KUALA LUMPUR: Sebilangan daripada rakyat terbanyak negara masih tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan terus mahu mengadakan bantahan.
Beberapa siri demonstrasi dan perhimpunan diadakan sejak 8 Mei, dengan ucapan berbaur fitnah, tohmahan, maki hamun dan hasutan semakin galak dilakukan oleh mereka yang berkepentingan, lantas memanipulasi sentimen dan emosi orang ramai seolah-olah inilah cara politik baharu di Malaysia.
Persidangan Dewan Rakyat bagi penggal pertama selepas PRU13 sudahpun ditetapkan bermula 24 Jun ini seakan-akan 'tidak bermakna' bagi anggota pakatan DAP-PKR-PAS meskipun mereka kini mempunyai 89 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.
Persoalannya, dalam tempoh tujuh tahun lagi ke arah negara maju pada 2020, adakah corak berpolitik pakatan pembangkang ini boleh dinamakan politik matang?
Mengupas persoalan itu, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, untuk Malaysia menjadi negara maju menuntut anjakan paradigma rakyat menjadi lebih matang dengan setiap pihak mengamalkan cara berpolitik berimbang dan penuh kesederhanaan.
Beliau berkata perbuatan seperti perhimpunan serta demonstrasi jalanan sebagai satu proses bangkangan dalam negara adalah ekspresi politik yang mampu mempengaruhi rakyat dan pada masa sama mendatangkan kerugian kepada negara dalam aspek ekonomi, sosial dan pembangunan.
"Politik yang matang adalah politik yang mengamalkan kesederhanaan dan berimbang berbanding politik ekstrem yang akan memusnahkan negara. Ini yang rakyat perlu faham," katanya.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu berkata, kestabilan politik sahaja tidak mencukupi seandainya tidak disertai kematangan berpolitik.
Katanya ahli politik dan rakyat perlu faham bahawa negara bukan sahaja berdepan dengan cabaran dalam negara tetapi juga ancaman dari luar serta anasir asing yang bertujuan mewujudkan suasana tidak aman.
Samsul Adabi berkata kematangan berpolitik juga boleh membawa maksud bahawa masyarakat berpengetahuan tinggi dan mengerti tindak-tanduk serta boleh membuat analisis mudah perbuatan mana-mana pihak sama ada ia bagus atau buruk untuk negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata Amerika Syarikat, Britain dan Jepun adalah contoh negara yang berjaya mengamalkan politik matang manakala Malaysia semakin bergerak ke hadapan menuju demokrasi yang progresif.
Keputusan PRU-13 yang menyaksikan pertambahan kerusi yang dimenangi pakatan DAP-PKR-PAS dengan bilangan pengundi yang keluar mengundi mencecah 84.8 peratus turut mencerminkan rakyat mengamalkan demokrasi untuk melakukan perubahan melalui undi.
Namun mampukah pakatan pembangkang memainkan peranan mereka untuk mengawasi dan menegur kepada kerajaan atau hanya terus berpolitik dan memanipulasi sentimen dan emosi rakyat?
"Bangkangan perlulah dilakukan secara berhemah. Sekiranya bangkangan yang dilakukan melampau... maka kerajaan perlulah bertindak tegas kerana ia akan memberi ancaman dalam soal keselamatan," katanya.
Sejauh mana pula unsur kebencian, fitnah, demonstrasi, maki hamun dalam berpolitik masa kini mampu menjamin perpaduan di kalangan kaum terus utuh di masa hadapan?
Mengamalkan elemen sedemikian, menurut Samsul Adabi hanya akan 'membunuh' rasa hormat sesama kaum di negara ini, bahkan akan mengheret negara ke arah kemunduran.
Aktivis sosial Khairil Hafizd Khairuddin, 31, berpendapat politik yang diamalkan di negara ini adalah separuh matang memandangkan tindakan sesetengah pihak yang lebih mengikut emosi sehingga menjejaskan ketenteraman awam.
Katanya kekurangan ilmu politik menjadi punca ada di kalangan rakyat mudah terpengaruh dan sanggup berdemonstrasi dan berhimpun tanpa memahami kesan perbuatan itu.
"Adalah tidak matang untuk mana-mana pihak menyuarakan rasa tidak berpuas hati menerusi demonstrasi atau perhimpunan atau apa jua bentuk kerana apalah gunanya Parlimen dibentuk jika permasalahan rakyat gagal disuarakan di sana, dan kenapa perlu memilih jalan raya?
"Pada saya ini semua bertujuan memburukkan imej kerajaan dan negara selain mahu menjayakan agenda pihak tertentu termasuk pihak asing," katanya.
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.