Google+ Followers

TERIMA KASIH

MTMR

Thursday, March 13, 2014

MH370: Kita masih mengharap dan berharap.

Malaysia terkejut dengan berita kehilangan MH370. Kita mahu mengatakan hal ini tidak mungkin berlaku. Sebuah pesawat Boeing 777-200ER, yang dianggap tercanggih di dunia tidak mungkin hilang begitu sahaja. Kita juga tidak mahu mempercayai bahawa pesawat itu berdepan dengan masalah teknikal, dirampas atau meletup di udara. Semua pandangan negatif itu mahu kita hakiskan daripada fikiran kita.


Pelbagai andaian

Malah kita mahu mengenepikan teori konspirasi tentang pengganas, agenda negara tertentu malah teori Bermuda Triangle di Laut China Selatan. Atau hakikat bahawa dua orang penumpangnya menggunakan pasport palsu. Atau terdapat warga negara Ukraine dan Russia yang sekarang sedang berkrisis di negara asal mereka sebagai penumpang.

Sudah tentu kita berasa khuatir dengan kehadiran dua orang penumpang yang dikatakan “tidak mempunyai ciri-ciri orang Asia” yang menggunakan pasport palsu itu. Tentulah sukar bagi pihak Imigresen mengesan pasport palsu kerana kecanggihan teknologi pada masa ini.

Lagipun menurut pakar keselamatan, terdapat “jutaan” pasport palsu di dunia hari ini dan satu bilion manusia yang terbang tidak diperiksa pasport mereka dengan data pasport hilang tahun lalu sahaja.

Saya baru empat bulan bekerja pada tahun 1977 apabila MH653 pesawat Boeing 737 terhempas di Tanjung Kupang, Johor. Peristiwa itu pastilah menggemparkan. Pada masa itu belum ada telefon bimbit apa lagi media sosial. Kita bergantung pada maklumat radio, TV (dua setesen milik RTM ketika itu, dan belum ada stesen TV berita 24 jam) dan akhbar. Pesawat itu dipercayai dirampas. Sehingga hari ini, kita tidak tahu apa yang berlaku di dalam penerbangan itu. Dalam sejarah penerbangan dunia, MH653 merupakan salah satu daripada lima kes kapal terbang terhempas yang penuh misteri di dunia.

MH370 hilang dalam era maklumat luar biasa. Kita bukan sahaja mendapat berita dari stesen TV 24 jam tetapi juga berita dan sebaran melalui media sosial. Bagi pengendali media amat sukar sebenarnya menangani “developing story” seperti itu. Mereka harus mengimbangi di mana fakta (yang selalu sukar diperolehi) serta spekulasi dan khabar angin.

Laporan agensi media

Organisasi media mencuba untuk mengesahkan setiap laporannya, kerana kesahihan berita memang menjadi teras pemberitaan. Tetapi dalam keadaan di mana pihak berkuasa sendiri menghadapi masalah mendapatkan maklumat, petugas media harus bergantung juga pada sumber-sumber yang belum tentu sahih. Tapi itulah tugas media – membawakan yang terkini.

Mujur juga kali ini pihak Penerbangan Malaysia dan DCA mengadakan sidang media secara berjadual. Ini memudahkan pengamal media mendapat maklumat dari semua pihak yang berwajib. Berbanding dengan kes yang membabitkan tumbangnya Highland Towers pada bulan Disember 1993 dan beberapa kejadian lain, urusan pengendalian media jauh lebih baik kali ini, walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki.

Apa yang lebih penting lagi ialah peristiwa ini menyatukan kita semua dalam ratap dan simpati. Pertimbangan politik, bangsa dan agama yang selalunya memisahkan kita kini diketepikan. Seluruh rakyat Malaysia melupakan buat sementara waktu sebarang perbezaan demi musibah ini. Kita sehati dan sejiwa mengharapkan keajaiban berlaku. Jauh di lubuk hati kita, kita mahukan pengakhiran yang terbaik.

Hormati perasaan orang lain

Inilah masa untuk kita menunjukkan warna dan citra kita yang sebenar. Juga untuk membuktikan pada dunia bahawa rakyat Malaysia menangisi mereka di dalam pesawat itu dengan cara kita sendiri – sebagai satu bangsa dan satu negara. Dunia memerhatikan kita.

Tumpuan dunia bukan sahaja pada kecekapan kita mengendalikan usaha mencari dan menyelamat, tetapi juga dalam memberikan maklumat.

Lebih penting lagi ialah adab kita di media sosial. Dalam keadaan susah, hormatilah kesusahan orang lain. Itulah hikmah terbaik daripada peristiwa yang menyedihkan ini.

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat