Daulat Tuanku
Daulat Tuanku
Daulat Tuanku
Berbudi bahasa berhemah tinggi,
Baginda bertitah rakyat dengari;
Semua jemputan baginda hadiri,
Asalkan rakyat rasa dihargai.
Tuanku selalu mencemar Duli,
Menziarahi rakyat bantuan diberi;
Rakyat gembira tiada terperi,
Kebaikan baginda lekat di hati.
Tuanku dan rakyat berpisah tiada,
Masalah rakyat dikongsi bersama;
Rakyat mengangkat Institusi Diraja,
Raja dan rakyat rasa bahagia.
Kebawah Duli selalu menyeru,
Inginkan rakyat bersatu padu;
Buat keputusan tidak terburu,
Asalkan rakyat terus maju.
Tuanku percaya rancangan kerajaan,
Mampu dinikmati segenap lapisan;
Rakyat bersatu dalam perpaduan,
Negeri makmur dalam kemajuan.
Tuanku dan rakyat amat rapat,
Ke mana pergi rakyat diingat;
Perbelanjaan dibuat penuh cermat,
Tuanku datang disambut hormat.
Istana Tuanku tersergam indah,
Apabila bertitah penuh bermadah;
Kuasa yang tinggi tiada diendah,
Bersama rakyat tetap merendah.
Masalah rakyat sama dikongsi,
Tuanku dan rakyat tiadalah sangsi;
Ikatan terus jadi serasi,
Tercipta nostalgia untuk generasi.
Putera kesayangan ayahanda dan bonda,
Cemerlang negara amat sukacita;
Tuanku dan rakyat berpisah tiada,
Bijaksana memerintah negeri tercinta.
Sejarah Kesultanan patut dihayati,
Dipelajari oleh generasi terkini;
Personaliti Tuanku amat dikagumi,
Ke mana pergi tetap dihormati.
Karya dikarang untuk tatapan istimewa buat Tuanku dan rakyat;
Semangat Tuanku sentiasa di hati rakyat,
Memerintah adil dan saksama demi rakyat,
Ampun Tuanku! Daulat Tuanku! Tuanku sentiasa di hati rakyat.
Ampun Tuanku,
Daulat Tuanku,
Sembah patik harap diampun.
Patik merafak sembah, Selamat Menyambut Hari Keputeraan.
Ampun Tuanku.
Sembah patik harap diampun.
Akhir bicara patik doakan moga Tuanku sekeluarga
dirahmati Allah di dunia jua di akhirat.
Amin Ya Rabbal A' Lamin.
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.