Amaran TMJ!
Tunku Ismail Sultan Ibrahim 
 
Johor Bahru: Bosan dengan kedegilan segelintir penyokong yang masih membakar suar ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) beraksi, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam mengeluarkan amaran keras supaya perkara itu dihentikan segera.

Menerusi kenyataan rasmi daripada JOHOR Southern Tigers, Tunku Ismail menegaskan akan melepaskan jawatannya sekiranya masih ada segelintir penyokong yang tidak mengendahkan larangan membakar suar sama ada dalam perlawanan persahabatan atau saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula 18 Januari ini.
 
Senarai hitam penyokong

Malah, penyokong yang membawa suar masuk ke dalam Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin akan ditahan serta-merta dan disenarai hitam secara kekal daripada memasuki stadium berkenaan menyaksikan perlawanan JDT dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II).

Bagaimanapun, amaran keras Tunku Ismail itu tidak sukar ditafsirkan selepas PBNJ terpaksa mengeluarkan wang yang banyak musim lalu bagi membayar denda gara-gara kedegilan segelintir penyokong yang tidak faham bahasa.