Dia cuba untuk menulis dan mentafsir semula sejarah dalam autobiografi itu namun pemilik nama asal Ong Boon Hua ini tidak mungkin dapat ...mengelabui mata semua khususnya rakyat Malaysia kerana banyak buku lain seperti The Communist Struggle in Malaya oleh Gene Z. Hanrahan, Hearts and Minds in Guerilla Warfare: The Malayan Emergency 1948-1960 oleh Richard Stubbs, Operation Ginger oleh Yuen Yuet Leng dan Darurat 1948-1960 oleh Ho Hui Ling serta berpuluh lagi buku dan laporan, yang kesemuanya mendedahkan keganasan serta kekejaman komunis bukan hanya kepada penjajah British tetapi rakyat tempatan.
Kekejaman yang menyaksikan nyawa rakyat khususnya pasukan keselamatan begitu murah di tangan komunis dan ketakutan menjadi makanan harian ketika itu, tidak mungkin dilupakan oleh mereka yang memahami sejarah.
Dalam kerakusan untuk menjadikan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, sebagai negara komunis, Chin Peng memilih peluru dan senjata sebagai alat untuk meyakinkan rakyat agar menyokong gelombang merah.
Tempoh Darurat selama 12 tahun sejak 1948 mencatatkan banyak insiden berdarah yang menyayat hati angkara anggota komunis dan tali barut mereka. Serang hendap dilakukan tanpa henti dari Kelantan ke Perlis malah hingga ke Sarawak.
Sejumlah besar harta-benda awam pula menjadi abu apabila komunis membakar kampung-kampung yang tidak memberi kerjasama kepada mereka. Melayu, Cina, India, bahkan etnik lain, semuanya menjadi mangsa.
Sesuatu yang pasti, komunis tidak meninggalkan sekelumit pun catatan manis kepada rakyat negara ini, sebaliknya hanyalah penderitaan dan sengsara, yang traumanya masih terkesan sehingga kini
Seramai 2,083 anggota keselamatan dan tidak kurang 2,000 orang awam dibunuh manakala lebih 2,500 perajurit lagi cedera malah ada yang cacat gara-gara komunis durjana. Kekejaman komunis tidak cukup dengan membunuh malah diceritakan bersikap lebih teruk daripada binatang apabila sanggup menyeksa termasuk mengorek mata mangsa.
Dosa Chin Peng dan komunis hakikatnya memang terlalu besar dan tidak terampun!
Walaupun selepas Darurat diisytiharkan tamat pada 31 Ogos 1960, Chin Peng dan PKM terus-terusan melakukan keganasan. Mengalih operasi ke sempadan Thailand, serang hendap dan siri pembunuhan terus dirancang yang menyaksikan ramai anggota polis, tentera, renjer dan orang awam menjadi korban termasuk Timbalan Penguasa Polis, Wong Lim Hoon yang dibunuh pada 18 Januari 1973; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim ditembak mati di dalam keretanya pada 4 Jun 1974 dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong turut maut pada 13 November 1975.
Amat memalukan apabila ada kalangan rakyat negara ini kini yang cuba mengangkat Chin Peng sebagai hero negara. Mereka buta apabila membaca sejarah separuh jalan.
Benar, komunis bekerjasama dengan British sebagai anggota Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA) menghalau penjajah Jepun keluar dari negara ini. Namun pihak-pihak ini lupa membaca bab yang selepas Jepun tewas, PKM terus mengganas dan bermaharajalela dengan merampas harta-benda penduduk, menculik dan menyeksa orang kampung yang enggan membantu membekalkan makanan untuk mereka dan membunuh sesiapa sahaja khususnya anggota keselamatan yang dianggap menghalang matlamat perjuangan mereka.
Chin Peng cuba memusnahkan asas demokrasi yang baru terbentuk di Tanah Melayu selepas mencapai kemerdekaan daripada British dan kemudiannya pembentukan Malaysia dengan menakut-nakutkan rakyat yang cintakan keamanan. Semuanya kerana cita-cita mahu menguasai Tanah Melayu.
Mungkin sebab itu apabila Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani pada 1989 antara kerajaan Malaysia dengan PKM, Chin Peng tidak menyertai lebih 300 bekas anggota komunis yang meletak senjata kembali ke tanah air selepas mendapat pengampunan.
Sehingga ke akhir hayatnya Chin Peng tidak pernah memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Dan kini sudah terlambat untuk dia mengucapkannya. - MARHAINI KAMARUDDIN
Foto: Anggota Pasukan Pertama Rejimen Infantri Fiji bersama lima mayat komunis yang ditembak mati di Batu Pahat, Johor, pada 18 September 1953.
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.