Akhirnya penipuan yang dilapor oleh media cetak dan elektronik di seluruh dunia diakui benar oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Arul mengaku akan kegagalan 1MDB membayar US 1 billion (RM 3.9 billion) kepada IPIC (International Petroleum Investment Company – Abu Dhabi), syarikat yang menjamin hutang 1MDB.
Mengikut IPIC syarikat bernama Aabar PJS Ltd (British Virgin Islands) yang menerima bayaran dari 1MDB bukanlah miliknya walaupun IPIC mempunyai sebuah syarikat dengan nama yang hampir sama, iaitu Aabar PJS Ltd.
Jika 1MDB membayar USD 1 billion kepada syarikat palsu, ada kemungkinan syarikat berkenaan ditubuh dengan pengetahuan 1MDB sendiri dan duit itu akhirnya dimasuk dalam akaun persendirian. Sangkaan seperti ini memang dibuat oleh ramai orang, dan kenyataan Arul bahawa ada penipuan besar berlaku dalam 1MDB hanya mengesahkan sangkaan.
Arul akan cuba membetulkan yang salah tetapi benang basah sukar ditegak selepas pengakuan olehnya. Adalah lebih baik Arul cerita semua, berkenaan juruaudit dibuang, 1 billion US dilabur dalam JV 1MDB/Petro Saudi, tanpa kelulusan pengarahnya, tanpa pemeriksaan due diligence, dan kemudian dibubar tetapi modal tidak dikembali kepada 1MDB, sebaliknya diberi pinjam kepada Petro Saudi, duit yang pergi ke Cayman Islands yang tidak balik ke Malaysia tetapi ke Singapura yang menjelma jadi unit, yang dilihat oleh Arul tetapi tidak dilihat olehnya, peranan bank BIS dan lain-lain milik Jho Low perjalanan wang 1MDB ke Hong Kong, Switzerland, London, Amerika, British Virgin Islands, Seychelles, Abu Dhabi, penyalahgunaan duit KWAP, duit SRC mengalir ke dalam akaun Najib, konsesi minyak di Argentina dan Turkmenistan yang menjadi aset dan kemudian tidak menjadi aset dan beribu lagi cerita yang melibatkan wang 1MDB, dijelas, dinafi, diakui dan hilang tidak disebut lagi.
Sesungguhnya negara Malaysia tidak pernah melihat skandal yang sebegitu besar seperti skandal 1MDB. Rakyat yang sukar memahami berapa besarkah satu juta, sekarang mencuba menggambar banyak manakah satu billion, dan empat puluh dua billion. Bagaimanakah wang berbillion boleh kesana kesini sehingga akhirnya berada dalam akaun peribadi Najib. Rakyat menjadi bingung dengan cerita-cerita wang begitu banyak yang merata ke semua pelusuk dunia.
Banyak lagi pengakuan yang boleh dibuat oleh Arul, oleh pengerusi jawatankuasa penasihat, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara dan jangan lupa Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang begitu berani bertindak sendiri meminjam dan melabur berbillion Ringgit dan USD bagi pihak 1MDB tanpa kebenaran, tanpa kelulusan badan pengarah dan orang atasan. Waah! Confident sungguh Shahrol. Apakah dianya juga yang terlibat dengan bayaran kepada Aabar PJS Ltd (Virgin Islands).
Demikianlah cerita 1MDB yang berjaya memperkenalkan Malaysia ke seluruh dunia. Akan lebih ramailah pelancong yang akan datang ke negara.
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.