Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah tindakan mengehad atau menghapuskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja dalam meneliti serta memperkenankan rang undang-undang adalah tidak wajar.
Baginda bertitah, peranan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja dalam hal ehwal Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri adalah penting, selain peranan dimainkan badan eksekutif, Speaker dan ahli Parlimen.
"Ini kerana Raja mempunyai kuasa memanggil dan membubar DUN, selain berkuasa melantik Menteri Besar dan barisan ahli majlis mesyuaratnya. Selain itu, sesuatu undang-undang yang diluluskan DUN hanya boleh berkuat kuasa selepas diperkenankan Raja.
"Jadi, hubungan antara Raja, badan perundangan dan eksekutif saling melengkapi antara satu sama lain dalam membentuk sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang cekap dan berkesan," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Persidangan Speaker Parlimen dan DUN seluruh Malaysia 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk S Vigneswaran dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sultan Ibrahim bertitah, dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri, badan perundangan adalah dibentuk menerusi dua komponen utama iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Parlimen di peringkat Pusat atau Raja dan DUN di peringkat negeri.
"Jadi, adalah tidak wajar kuasa Agong atau Raja dalam meneliti dan memperkenan sesuatu rang undang-undang dihadkan atau dihapuskan.
"Ia akan menjadikan peranan Agong atau Raja hanya sebagai 'rubber stamp' untuk menurunkan cop mohor terhadap rang undang-undang yang diluluskan Parlimen atau DUN.
Saya tahu perkara ini berlaku di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri, tetapi tidak di Johor," titah baginda.
#ROYAL_JOHOR
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.