KUALA KUBU BHARU - Tidak kiralah ia cerita dongeng atau tidak, kisah yang disampaikan dari mulut ke mulut sejak berpuluh tahun lalu di kalangan penduduk setempat tentang sebuah kubur lama di tengah-tengah kawasan perumahan di Kampung Kelapa di sini, ternyata memberi peringatan bahawa azabnya balasan ALLAH SWT.
Pusara tidak bernama lebih 110 tahun itu dikatakan wujud berikutan satu peristiwa yang dikaitkan dengan hubungan terlarang, zina antara ibu dan anak kandungnya.
Ketua Kampung Kuala Kubu Bharu, Norazizan berkata, kubur tersebut dipercayai milik seorang wanita yang mati sebaik melahirkan bayinya.
Bagaimanapun, katanya terdapat dua cerita yang masih belum terungkai berkaitan bagaimana arwah dua beranak itu dikebumikan di kawasan itu.
“Ada cerita beritahu mungkin arwah tak sempat dikebumikan di tanah kubur Ampang Pecah jadi dikebumikan di sini, dan sebab mengapa tak sempat tu, masih tak tahu. Ada pula cerita mengatakan perempuan tu ditelan bumi sebaik bersalin dan tak sempat diselamatkan. Bayi yang dilahirkan katanya hasil hubungan terlarangnya dengan anak kandung sendiri," katanya.
Cerita Norazizan ini dikuatkan lagi menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 1904 berkaitan peristiwa kubur tersebut.
Kini, keratan akhbar tersebut berada dalam simpanan Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Peskubu).
Laporan akhbar tersebut antara lain menyatakan, telah tersebar cerita pelik melalui sumber masyarakat Melayu mengenai seorang wanita di Kuala Kubu secara misteri telah ditelan atau dirantai oleh tanah akibat dosa dilakukan dan wanita itu sukar dikeluarkan.
Menurut laporan itu lagi, orang ramai yang menyaksikan peristiwa dia ditelan bumi itu berasa simpati dan telah mendirikan atap agar memayunginya daripada kepanasan dan hujan.
Malah, menurut akhbar itu lagi, cerita tersebut telah tersebar luas sehingga penduduk dari Kuala Lumpur sanggup datang ke Kuala Kubu semata-mata untuk menyaksikan lokasi kejadian misteri itu.
Bagaimanapun, Norazizan berkata, selang beberapa tahun kejadian, kubur yang sepatutnya dijadikan peringatan tentang kekuasaan ALLAH itu telah disalah gunakan pihak tidak bertanggungjawab dengan melakukan amalan-amalan khurafat.
"Kubur tu dah dijadikan tempat puja nombor ekor judi oleh sesetengah penduduk," katanya kesal.
Katanya, dua batu nisan yang hilang tidak diketahui semenjak ia dijadikan tempat pemujaan.
“Akibat ada orang buat benda-benda haram dan dosa tu, sejak daripada itu berlaku macam-macam kejadian pelik kepada penduduk kampung antaranya gangguan histeria,” katanya.
Norazizan berkata, ada pihak berminat untuk menjadikan kubur lama tersebut sebagai sebahagian peninggalan sejarah Kuala Kubu.
"Jika benar nak buat, eloklah kajian menyeluruh dijalankan," katanya yang menyokong.
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.