LUMUT - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melahirkan rasa kecewa apabila masih ada segelintir pihak yang melempar tohmahan berkaitan fungsi kapal selam Scorpene.
  
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata pasukan itu telahpun melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin.
  
"Sebagai Panglima Tentera Laut, siapa yang tidak kecewa apabila dituduh dengan tohmahan yang tidak benar.

  
"Kita telah membawa kapal selam kita dan juga kapal submarine escape and rescue (SMER) iaitu MV Mega Bakti untuk dipertonton kepada rakyat jelata terutama pengunjung hari terbuka armada," katanya kepada pemberita pada sambutan ulang tahun ke-80 TLDM di sini hari ini.
  
Justeru, beliau berharap pihak yang menulis secara negatif berkaitan aset negara, terutama Scorpene, memikirkan sejenak fakta dan realiti berhubung perkara itu.

TLDM memperoleh dua kapal selam Scorpene buatan Perancis berharga RM3.4 bilion bagi mempertingkat kemampuannya melindungi kedaulatan perairan negara.
  
Abdul Aziz juga berkata pasukan Tentera Laut Perancis memuji keupayaan dan kecekapan pasukan kapal selam Malaysia.
  
Dalam perkembangan lain, beliau berkata penglibatan aset TLDM dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 akan diteruskan.
  
Katanya, kapal tambahan yang terlibat dalam misi itu akan diumum Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.
  
Pada majlis hari ini, pengamal media berpeluang menaiki dan mendengar taklimat berkaitan fungsi KD Tunku Abdul Rahman.

Sementara itu, pada sambutan Hari TLDM di KUALA LUMPUR, Abdul Aziz berkata kemampuan pihaknya menghantar aset secara berterusan bagi menyertai operasi di dalam dan luar negara tanpa mengira waktu, membuktikan kesiapsiagaan pasukan berkenaan adalah pada tahap tertinggi.
  
Beliau berkata, kemampuan itu juga membuktikan TLDM setanding angkatan laut bertaraf dunia.
  
"Dalam masa negara diuji pelbagai peristiwa dan kejadian yang menggemparkan, TLDM sentiasa mampu bertindak pantas dan berkesan setiap kali diperlu dan diarahkan.
  
"Ini menunjukkan kita sudah ke depan dan kemajuan pembangunan serta pemodenan yang dicapai TLDM sehingga kini wajar dibanggakan memandangkan ia sangat memberangsangkan," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Pengarah Hidrografi TLDM Datuk Zaaim Hasan.
  
Sambutan yang bertema 'TLDM Siaga Perairan Terpelihara' peringkat Lembah Klang di Padang Kawad KD Sri Gombak dimulakan dengan Istiadat Perbarisan Tabik Hormat yang disertai enam platun terdiri daripada 23 pegawai dan 143 anggota lain-lain pangkat. - Bernama