ISLAMABAD: Pakistan merancang melaksanakan hukuman gantung ke atas kira-kira 500 militan dalam beberapa minggu ini selepas kerajaan menarik balik penggantungan hukuman mati bagi kes keganasan berikutan pembunuhan beramai-ramai pelajar sekolah oleh puak Taliban.
Enam anggota militan sudah digantung sejak Jumaat lalu ketika kemarahan orang ramai meningkat susulan pembunuhan 149 orang termasuk 133 kanak-kanak di Peshawar Selasa lalu.
Selepas serangan pengganas terburuk dalam sejarah Pakistan itu, Perdana Menteri, Nawaz Sharif menamatkan penggantungan selama enam tahun hukuman mati bagi kes membabitkan keganasan.
"Kementerian Dalam Negeri sudah memuktamadkan kes 500 pesalah yang sudah mengemukakan rayuan, petisyen mereka ditolak oleh presiden dan hukuman mati terhadap mereka akan dilaksanakan dalam beberapa minggu ini," kata seorang pegawai kerajaan kepada AFP.
Daripada enam pesalah yang dihukum gantung sehingga kini, lima terbabit dalam cubaan membunuh pemimpin tentera ketika itu, Pervez Musharraf, pada 2003. Seorang lagi terbabit dalam serangan ke atas markas tentera darat pada 2009. - AFP
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.