TERIMA KASIH


counters

MTMR

Friday, January 3, 2014

Firma Singapura beli perhotelan Malaysia

Firma Singapura beli saham syarikat perhotelan Malaysia
Sutera Harbour Resort di Kota Kinabalu yang kini dimiliki oleh GSH Corporation Ltd.
 
GSH labur RM700 juta dalam The Sutera Harbour Group

Sektor pelancongan Malaysia terus menarik perhatian pelabur antarabangsa dengan yang terbaru pemaju hartanah bersepadu Singapura, GSH Corporation Ltd (GSH), melabur RM700 juta untuk membeli 77.5 peratus saham The Sutera Harbour Group Sdn Bhd.

Pembelian saham syarikat perhotelan Malaysia itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuh GSH, Borneo Ventures Pte Ltd bersama TYJ Group Pte Ltd, iaitu syarikat pelaburan milik Pengerusi Eksekutif GSH, Sam Goi, yang turut dikenali sebagai ‘Raja Popia Singapura’.
 
The Sutera Harbour Group dimiliki oleh Datuk Edward Ong Han Nam, pengasas pusat pelancongan Sutera Harbour Resort, selain mempunyai beberapa hartanah perdana lain di Kota Kinabalu.

GSH dalam satu kenyataan semalam berkata, pelaburan itu membabitkan langganan saham biasa bernilai RM250 juta dan saham keutamaan bernilai RM260 juta, manakala sejumlah RM190 juta saham keutamaan lain akan disuntik melalui pelaburan bersama syarikat pelaburan milik Sam Goi.

Meterai perjanjian beli tanah

Sementara itu, dalam urus niaga berasingan, satu anak lagi syarikat milik penuh GSH iaitu Ocean View Ventures Pte Ltd serta Ocean View Point Pte Ltd memeterai perjanjian untuk membeli kepentingan dalam dua bidang tanah, masing-masing seluas 4.9 hektar dan 5.3 hektar terletak di kawasan Sutera Harbour yang berkeluasan 155 hektar.

GSH yang disenaraikan di papan utama Singapore Exchange bagaimanapun tidak mendedahkan secara lebih lanjut tujuan pembelian kedua-dua bidang tanah berkenaan.

Mengulas pelaburan berkenaan, Ketua Eksekutif GSH, Gilbert Ee, berkata Kota Kinabalu muncul sebagai pusat pembangunan hartanah yang sedang berkembang di Malaysia dan pihaknya melihat potensi kukuh bagi hartanah perdana di bandar raya berkenaan.

Pertumbuhan kukuh

Katanya, potensi sedemikian dipacu oleh pertumbuhan kukuh sektor pelancongan di Sabah, terutama kehadiran pelancong dari negara Asia Timur seperti Korea, Jepun, Hong Kong dan China.

Katanya, pelancong dari rantau terbabit berkembang kukuh setiap tahun dan sehingga kini merangkumi lebih separuh ketibaan antarabangsa ke Sabah, termasuk lebih satu pertiga daripada mereka datang dari Hong Kong dan China.

Selain sektor pelancongan, beliau berkata, Sabah juga mencatatkan pertumbuhan ekonomi kukuh, dibantu oleh beberapa sektor utamanya seperti pertanian serta minyak dan gas.

“Dengan asas kukuh sedemikian, kami melihat potensi besar sektor hospitaliti mewah di Kota Kinabalu serta resort perdana,” katanya sambil menambah Sutera Harbour Resort dan kawasan sekelilingnya berada dalam kedudukan unik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan sedemikian.

Terletak di antara pantai Laut China Selatan dan Gunung Kinabalu, Sutera Harbour Resort terdiri daripada dua hotel lima bintang iaitu Pacific Sutera yang mempunyai 500 bilik dan The Magellan Sutera yang memiliki 456 bilik.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat