Abdul Ghani berkata, beliau menyedari kerusi Parlimen Gelang Patah yang ditandinginya menjadi tumpuan ramai kerana bakal berentap dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Saya sedia menghadapi cabarannya kerana bertanding bukan untuk benam atau kuburkan sesiapa pun, tetapi untuk kemenangan BN, walaupun berat” Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor
“Saya dengan rendah hati menawarkan diri untuk berkhidmat kepada masyarakat Gelang Patah berbekalkan pengalaman selama 18 tahun di Johor,” katanya selepas majlis pelancaran manifesto dan pengumuman calon BN Johor di sini, semalam.
Calon di tiga DUN diumum kemudian
Mengulas lanjut calon BN yang bakal bertanding di Johor, Abdul Ghani berkata, calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senai, Pekan Nanas dan Tanjung Piai akan diumumkan, tidak lama lagi.
“Tiga kerusi ini membabitkan MCA dan kita masih tunggu keputusan muktamad pucuk pimpinan. Ada perkembangan terkini yang perlu dilihat semula demi mencari calon yang paling sesuai,” katanya.
Mengulas fokus kempen BN Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Abdul Ghani berkata, parti akan menumpukan segala usaha bagi memastikan kemenangan BN.
Beliau juga meminta seluruh kepemimpinan dan ahli komponen BN Johor merapatkan barisan dan menunjukkan kesetiaan demi memastikan kemenangan besar parti.
“Penting bagi ahli parti kekal setia walaupun siapa juga dicalonkan bertanding pada PRU-13 ini. Saya yakin ahli komponen BN tidak tergamak memperjudikan masa depan Johor dengan memberi peluang kepada pembangkang hanya kerana tidak dicalonkan.
“Inilah masanya, ahli parti menunjukkan kesetiaan mereka kepada parti dan berganding bahu memastikan kemenangan BN,” katanya.
Mengulas kemungkinan wujud unsur sabotaj dari kalangan pemimpin yang tidak dicalonkan, Abdul Ghani berkata, BN Johor yakin dapat menangani masalah itu.
“Insya-Allah tiada. Kalau ada pun unsur sebegitu, BN negeri yakin dapat menanganinya. Ahli parti sedar betapa kesetiaan serta kekukuhan parti amat penting bagi memastikan kemenangan BN. Inilah kekuatan BN Johor,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.