bukan dengan kempen politik liar, berbaur perkauman, caci maki, sehingga boleh menjejaskan keamanan negara.
Kempen sebegini wajar ditolak oleh rakyat kerana ia bertentangan dengan prinsip dan dasar diajar oleh Islam.
Apa yang qath’i disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran ialah ukhuwah atau persaudaraan sesama Islam. FirmanNya: “Sesungguhnya orang Mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujuraat, ayat 10).
Inilah yang perlu diberi keutamaan dan dipertahankan rakyat supaya tidak memutuskan tali silaturahim yang akan mengundang murka Allah SWT. Selepas tamat pilihan raya kita akan bertemu juga jiran dan sahabat handai yang mungkin kita bermasam muka semasa musim pilihan raya.
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.