Alvin Tan masih gagal hadir mahkamah
Penulis blog hadapi tuduhan persenda Islam pada Ramadan tahun lalu

Kuala Lumpur: Penulis blog kontroversi, Alvin Tan Jye Yee (gambar), masih gagal hadir ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, bagi sebutan kes yang dihadapinya berhubung tuduhan mempersenda umat Islam pada bulan Ramadan, tahun lalu.
 
Timbalan Pendakwa Raya, Yong Ann Nee, memaklumkan ia berikutan waran tangkap yang dikeluarkan pada 13 Jun lalu masih gagal diserahkan kepada tertuduh.

Sehubungan itu, beliau memohon satu tarikh lain bagi sebutan waran tangkap kali kedua serta notis tunjuk sebab terhadap penjamin kenapa wang jaminan RM30,000 yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini tidak boleh dirampas mahkamah.

Hakim Abdul Rashid Daud kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Vivian Lee May Leng yang yang dituduh bersama Jye Yee tidak hadir pada prosiding semalam selepas diberikan pengecualian oleh mahkamah pada tarikh lalu.

Pada 13 Jun lalu, mahkamah sama mengeluarkan waran tangkap ke atas Jye Yee, selepas dia gagal menyerahkan semula pasport yang diserahkan kepadanya sebelum ini, bagi membolehkannya ke Singapura untuk tujuan penggambaran dokumentari.
 
Mahkamah pada 12 Mei lalu membenarkan permohonan pasangan itu mendapatkan semula pasport mereka untuk tempoh sementara daripada 18 Mei hingga 3 Jun lalu, dengan syarat kedua-dua tertuduh dilarang daripada memberikan sebarang komen berhubung kes dihadapi mereka kepada media republik itu.

Jye Yee, 26, dan Lee May, 25, yang diwakili peguam Chong Joo Tian, berhadapan dua tuduhan memuat naik kandungan menghina agama Islam dalam laman Facebook, kerana menerbitkan kandungan menghasut iaitu gambar dan komen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan) Bak Kut Teh, Wangi, Enak dan Menyelerakan' yang mengandungi logo Halal dan mempamer gambar lucah.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan dua tahun hingga ke lima tahun.

Pada 23 April lalu, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan di Mahkamah Rayuan pada 21 April, yang membatalkan satu daripada tiga pertuduhan yang dihadapi mereka berhubung memuat naik kandungan menghina agama Islam dalam laman Facebook mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan.