Kuala Terengganu: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,
mahu umat Islam bermuhasabah dan terus berpegang kepada ajaran al-Quran
dan Sunnah bagi menangani isu mencabar yang menyentuh sensitiviti agama
serta nilai budaya masyarakat setempat.
Baginda bertitah, selepas keputusan PRU-13 diumumkan, banyak isu
berbau perkauman, hak keistimewaan orang Melayu dan Perlembagaan
dibangkitkan oleh sesetengah pihak dan ia sedikit sebanyak menggugat
kestabilan politik serta keharmonian di negeri itu. Justeru titahnya, isu berkenaan mesti ditangani dengan bijak oleh semua
pihak bagi memastikan semangat perpaduan terus tersemat terutama dalam
kalangan rakyat negeri ini.
“Beta berasa amat bersyukur kerana PRU-13 berlangsung dengan aman hasil kerjasama yang diberikan semua pihak.
“Bagaimanapun, susulan keputusan PRU-13 juga, isu perkauman, hak keistimewaan orang Melayu dan Perlembagaan negara dibangkitkan dan ini menggugat kestabilan politik dan keharmonian negeri.
Berpegang kepada al-Quran dan Sunnah “Justeru Beta menyeru setiap umat Islam bermuhasabah dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah bagi menangani isu yang mencabar ini,” titah baginda pada Majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang Ke-13 di sini, semalam.
Turut berangkat, Sultanah Nur Zahirah. Sultan Mizan juga mengingatkan kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, meneruskan program pembangunan seperti dirancang tetapi dengan langkah berjimat cermat bagi memastikan pengurusan sumber ekonomi negeri dilakukan dengan cekap dan berkesan.
Baginda bertitah, pembangunan daripada semua aspek fizikal, pelancongan dan pertanian dapat memajukan negeri sekali gus memanfaatkan rakyat dengan mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.
“Beta ingin mengingatkan segala apa jua pembangunan yang dilakukan hendaklah secara menyeluruh supaya tidak ada tempat (yang) ketinggalan. “Namun begitu, langkah berjimat cermat perlu dilakukan dalam perbelanjaan negeri.
Projek yang kurang efektif dan tidak memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat perlu dielakkan,” titah baginda sambil mengingatkan supaya semua wakil rakyat mematuhi peraturan tetap dewan dan menghormati satu sama lain ketika bersidang.
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.