Empat buruh ladang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan membunuh dua lelaki dalam kebun getah dekat Senai di sini, dua minggu lalu.

Tertuduh, R Jayachandiran, 22; P Ramamunaidu, 31; T Kumaresan, 21; serta seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun, didakwa melakukan pembunuhan itu bersama seorang lelaki yang masih bebas.


Mereka didakwa membunuh PS Visva Nathan, 48, dan M K Kalaiselvan Mudaliar, 38, dalam kebun getah yang terletak di belakang institut latihan memandu Taman Gaya dekat Saleng, antara jam 6 petang 17 Oktober hingga 1.30 pagi keesokannya.


Mereka didakwa melakukan dua pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan sebaik dua pertuduhan melakukan pembunuhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Ariffin, di hadapan Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal. Semua tertuduh belum diwakili peguam bela.

Majistret menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat.