JOHOR BAHRU: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mengumumkan calon
parti itu bagi enam kerusi Parlimen dan 14 bagi kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Johor bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
DAP, katanya, akan mengetengahkan 10 muka baru bagi kerusi DUN dan seorang muka baru bagi kerusi Parlimen.
Kit Siang yang akan bertanding di Parlimen Gelang Patah juga berkata,
DAP juga akan mengetengahkan seorang calon Melayu, Mahdzir Ibrahim
sebagai calonnya di Parlimen Tanjung Piai.
"Senarai calon kita adalah bersesuaian untuk mencetuskan
tsunami politik di negeri Johor dan Malaysia keseluruhannya," katanya
pada sidang media sempena majlis pengumuman senarai nama calon Parlimen
dan DUN DAP Johor di sini, hari ini.
Antara nama besar pemimpin DAP selain beliau sendiri yang akan
bertanding di Johor kali ini, ialah pakar strategi DAP, Liew Chin Tong
yang akan bertanding di Parlimen Kluang dan Teo Nie Ching (Kulai).