Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) muncul bersuara minggu ini sejurus selepas buku “TPPA: Malaysia Bukan untuk Dijual" oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dilancarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad Jumaat lepas.
Semasa pelancaran, mantan Perdana Menteri itu
sendiri berkata perjanjian perdagangan bebas seperti TPPA hanya satu
lagi cara untuk menjajah negara.
Walau
bagaimanapun, penyokong utama TPPA telah bersuara dengan lantang
mengenai beberapa perkara yang sentiasa tidak dapat dibuktikan. Salah
satunya, Malaysia akan "kehilangan tanpa TPPA".
Namun, tiada siapa pun yang peduli untuk menjelaskan
mengapa atau bagaimana Malaysia akan rugi. Kami sebagai sebuah badan
gabungan bimbang jika sesuatu keputusan itu dibuat tanpa mengambil kira
analisis kos-faedah.
Mungkinkah kerana kita tidak akan mempunyai syarikat
konglomerat dari Amerika Syarikat untuk membuka cawangan mereka di
Malaysia atau mempunyai produk Amerika yang murah? Sudah tentu tidak,
kita masih boleh memilih untuk membenarkan mereka masuk berniaga di sini
dengan tarif yang rendah jika kita mahu tanpa menandatangani TPPA.
Adakah kerana eksport Malaysia akan menghadapi tarif yang tinggi?
Malaysia sebagai ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), telah pun
menerima tarif rendah atau sifar ke atas eksport-eksportnya ke semua
negara-negara TPPA. Di samping itu, Malaysia telah pun mempunyai
perjanjian perdagangan bebas dengan kesemua negara-negara yang terlibat
dengan TPPA kecuali 4 negara; Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.
Di negara-negara ini, Amerika Syarikat mengenakan
secara purata tarif 3 peratus, manakala Kanada secara purata mengenakan 6
peratus. Ini semestinya tidak termasuk industri tekstil. Walau
bagaimanapun, Amerika Syarikat berkeras bagi kesemua FTAnya, termasuk
TPPA, untuk mematuhi peraturan “Yarn Forward” mereka. Dalam erti kata
lain, walaupun dengan tarif yang sifar atau rendah ke atas produk
tekstil Malaysia, kita masih tidak akan mendapat sebarang manfaat
darinya kerana Malaysia perlu menggunakan benang Amerika yang mahal bagi
mendapatkan akses kepada tarif yang lebih rendah ini – menjadikan ia
masih tidak kompetitif.
Di samping itu, kami ingin mengingatkan semua pihak
bahawa pada tahun 2008 negara kita memilih untuk tidak menandatangani
Perjanjian Perdagangan Bebas AS – Malaysia dan kita masih mempunyai
peningkatan lebihan dagangan barangan dengan Amerika.
Oleh itu, kepada penyokong tegar TPPA, berilah
pencerahan kepada kami apakah sebenarnya yang kita akan “rugi” yang
sentiasa anda uar-uarkan tetapi tidak pernah jelaskan?
Juga,
kami di sini sebagai pembantah tegar TPPA tidak pernah memberi kenyataan
perdagangan itu tidak penting. Malah, kami percaya dengan perdagangan
yang bebas dan adil. Kami juga percaya perjanjian ini sebaliknya
bertentangan dengan konsep dagangan bebas, dan wajar ditolak oleh mereka
yang percayakan ekonomi pasaran bebas. Kita sudah pun mempunyai
perjanjian perdagangan bebas yang berhasil (yang tidak memerlukan semua
peruntukan bukan perdagangan bermasalah yang sering Amerika Syarikat
kenakan di dalam FTAnya) yang membolehkan syarikat-syarikat Malaysia
menjual kepada berbilion-bilion pelanggan, termasuk India, Pakistan dan
juga China.
Kami tidak meletakkan sebarang kepercayaan apabila
perjanjian perdagangan seperti TPPA merangkumi 29 bab tetapi hanya enam
bab dibincangkan manakala 23 lagi menyatakan keperluan bukan
perdagangan.
Untuk disimpulkan dengan mudah; apabila perdagangan
bukan lagi mengenai perdagangan tetapi membentuk peraturan yang
mengehadkan hanya sebelah pihak, maka ia bukan lagi perdagangan yang
bebas mahupun adil.
Di sini juga kami ingin nyatakan bahawa Bantah TPPA
jugalah yang bertemu dengan Wakil Perdagangan AS Michael Froman pada
April lepas untuk membincangkan kebimbangan terhadap TPPA, terutamanya
75 Garis Merah kami. Semasa mesyuarat inilah Amerika Syarikat telah
bersetuju untuk mengadakan pertemuan secara langsung dengan mereka yang
berkepentingan. Bantah TPPA melalui Majlis Tindakan Ekonomi Melayu
(MTEM) juga membuat pertemuan susulan bersama Ketua Perunding TPPA AS
Barbara Weisel pada 26 Jun yang lalu.
Teks yang bocor dari bab harta intelek (IP) TPPA
membuktikan Amerika Syarikat mengeksport undang-undangnya sendiri yang
sesuai sebagai pengeksport IP mutlak, di mana ia bertentangan dengan
keperluan Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang juga merupakan
pengimport IP bersih dan memerlukan akses yang berpatutan kepada
teknologi, perubatan dan buku teks.
Tambahan, Kongres Amerika Syarikat berkeras untuk
mengenakan ke atas kita bentuk-bentuk disiplin dan penalti yang dikenali
sebagai 'pemain manipulasi mata wang' yang tidak akan dikenakan
terhadapnya walaupun ada dasar kewangan yang tidak konvensional di mana
bank pusat membeli sekuriti kerajaan daripada pasaran untuk menurunkan
kadar faedah dan meningkatkan bekalan wang.
Bagi pihak kami, Bantah TPPA ada menyebut perjanjian
ini mengayakan syarikat-syarikat korporat Amerika dan bukan kepada
rakyat mereka, sama seperti ia tidak memberi faedah kepada seluruh
rakyat Malaysia kerana ia memberi kesan terhadap hidup mereka dalam
bentuk kos perubatan dan harga buku teks yang tinggi untuk jangka masa
lama. Layanan perjanjian TPP juga melemahkan PKS tempatan dan juga
perusahaan milik negara.
Dan kerana mahu mengekalkan perkara ini rasional
agar dapat dibuat keputusan yang sewajarnya, satu laporan analisis
faedah kos (CBA) amat diperlukan untuk menentukan sama ada ya atau tidak
perjanjian ini memberi manfaat kepada kita semua.
Kami gusar kerana ada penyokong TPPA yang terdiri
dari golongan ahli-ahli akademik dan pemimpin korporat sama-sama
berkeras mengandaikan tanpa bukti asas bahawa perjanjian ini
menguntungkan tanpa merujuk sebarang laporan CBA atau Penilaian Impak
Ekonomi (EIA) yang sehingga hari ini belum dikeluarkan untuk bacaan
orang ramai.
Jadi kami bertanya sekali lagi, adakah anda mahu mengesyorkan
perjanjian yang mengikat secara sah dikuatkuasakan melalui sekatan
perdagangan dan bab pelaburan TPPA bocor yang membolehkan penalti
kewangan dan faedah kompaun tanpa had tanpa mengetahui kandungannya,
tanpa meneliti maksud perjanjian yang tersirat, tanpa menjamin suatu
perjanjian yang adil bagi kedua belah pihak?
Tambahan pula, memandangkan teks TPPA yang bocor ini
mengesahkan kebimbangan kami mengenai apa yang dituntut Amerika
Syarikat termasuk apa yang semua negara termasuk Malaysia telah
persetujui, mengapa tiada seorang pun yang mengangkat perkara ini
sebagai sebahagian daripada perjuangan "Sokong TPPA" mereka?
Inilah apa yang kami di Bantah TPPA lakukan dengan
mengetengahkan 75 Garis Merah kami yang antaranya menggariskan tiada
peruntukan harta intelektual lebih keras yang mengehadkan akses kepada
ubat-ubatan generik, membawa keluar usul kawalan tembakau dan sektor
halal daripada perjanjian serta memastikan pilihan layanan PKS tempatan
tidak dirundingkan.
Kami seterusnya mencadangkan kepada pasukan sorak
TPPA untuk sekurang-kurangnya membaca buku TPPA kami dan lihat dengan
mendalam fakta analisis kami yang "mengkaji bahan bukti" kerana
kandungannya berdasarkan teks-teks bocor TPPA yang sebenar dan
Perjanjian Perdagangan Bebas AS (USFTAs) yang lepas (yang kesemuanya
sangat sama hasil desakan AS pada rangka perjanjian) dan kesan mereka
sebelum membuat sebarang kesimpulan wajar dan tidak wajar semata-mata
untuk dilihat sebagai pelanggan ideologi perdagangan bebas atau
disebabkan takut kepada kuasa besar.
MOHD NIZAM MAHSHAR
PENGERUSI
BANTAH TPPA
Bantah
TPPA merupakan satu badan gabungan 61 buah organisasi pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) dari Malaysia yang menentang Perjanjian Perkongsian Trans
Pasifik (TPPA) yang sedang dirundingkan Amerika Syarikat dan Malaysia,
bersama-sama dengan 10 negara lain dalam apa yang dinyatakan Presiden
Barack Obama sebagai satu strategi untuk "mengimbangi semula" Asia.
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.