YUKTES
VIJAY telah menulis dua surat terbuka kepada Anwar Ibrahim. Surat
tersebut menceritakan “untold story” berhubung kes liwat membabitkan
bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Kita
memang tahu bahawa telah ramai orang diperdayakan oleh Anwar namun
Yuktes tetap rasa cukup menyesal kerana membiarkan dirinya dicucuk
hidung sedangkan beliau sepatutnya mendedahkan perkara sebenar lebih
awal lagi.
Oleh
itu Yuktes telah nekad mahu memastikan rakyat Malaysia tidak melakukan
kesilapan yang serupa. Beliau tidak mahu melihat Anwar dilantik menjadi
Perdana Menteri.
Yuktes mula bertemu Anwar tiga minggu selepas beliau bekerja dengan
Sankara Nair. Lokasinya di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, kes saman
fitnah Anwar terhadap Dr. Mahathir.
“Pada perjumpaan pertama itu, saya dapati Anwar seorang yang mudah mesra. Soalan pertama yang beliau tanya ialah berapa umur saya. Saya pun memberitahu Anwar umur saya 22 tahun. Kemudian, beliau tanya sama ada saya sudah mengisi borang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi saya jawab tidak berminat dalam bidang politik kerana ingin menjadi seorang peguam.”
“Kembali kepada kisah saya bekerja dengan Sankara Nair. Saya tidak
merungut sedikit pun sebab saya rasa seperti sangat beruntung kerana
didedahkan dengan kes yang paling besar dan berprofail tinggi di
Malaysia pada masa itu. Saya baru sahaja tamat pengajian. Jadi, mengapa
saya perlu merungut? Semua kawan-kawan saya mahu berada di tempat saya.”
“Ketika saya mula menghadiri perbicaraan kes itu di mahkamah, Mohd.
Saiful Bukhari telah selesai memberi keterangan. Berdasarkan keterangan
Mohd. Saiful Bukhari dan nota-nota mahkamah, saya mendapati ada sedikit
persamaan antara kami berdua. Mohd. Saiful Bukhari memberitahu mahkamah,
Anwar ialah idolanya. Anwar pun idola saya ketika itu. Pada masa itu
saya amat membenci Mohd. Saiful Bukhari kerana beliau cuba mencaci idola
saya.”
“Perasaan saya terhadap Anwar boleh diibaratkan seperti perasaan
seorang peminat terhadap selebriti pujaannya. Apa sahaja yang Anwar
kata, saya percaya. Secara jujur, saya amat membenci akhbar Utusan
Malaysia dahulu. Sekiranya saya dapati nasi lemak dibungkus dengan
akhbar Utusan Malaysia, saya pasti tidak akan membelinya.”
Namun tembelang Anwar akhirnya terbongkar pada 21 Mac 2011. “Saya
pasti 100 peratus kerana itu tarikh lahir saya. Kira-kira pukul 2
petang, Sankara Nair memasuki pejabat dan mengajak saya ke rumah Anwar
di Segambut Dalam. Di dalam kereta, Sankara Nair memberitahu, beberapa
orang kenamaan bergelar ‘Datuk’ sedang menayangkan video seks kepada
sekumpulan wartawan di Hotel Carcosa Seri Negara. Pada masa itu, saya
tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak mendengar sebarang berita pun.
Tiada laporan tentang perkara itu oleh MalaysiaKini.”
“Tiba di rumah Anwar, saya lihat isterinya yang juga Presiden PKR,
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden PKR, Tian Chua;
Setiausaha Akhbar Anwar, Ikmal Ahmad; pemimpin PKR, R. Sivarasa dan dua
lagi individu yang saya tidak kenali berkumpul di sebuah bilik. Kalau
tidak silap, pada masa yang sama, kumpulan wartawan yang pertama sedang
menonton video seks di Hotel Carcosa Seri Negara. Lima minit kemudian,
Anwar memasuki bilik itu dengan memakai singlet dan kain sarung. Beliau
duduk di kerusi dan saya seterusnya menyatakan rasa simpati terhadap
beliau dan berjanji akan mempertahankan namanya.”
“Kami berbincang bagi mencari alasan bagi menafikan dakwaan yang
bakal timbul susulan penayangan video seks itu. Salah satu alasan yang
dicadangkan adalah video seks tersebut direka menggunakan teknologi CGI
(computer-generated imagery). Saya beritahu Anwar, alasan ini sukar
diterima kerana penghasilan klip video berdurasi 15 minit menggunakan
teknologi CGI memerlukan perbelanjaan yang besar. Anwar kata UMNO ada
banyak duit.”
“Semasa berbincang, kami juga mencipta alasan kononnya lelaki dalam
video seks itu memakai topeng. Seperti yang dipraktikkan dalam filem
Hollywood. Namun, buat pertama kalinya, saya rasa kurang senang dengan
Anwar. Saya berkata di dalam hati, tiada siapa yang tahu lelaki di dalam
video itu ialah Anwar. Mengapa beliau panik?”
“Bila dalam keadaan resah, Anwar akan menggerakkan jari-jari
tangannya. Saya melihat situasi yang sama berlaku dan muka beliau
kelihatan resah. Dalam keadaan normal, riak wajah Anwar ceria dan
peramah. Setelah kumpulan kedua dibawa masuk menonton video seks di
Hotel Carcosa Seri Negara, timbul desas-desus mengatakan seorang
pemimpin pakatan pembangkang terlibat. Tetapi, sesiapapun boleh
dikaitkan.”
“Boleh jadi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar atau Penasihat DAP,
Lim Kit Siang. Mengapa Anwar harus panik. Saya tidak fikir Kit Siang
akan panik setelah mendengar desas-desus itu. Saya pun hairan. Anwar
seorang yang rasional dan bijak. Mengapa Anwar panik disebabkan oleh
video yang beliau sendiri tidak pernah menontonnya?”
“Saya masih ingat lagi kami dihidangkan teh dan karipap oleh Dr. Wan
Azizah. Selepas sejam berada di rumah tersebut, saya perasan Dr. Wan
Azizah berbisik kepada Anwar, ‘‘Bang, jam tak ada." Pada masa itu, saya
tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Dr. Wan Azizah. Saya terdengar
Anwar seolah-olah berkata, ‘‘Tak apa, tak apa, tak apa." Tidak lama
kemudian, saya kembali ke pejabat dan imej video tersebut mula tersebar.
Sankara Nair memberitahu saya, isu itu masih belum membabitkan soal
perundangan dan kami tidak perlu masuk campur kerana akan diuruskan oleh
‘budak-budak politik’.”
“Sebelum keluar dari rumah, saya terdengar mereka membuat perancangan
berkaitan dengan ‘perut buncit’. Semasa Anwar menunjukkan perutnya
dahulu, beliau masih memakai baju. Namun, semasa di rumah Anwar pada 21
Mac 2011, saya nampak perutnya memang buncit. Kesangsian saya terhadap
Anwar semakin bertambah.”
“Saya semakin ragu apabila Datuk Shazryl Eskay Abdullah membuat
kenyataan meminta Anwar menjelaskan di manakah jam tangan Omega. Saya
kaitkan kenyataan Shazryl Eskay itu dengan bisik-bisik di antara Dr. Wan
Azizah dan Anwar. Pada masa itu, kelihatan seperti masuk akal.
Bagaimanapun, saya tidak berfikir panjang tentang perkara itu.”
“Saya fikir, setiap lelaki ada ‘keperluannya’ sendiri, jadi apa
masalahnya. Saya tahu perbuatan yang ditunjukkan dalam video seks itu
salah mengikut Islam tetapi saya anggap itu perkara biasa. Saya pun
tidak kisah. Pada masa yang sama, perbicaraan kes tuduhan Anwar meliwat
Mohd. Saiful Bukhari sedang berjalan.”
Semasa perbicaraan kes itu,beliau selalu berdolak-dalik. Isu laporan
perubatan oleh Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) merupakan salah satu
contoh. Anwar kata laporan itu bermasalah kerana tidak diisi dengan
betul. “Saya bukan peguam tersohor seperti Karpal Singh tetapi secara
logiknya, kita seharusnya memanggil individu yang mengisi borang itu ke
mahkamah. Lebih mudah untuk membuat pengesahan dengan individu
terbabit.”
“Sebaliknya, Anwar mendesak supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk
Mohamad Zabidin Mohd. Diah digantikan dengan hakim yang lain. Tiga kali
Anwar mengemukakan permohonan menukar hakim. Mengapa Anwar berbuat
demikian? Pada masa itu, situasi perbicaraan seperti memihak kepada
pihak pembelaan. Saya kemudiannya menyedari semua itu hanyalah permainan
Anwar. Itulah sebabnya perbicaraan kes tersebut memakan masa paling
lama dalam sejarah Malaysia. Tiga tahun lebih.”
“Semua orang sangka perbicaraan itu konspirasi UMNO dan Barisan
Nasional (BN). Sebenarnya, tidak. Bagaimana keadaan itu boleh berlaku?
Ia disebabkan tindakan Anwar memfailkan sebanyak 56 permohonan dan
rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.”
“Anwar juga pernah menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak terlibat dalam konspirasi kes liwat Mohd. Saiful Bukhari. Saya
mula sedar kes itu bukan satu konspirasi apabila pihak pembelaan menyoal
ibu angkat Mohd. Saiful Bukhari, Datuk Mumtaz Jaafar. Mumtaz
memberitahu, beliau tidak mahu membawa Mohd. Saiful Bukhari berjumpa
dengan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor. Jadi, Mumtaz membawa
Mohd. Saiful Bukhari bertemu Pegawai Khas Najib, Khairil Anas Yusof
untuk membuat temu janji.”
“Semasa perbicaraan, saya masih kurang jelas apa yang sebenarnya
berlaku. Setelah bekerja di pejabat penyandang kerusi Parlimen Hulu
Selangor, P. Kamalanathan, baru saya tahu. Katakan ada seorang pemuda
ingin berjumpa Kamalanathan berhubung permohonan biasiswa dan saya
mengaturkan temu janji antara mereka berdua. Namun, sekiranya pemuda itu
mengemukakan masalah lain dalam pertemuan itu, Kamalanathan tidak
bersalah. Begitu juga dengan Najib. Beliau tidak tahu tentang masalah
sebenar Mohd. Saiful Bukhari. Najib yang pada masa itu Timbalan Perdana
Menteri bertemu Mohd. Saiful Bukhari atas temu janji diatur Pegawai
Khasnya. Selepas Mumtaz disoal siasat, baru saya tahu penglibatan Najib
di dalam kes Mohd. Saiful Bukhari adalah secara tidak langsung.”
“Sebagai graduan undang-undang, saya percaya dengan apa yang saya
lihat. Memang tiada langsung bukti yang membabitkan Najib dalam
konspirasi seperti yang didakwa Anwar.”
“Kami juga menerima maklumat Timbalan Ketua Polis Pahang sekarang,
Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof (pada masa itu berpangkat Asisten
Suprintendan) pernah mengadakan pertemuan dengan Mohd. Saiful Bukhari di
sebuah hotel di Shah Alam, Selangor. Jadi, kami fikir kes ini satu
konspirasi. Anwar juga begitu yakin beliau akan dipenjarakan. Katanya,
cemarkan nama BN sebanyak yang mungkin.”
“Saya juga meragui hujah-hujah yang dikemukakan Anwar bagi
menjelaskan sebab beliau berada di Kondominium Desa Damansara yang
dikatakan sebagai lokasi kejadian liwat terhadap Mohd. Saiful Bukhari.
Anwar kata tujuannya berada di kondominium itu adalah untuk berjumpa
pakar ekonomi. Fakta itu tidak pernah dibuktikan.”
“Masalahnya, terdapat rakaman video menunjukkan dua lelaki Cina masuk
ke dalam kondominium tetapi apabila Mohd. Saiful Bukhari masuk, dua
lelaki terbabit telah keluar. Kami di pihak pembelaan mencari jalan
untuk menafikan Mohd. Saiful Bukhari berada di dalam bilik bersama
Anwar. Jadi, saya menyamar sebagai ejen hartanah dan dibenarkan masuk ke
kondominium terbabit setelah memberi kata laluan ‘Mokhtar’ kepada
pengawal keselamatan.”
“Timbul idea pada masa itu. Saya lihat ada kamera litar tertutup
(CCTV) yang merakam pergerakan keluar dari lif tetapi tiada CCTV yang
merakam pergerakan masuk ke dalam kondominium. Undang-undang sebenarnya
berkait rapat dengan aspek teknikal. Dengan memanipulasi aspek teknikal,
kami telah berjaya mencipta keraguan munasabah. Mohd. Saiful Bukhari
memang berada di dalam kondominium tetapi tiada bukti menunjukkan beliau
berada di dalam bilik yang sama dengan Anwar.”
“Walaupun berjaya mencari jalan untuk membantu Anwar, rasa sangsi
terhadap idola saya itu masih ada. Saya sering ponteng kerja. Namun,
saya sering berkata kepada diri sendiri, ‘‘Apa masalahnya kalau kita ada
seorang Perdana Menteri yang biseksual?'' semata-mata untuk menyedapkan
hati. Saya juga semakin kurang rapat dengan Anwar. Semasa menyaksikan
perbicaraan kes Anwar dituduh meliwat Mohd. Saiful Bukhari, saya selalu
duduk di bahagian belakang dan tidur. Keluarga saya pun mula menghadapi
masalah kewangan. Saya terpaksa meminjam duit daripada kawan-kawan. Ada
di antara mereka yang mencaci saya tetapi saya tidak tergamak
memberitahu mereka, saya tidak dibayar gaji walaupun bekerja untuk
Anwar. Ironinya, semua kawan-kawan saya itu merupakan penyokong pakatan
pembangkang.”
“ Kebencian terhadap Anwar yang pernah saya jadikan idola timbul selepas demonstrasi Bersih 3.0 di Kuala Lumpur tahun lalu.”
“Untuk makluman, saya turut menyertai demonstrasi itu. Saya berada di
sekatan polis paling hadapan yang memisahkan peserta demonstrasi dan
Dataran Merdeka. Kira-kira pukul 5 petang, saya ternampak sekumpulan
ahli-ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menendang sekatan polis.
Petugas-petugas Unit Amal Pas cuba menghentikan perbuatan itu tetapi
ahli-ahli SAMM terus melakukannya.”
“Selepas itu, pihak polis mula bertindak. Saya juga nampak Tian Chua
berdiri berhampiran sekatan polis. Dalam suasana yang agak kecoh itu,
saya terlihat pihak polis cuba menahan seorang lelaki manakala seorang
wanita yang dipercayai kenalan lelaki itu cuba menghalang. Tanpa
membuang masa, saya cuba menyelamatkan wanita terbabit. Kemudian,
berlaku pergelutan antara saya dan beberapa anggota polis dan akhirnya
saya terlantar di hadapan perkarangan Kelab Diraja Selangor.”
“Ketika itu, saya dapat melihat wajah sebenar Tian Chua. Beliau tahu
saya bekerja untuk siapa. Sebagai seorang manusia, Tian Chua
sekurang-kurangnya akan berdiam diri atau memberi saya minum air.
Sebaliknya, Tian Chua terus memberi ceramah secara spontan dan
mengaitkan saya sebagai ‘mangsa keganasan polis’. Tian Chua tergamak
menjadikan saya sebagai bahan untuk berceramah.”
“Kecederaan yang saya alami agak parah dan saya dirawat di Hospital
Kuala Lumpur selama empat hari. Semasa terlantar menahan kesakitan di
hospital, tidak pernah walau sekali pun Anwar melawat saya atau
menghubungi saya untuk bertanya khabar. Saya semakin geram dengan
perangai Anwar setelah melihat rakaman video di YouTube yang menunjukkan
beliau memberi isyarat tangan kepada peserta demonstrasi untuk merempuh
sekatan polis. Saya tahu peserta demonstrasi tidak akan bertindak
begitu sekiranya tiada arahan daripada Anwar dan saya tahu arahan itu
memang salah.”
“Sivarasa pernah menghubungi saya sebaik sahaja keluar dari hospital.
Pada mulanya, saya gembira kerana masih ada pemimpin PKR yang prihatin
dengan nasib saya. Namun, kegembiraan itu pudar apabila Sivarasa meminta
saya menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam tentang
Bersih 3.0 pada 11 Mei 2012. Sivarasa mahu saya mengumumkan bahawa saya
dipukul anggota polis kerana membantu Anwar. Saya amat kesal dengan
Sivarasa kerana saya ditangkap bukan atas sebab itu. Memang saya salah
kerana menghalang tugas polis menahan peserta demonstrasi. Saya tidak
menghadiri EGM Majlis Peguam itu setelah Sankara Nair menasihatkan saya
tidak perlu melakukan seperti yang diminta Sivarasa.”
“Surat-surat terbuka tersebut tiada motif politik langsung. Memang
saya bekerja dengan Kamalanathan sejak September 2012 tetapi beliau
tidak tahu langsung tentang surat-surat yang saya tulis. Kamalanathan
hanya tahu setelah membaca surat-surat yang disiarkan portal berita Free
Malaysia Today. Saya mengagumi Kamalanathan setelah melihat sendiri
keikhlasan beliau berkhidmat untuk rakyat. Kamalanathan ialah imej
seorang ahli politik yang saya ingin lihat pada diri Anwar. Malangnya,
Anwar lebih banyak berpolitik daripada membantu rakyat.”
“Mengapa saya berani menulis surat terbuka kepada Anwar? Saya tidak
mahu negara ini hancur sekiranya Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.
Saya tidak faham kenapa masih ada orang yang percaya dengan janji-janji
kosong Anwar hendak turunkan harga minyak, hapuskan pinjaman Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan turunkan tol. Saya bukan
pakar ekonomi tetapi bila Anwar kata keuntungan Petronas kira-kira RM70
bilion setahun akan digunakan untuk menampung kos subsidi, ia seperti
tidak logik.”
“Bila harga minyak diturunkan, sudah tentu keuntungan Petronas
semakin menyusut, bukan RM70 bilion lagi. Saya berani bertaruh, Anwar
tidak akan menunaikan semua janjinya sekiranya beliau mengambil alih
pentadbiran negara.”
“Saya juga bosan dengan sikap Anwar apabila diasak dengan
soalan-soalan berkaitan skandalnya oleh pihak media. Dalam isu video
seks, saya tidak faham mengapa Anwar tunjukkan perutnya kepada orang
ramai. Langkah terbaik adalah tunjukkan jam tangan Omega sekiranya
beliau masih menyimpannya.”
Semakin
lama semakin ramai yang tampil ke depan mendedahkan dan membongkar
siapa sebenarnya Anwar Bin Ibrahim ini. Rakyat Cuma perlu membuka minda
dan fikiran untuk menerima kebenaran. Jangan kita biarkan diri kita
tertipu dengan lakonan manusia munafik bernama Anwar Bin Ibrahim.
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.