Isu penggunaan kalimah Allah

Petaling Jaya: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, meminta semua pihak menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung penggunaan kalimah Allah.

Beliau berkata, isu berkenaan boleh menimbulkan konflik agama dan menyentuh sensitiviti kaum jika tidak ditangani dengan bijak mengikut lunas undang-undang.

Saya rasa kita mesti mendukung Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara serta menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan” Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri

“Saya rasa kita mesti mendukung Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara serta menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan. Kita bukan hakim yang boleh memutuskan siapa yang benar atau salah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Pengarah Korporat Lembaga Tabung Haji (TH) Ke-6 di Kompleks TH, Kelana Jaya di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Paduka Ismee Ismail.

Jamil Khir diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang melahirkan kekhuatiran terhadap niat pihak tertentu yang kebelakangan ini bersungguh-sungguh mempertahankan penggunaan kalimah Allah dalam Bible.
 
Patuhi keputusan

Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, yang merujuk perkara itu ke mahkamah adalah golongan sama, namun selepas keputusan dibuat, ia dibantah pula.

Katanya, semua pihak perlu mematuhi keputusan mahkamah dan menjadi amalan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, menjaga sensitiviti yang menjadi kunci keamanan selama ini.

Pada 11 November lalu, Gereja Katolik memfailkan permohonan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan dengan mengemukakan 26 persoalan membabitkan Perlembagaan, isu pentadbiran dan sama ada mahkamah boleh membuat keputusan ke atas isu perbandingan agama yang akan didengar pada 24 Februari depan di Mahkamah Persekutuan.

Bidang kuasa negeri

Mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Jalan Gasing di sini, pada 2 Januari lalu, Jamil Khir berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam hal-ehwal agama negeri kerana ia dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

Diminta mengulas cadangan Dr Mahathir agar TH meneroka industri berteknologi tinggi yang mampu membawa pulangan lebih lumayan, Jamil Khir berkata, agensi itu tiada halangan berbuat demikian selagi berlandaskan Islam dan mematuhi syariah.

Katanya, cadangan itu baik dan menepati usaha TH menerusi anak syarikatnya untuk melabur di luar negara, sekali gus bersaing di peringkat global.

“Kita sudah menerokai pasaran luar negara antaranya dalam sektor perladangan sawit di Indonesia, selain aset bangunan dan hartanah secara pajakan di Makkah dan Madinah,” katanya.