TERIMA KASIH


counters

MTMR

Wednesday, January 4, 2017

Latihan Komando Malaysia.

Rahsia latihan komando Malaysia didedahkan bukanlah cerita baru, namun yang didedahkan hanyalah asas sahaja dan latihan sebenar sememangnya rahsia bagi menjaga rahsia ketenteraan / kepolisan Malaysia.

Kursus asas komando ada 4 asas untuk di anugerahkan beret pasukan khas masing masing. 4 asas ini amat penting dalam latihan komando. Jom kita cerita tentang Rejimen Gerakhas, ATM.
Pasukan khas lain hampir sama. Cuma posting ini lebih kepada GGK.

Bukan senang untuk mendapatkan beret hijau kerana perlu melalui 4 latihan asas ini;-

Latihan Pemanas Badan
Ikhtiar Hidup
Laut
Ujian Akhir

1. Latihan Pemanas Badan

Ujian pemanas badan atau lebih dikenali sebagai peringkat kem berlangsung di Kem Sg Udang selama 5 minggu.

Latihan di sini disebut pemanas badan untuk pelatih bersedia menghadapi latihan di peringkat seterusnya yang mungkin lebih mencabar. Pelatih akan diperkenalkan dengan kehidupan seorang komando dan dididik agar tidak kenal erti belas kasihan, terutamanya kepada musuh.

Beberapa kemahiran rahsia juga diajar di sini. Antara latihannya seperti abseiling dari menara dan helikopter, latihan menembak, perubatan medan, penggunaan pelbagai senjata, bahan letupan, semboyan dan sebagainya.

Antara syarat‐syarat yang perlu dipatuhi sepanjang kursus selama 3 bulan ini, pelatih hanya boleh tidur selama lebih kurang 3 jam sahaja. Pelatih juga tidak dibenarkan mandi.

Makanan yang diberikan tidak sempurna, tetapi berkhasiat. Sementara latihan fizikal pula ialah:-

Larian jarak jauh (76km) yang perlu dilengkapkan dalam 2 sesi iaitu siang dan malam, tidak melebihi 12 jam. (Jumlah larian 152 km). Jalan lasak/laju 25 km. Pandu arah pelbagai bentuk muka bumi (138 km), juga dalam 2 sesi dan dalam masa yang ditetapkan.(Jumlah keseluruhan perjalanan 276 km)

2. Ikhtiar Hidup:-

Latihan ikhtiar hidup dijalankan selama 3 minggu melibatkan kawasan hutan dan paya. Peringkat ini adalah yang paling sukar dalam kebanyakan kursus komando. Ia memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang amat tinggi. Tidak disediakan makanan.

Pelatih diajar dan seterusnya berusaha untuk mencari makanan sendiri di kawasan sekeliling untuk terus hidup. Khemah juga tidak disertakan. Pelatih hanya tidur di kawasan‐kawasan selamat seperti di atas pokok. Latihan teknik ronda dalam kumpulan kecil dan segala ilmu peperangan hutan didedahkan.

Aktiviti pandu arah dalam hutan sejauh 90 km juga diwajibkan. Sebelum latihan di paya, sekali lagi pelatih akan mengharungi perjalanan pelbagai bentuk muka bumi sejauh 160 km (tidak boleh lebih dari 3 hari).

Antara syarat jalan jauh itu, pelatih tidak boleh berhenti berjalan kecuali buang air dan makan. Di paya, pelatih harus menanggalkan pakaian kecuali seluar dalam, seluruh tubuh mesti disapu dengan lumpur bagi tujuan mengelak dari dihidu atau digigit oleh hidupan liar di paya.

Teknik bekukan kedudukan, operasi dan asas pertempuran di kawasan paya diajar. Tidak ketinggalan, ikhtiar hidup. Pelatih diberi beberapa batang mancis, parang dan seorang satu tempurung kelapa. Para pelatih juga perlu membuat tombak runcing sebagai alat tambahan untuk berburu.

3. Laut:-

Pelatih akan dibawa kembali ke Kem Sg Udang untuk memulakan peringkat laut selama 2 minggu. Kemahiran paling asas yang diajarkan di sini ialah berenang di dasar laut, drown proofing dan teknik menahan nafas.

Lain‐lain seperti ikhtiar hidup laut, isyarat kod morse dan pertempuran di dasar dan permukaan.

Aktiviti berkayak dengan kanu sejauh 20 km dan pandu arah laut hanya 10 km. Peringkat laut merupakan ujian paling ringan dalam kursus asas komando.

4. Ujian Akhir:-

Setelah kesemua peringkat diharungi, maka tamatlah sesi pembelajarannya. Tiba masanya untuk para pelatih menghadapi ‘ujian’ untuk dinilai adakah pelatih dapat mengaplikasikan apa yang telah dipelajari sebelumnya dengan sebaik mungkin.

Terlebih dahulu pelatih akan diberi taklimat secukupnya untuk persediaan ujian akhir ini. Ia akan lebih bersifat realistik. Ia di pecahkan kepada 3 peringkat utama:

a. Peringkat perjalanan/Air gelap:-

Maksud perjalanan di sini ialah perjalanan menuju ke kawasan operasi. Biasanya ia mengikut jalan sungai. Pelatih akan bertolak pada waktu malam dengan menggunakan kanu. Jarak perjalanan ini tidak tetap, mengikut berapa panjangnya anak sungai.

b. Peringkat Operasi:-

Tiba dikawasan operasi yang telah dikenal pasti, pelatih akan membuat satu serangan ke atas kubu musuh tersebut. Serangan itu sama seperti demonstrasi serangan pantai semasa hari penganugerahan beret. Cuma kali ini skalanya lebih besar dan kompleks.

c. Peringkat Pelarian:-

Setelah serangan berjaya dilaksanakan dan objektif tercapai, pelatih dipaksa sekeras‐kerasnya berundur dari kawasan itu tanpa meninggalkan sebarang kesan. Mereka perlu melarikan diri dan mengelak dari dikesan oleh jurulatih yang bertindak sebagai musuh (bersenjata).

Proses pembolosan ini dipanggil Escape & Evasion (E&E). Jarak pelarian biasanya mencecah 200 km untuk pelatih sampai ke checkpoint yang ditetapkan.

Sekiranya pelatih dapat dikesan dan tertangkap, jurulatih yang bertindak sebagai musuh tadi akan mendera dan menekan mental pelatih supaya membocorkan maklumat rakan‐rakan pelatih lain yang berjaya mengelakkan diri.

Sekiranya pelatih memberitahu apa‐apa rahsia, maka beliau akan gagal keseluruhan kursus dan tidak layak memakai beret hijau. Ini disebabkan pelatih tersebut tidak tahan seksaan yang dikenakan.

Oleh itu, sekiranya seksaan dalam latihan pun tak boleh tahan bagaimana pula nak menghadapi seksaan oleh musuh sebenar yang jauh lebih perit, bahkan sampai meragut nyawa.

Terdapat pelbagai bentuk penderaan/penyeksaan seperti dipukul, dipaksa memakan najis, digantung dengan keadaan kepala di bawah dan lain‐lain.

Sebagai tambahan, terdapat syarat‐syarat yang perlu dipatuhi jurulatih dalam latihan penderaan ini. Antaranya ialah tidak boleh menyeksa rekrut sehingga menyebabkan kecederaan dalaman atau kematian.

Penganugerahan Beret Khas:-

Pelatih yang berjaya dan disahkan, layak bergelar KOMANDO. Mereka akan berehat di sebuah kem tentera, iaitu di mana tempat berakhirnya proses E&E.

Juga memberi peluang kepada rekrut‐rekrut baru komando tadi berhubung dengan keluarga dan membuat persediaan semasa hari penganugerahan.

Jadi, tidak hairanlah jika Komando Malaysia diiktiraf antara komando terbaik di dunia sehingga pernah di dokumentarikan oleh Asia Channel.
#GGK #PASKAL #PASKAU #UTK #VAT69 #STARTEAM

MAKA, JANGAN SELAMBA SELAMBA NYE MEMPERLEKEHKAN KERJAYA PASUKAN KESELAMATAN.

#copypasteamaryusof

Monday, January 2, 2017

Intelligen kelicikan risik dalam era moden tidak boleh di pandang ringan.

Kejatuhan pemimpin lantang Indonesia, Sukarno dalam tahun 60-an merupakan satu kejayaan bagi perisikan asing. Ini diakui oleh ahli sejarah British, David Easter dalam jurnal Intelligence and National Security. Sukarno ketika itu dianggap sebagai duri dalam daging kuasa-kuasa Barat. Namun kelicikan perisikan dengan di tambah peranan media Barat berjaya membohongi rakyat Indonesia untuk menerima hakikat Sukarno akan tunduk kepada tekanan komunis.

Mereka yang memainkan peranan utama perisikan British ketika itu sehingga tersungkurnya Sukarno ialah Duta Britain ke Jakarta, Andrew Gilchrist dan pakar propaganda Pejabat Luar Britain, Norman Reddaway. Mereka inilah yang menggoncang kestabilan kerajaan Indonesia. Malaysia juga sebenarnya tidak terlepas daripada intipan ejen perisikan. Pada awal 80-an, seorang bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri turut dilatih oleh kuasa luar untuk menjadi ejen perisikan Soviet Union.

Kewujudan pejabat kedutaan Israel di Singapura tidak harus dipandang ringan kerana negara di selatan Semenanjung ini adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mempunyai hubungan diplomatik secara langsung dengan negara Yahudi itu. Tidak mustahil rakyat Singapura diupah oleh ejen-ejen perisikan Israel untuk menjalankan intipan terhadap negara kita.

Perisikan alaf baru kini lebih mirip kepada risikan dan rahsia kerajaan yang melibatkan propaganda dan gerak saraf ideologi. Ejen-ejen perisikan akan menyusup masuk ke sektor ekonomi, pentadbiran, sistem pertahanan negara dan malah akan cuba berbaik-baik dengan pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka akan mengeluarkan bantuan kewangan, peralatan komunikasi yang canggih, alat pengintipan yang serba moden, senjata dan latihan sama ada kepada individu atau kumpulan tertentu. Bagi mereka sesiapa sahaja yang dilihat boleh membantu mencapai matlamat risikan, akan menjadi sasaran.

Kerajaan perlu berhati-hati dalam memilih kontraktor pembinaan dan perlu juga mencampuri urusan penambilan buruh asing oleh kontraktor terbabit agar tidak terdapat ejen perisikan asing yang menyamar sebagai buruh binaan. Mungkin kerajaan boleh mengambil modul dan prosedur saringan dan semakan yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa pembinaan Kem Tuanku Sirajuddin di Gemas. Siasatan latar belakang pekerja dan tahap keselamatan dalaman yang tinggi semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan begitu terperinci dan teliti sekali semata-mata untuk mengelak dan memastikan selok belok tempat strategik pertahanan negara tidak diceroboh oleh pihak asing.

Malah kerajaan sebelum ini pernah mengarahkan Jabatan Imigresen menyiasat latar belakang pekerja asing yang berkhidmat dengan pemimpin negara dan pegawai tinggi kerajaan bagi memastikan mereka bukan ejen-ejen perisik luar negara. Walaupun arahan ini telah lama dikeluarkan, kita berharap Jabatan Imigresen dapat meneruskan peranan ini. Kerajaan juga harus mengambil langkah berhati-hati dalam memberi visa dan permit kerja kepada warga asing dalam bidang-bidang tertentu.

Dalam era teknologi canggih ini, risikan boleh dilakukan dengan berbagai cara dan maklumat boleh disampaikan dengan begitu pantas sekali. Komunikasi tanpa sempadan dan capaian internet berkelajuan tinggi akan membolehkan maklumat risikan sampai ke kuasa luar dengan begitu cepat sekali. Ini belum lagi penggunaan teknologi satelit dan sistem informasi geografi (GIS) yang semakin hari semakin canggih dan terkini teknologinya. Perlu diingat 80% satelit di ruang angkasa bumi adalah satelit yang berfungsi perisikan yang dimiliki oleh kuasa-kuasa besar.

Sektor ekonomi juga tidak boleh lari daripada menjadi intipan ejen perisikan. Pengambilan tenaga profesional negara asing dalam syarikat-syarikat besar tempatan yang mempunyai kuasa penentu jatuh bangun ekonomi negara perlu juga dipantau. Tidak mustahil mereka berperanan sebagai pemberi maklumat yang berharga kepada musuh negara dengan bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi negara.

Kita harus berwaspada dengan peranan ejen perisikan ini kerana mereka bersedia melakukan apa sahaja untuk mengintip dan menyusup rahsia. Mereka akan menyamar, mengupah ejen tempatan, membuat rakaman dan penyalinan dokumen rahsia sama ada menggunakan telefon, kamera, menceroboh sistem komputer kerajaan dan rakam bual pihak tertentu dengan tujuan untuk mengintip.

Hanya semangat cintakan negara mampu menghalang kemaraan ejen-ejen perisikan ini yang berada di sekeliling kita. Sikap kitalah yang akan menentukan sejauh mana kejayaan ejen-ejen perisik asing ini

UCAPAN SEMPENA TAHUN BAHARU 2017 TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN PRESIDEN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA

1. Dari pelbagai sudut, tahun 2016 merupakan tahun yang penuh dengan krisis - krisis kepemimpinan, krisis keyakinan, krisis keruntuhan institusi negara dan krisis moral yang dialami oleh pimpinan negara.

2. Pelbagai pembongkaran mengenai penyelewengan telah berlaku pada 2016. Rompakan harta negara dilakukan secara terang-terangan, rakus dan sombong melibatkan berbilion ringgit wang awam sepertimana yang terjadi dalam kes penyelewengan 1MDB dan kerugian yang dialami Felda akibat urusniaga yang tidak masuk akal.

3. Ia juga merupakan tahun kejatuhan nilai ringgit paling rendah dalam sejarah negara. Di samping faktor ekonomi dan kewangan antarabangsa, tidak dinafikan kejatuhan ringgit yang teruk juga disebabkan oleh krisis keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap pengurusan ekonomi Malaysia di bawah pentadbiran Najib. Masakan kepercayaan masyarakat antarabangsa boleh diraih tatkala Najib dikenali sebagai Perdana Menteri paling korup di dunia.

4. Akibatnya, rakyat menanggung kesan paling buruk. Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan kos barangan import meningkat secara mendadak dan harga barangan keperluan harian semakin mahal Rakyat semakin menderita akibat kos sara hidup yang kian meningkat. Akibat kejatuhan harga minyak dunia, hasil negara juga berkurangan. Lebih mengecewakan, hasil negara yang berkurangan ini pun terpaksa digunakan untuk membayar hutang piutang dan tanggungan negara yang semakin meningkat disebabkan oleh pelbagai penyelewengan, ketirisan dan salah urus ekonomi negara di bawah pentadbiran seorang Perdana Menteri yang tidak amanah.

5. Akibatnya, peruntukan kerajaan untuk sektor-sektor utama yang menyentuh kebajikan rakyat seperti pendidikan dan kesihatan terpaksa dipotong. Kerajaan sudah tidak mampu lagi untuk menyediakan biasiswa kepada pelajar seperti dahulu. Peruntukan kepada universiti-universiti awam juga dikurangkan. Malah peruntukan kepada hospital-hospital awam juga mengalami penurunan. Sehinggakan di sesetengah hospital awam, pesakit tidak lagi  dapat menikmati perkhidmatan kesihatan percuma seperti sebelumnya. Semua ini menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan untuk membela kebajikan mereka.

6. Selain itu, keruntuhan institusi negara secara amnya di bawah kepimpinan Najib semakin memburukkan lagi keadaan. Sudahlah pekung penyelewengan dan salah laku kepimpinannya diketahui di seluruh dunia, namun harapan untuk melihat beliau mengambil tanggungjawab di atas segala kemungkaran yang dilakukan nampaknya semakin kelam. Ketikamana pendakwaraya di Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland dan negara-negara lain telah berjaya mengesan kecurian wang 1MDB dan mendakwa mereka yang terbabit, anehnya Peguam Negara Malaysia sehingga kini langsung tidak menjumpai sebarang bukti untuk mendakwa Najib dan konco-konconya yang telah merompak dan menyamun wang 1MDB. Malah, mereka yang mempersoalkan penyelewengan 1MDB pula disiasat dan didakwa. Lebih lama rejim ini dibiarkan berkuasa, maka lebih banyaklah institusi penting negara diruntuhkan, lebih parah kerosakan yang dilakukan dan lebih besar kerugian yang akan ditanggung oleh rakyat.

7. Saya juga bimbang dengan tindakan kerajaan Malaysia pada 2016 menjalinkan kerjasama dengan negara China membabitkan penjualan banyak aset strategik dan projek negara yang jatuh dimiliki syarikat dari negara China termasuklah pegangan dalam Bandar Malaysia serta tambahan hutang bagi projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Dengan tambahan hutang bernilai RM50 billion dalam Projek ECRL dalam masa sama hutang 1MDB sebanyak RM53bilion belum lagi selesai, apa yang dilakukan Kerajaan  hari ini amat berisiko kepada kedaulatan negara kerana negara kini menanggung hutang yang tinggi dan terpaksa bergantung harap kepada negara luar.

8. Kita sepatutnya tidak berkompromi hak kita hanya kerana mahu mendapatkan bantuan dari sebuah negara asing. Ia bukan isu ekonomi atau perniagaan tetapi menyentuh kedaulatan kita. Ianya berimplikasi besar kepada negara oleh kerana kebergantungan tinggi kepada negara luar dari segi kewangan, kepakaran dan guna tenaga.

9. Yang tinggal hanyalah kuasa rakyat. Jika kita ingin melihat negara kita ditadbir secara lebih bertanggungjawab, maka setiap rakyat yang mempunyai satu undi di tangan masing-masing perlu membuat pertimbangan yang wajar dalam pilihanraya akan datang. Adakah kita mahu mengambil sikap tidak apa dengan membiarkan sahaja pemimpin yang tidak amanah terus merompak harta negara dengan rakus dan mengenepikan kepentingan rakyat, atau mengambil satu pendirian yang tegas dan iltizam yang kukuh untuk melakukan perubahan dengan menggantikan kerajaan sedia ada dengan kerajaan baharu yang lebih beramanah dan bermaruah.

10. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lahir untuk menyatukan rakyat dalam satu perjuangan melakukan perubahan melalui agenda reformasi, keadilan, keterangkuman, kesederhanaan dan progresif. Kita mensasarkan untuk menamatkan kemusnahan berterusan negara dan mengemudi semula arah tuju negara demi khidmat kepada rakyat. Kita juga akan memulihkan semula institusi demokrasi melalui reformasi institusi yang menyeluruh.

11. PPBM dengan semua rakan sekutu yang terdiri daripada parti-parti pembangkang yang mempunyai haluan yang sama akan bekerja kuat untuk memastikan negara dapat diselamatkan, kepentingan rakyat dipelihara dan maruah serta kegemilangan Malaysia diraih semula.

12. Justeru, saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama berganding bahu dalam perjuangan melakukan perubahan  dalam apa jua kapasiti kerana kegagalan bukan lagi satu pilihan untuk kita. Kepada rakan sekutu PPBM, marilah kita bekerjasama dan berunding secara bersama dengan satu tujuan untuk menawarkan kepada rakyat satu pilihan parti politik yang lebih kredibel untuk menerajui negara. Kita tidak boleh melakukan perkara yang sama saban masa dengan mengharapkan hasil yang berbeza. Jadi, kita perlu menumpukan perhatian untuk memenangi pilihanraya akan datang, membentuk kerajaan  dan menyelamatkan Malaysia.

13. InsyaAllah, masa untuk melakukan perubahan hampir tiba. Mudah-mudahan tahun 2017 akan menyongsong satu perubahan baharu untuk Malaysia. Marilah kita bersatu menghadapi ancaman masakini.

Selamat Tahun Baru!

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

Tuesday, December 6, 2016

TAKLIMAT NAJIB

1.Najib mendakwa bahawa sebabnya saya tidak sokongnya ialah kerana saya tidak dapat apa yang saya minta.

2.Bagi diri saya tidak ada apa pun yang saya minta. Tawaran Kerajaan untuk memberi percuma tanah di Putrajaya diwaktu saya letak jawatan, seperti kepada bekas Perdana Menteri yang lain, pun saya tolak. Saya minta untuk membeli tanah di Putrajaya dan saya bayar satu juta untuk sekeping. Duit ini dari tabung simpanan saya selama 29 tahun dalam Kerajaan. Tak hutang.

3.Hadiah yang diberi kepada saya semasa dalam Kerajaan saya pulangkan balik kepada Kerajaan. Semua boleh dilihat di Galeria Langkawi dan kediaman PM lama di Jalan Terengganu, off Jalan Damansara.

4.Yang saya minta dari Najib ialah untuk negara dan untuk rakyat. Semuanya ditolak tetapi dalam PRU13 saya masih sokong Najib. Walaupun saya menyatakan Najib harus berhenti jika pencapaiannya dalam PRU 13 lebih buruk dari Abdullah dalam PRU 12, setelah kemenangannya dalam PRU 13 lebih buruk dari Abdullah saya masih terus menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

5.Hanya apabila rahsia hutang dan kerugian 1MDB terbongkar barulah saya tarik sokongan saya daripada Najib.

6.Kalau kerana jambatan tidak dibina, sudah lama saya berhenti dari menyokongnya. Kalau kerana landasan berkembar elektrik tidak dibina dari Johor Bahru ke Padang Besar, sudah lama saya hentikan sokongan saya kepada Najib. Bukan kerana tidak layan permintaan saya untuk negara pun yang saya tarik sokongan saya dari Najib.

7.Najib biasa datang jumpa saya untuk bertanya apa yang saya hendak. Saya fikir ia ikhlas dan saya pun sebut beberapa projek pembangunan untuk negara. Kemudian saya sedar ia sedang mencuba sogok saya dengan cara ini supaya saya tidak bangkit soal 1MDB.

8.Tetapi kehilangan wang Kerajaan terlalu besar. Hanya kerana melayan saya tidak boleh dijadikan alasan bagi saya pejam mata berkenaan kehilangan duit Kerajaan berbillion-billion. Oleh itu saya teruskan juga membangkitkan soal 1MDB. Apatah lagi apabila 2.6 billion Ringgit tiba-tiba didapati ada dalam akaun persendirian Najib.

9.Tidak pernah dalam sejarah Malaysia merdeka, Perdana Menteri Malaysia memiliki sebegitu banyak duit. Untuk apa tujuan pun Perdana Menteri Malaysia tidak harus memiliki 2.6 billion Ringgit.

10.Yang jelas ialah tanpa duit yang begitu banyak, BN dan UMNO telah menang dengan berkali lebih baik dari Najib dalam PRU 13. Bukan wang yang boleh beri kemenangan. Khidmat pada rakyat dan keikhlasan niat yang memberi kemenangan bagi parti.

11. Kononnya duit ini diderma oleh penderma-penderma yang tidak suka dikenali. Mereka pula tidak sanggup memberi terus kepada UMNO tetapi sebagai “pemimpin” mereka sanggup beri hanya kepada Najib sebagai pemimpin untuk disimpan olehnya dalam akaun peribadi. Ini tidak masuk akal sama sekali melainkan ada niat untuk tidak menjelas dari mana duit itu datang, menyembunyi perbelanjaan.

12.Tuduhan dibuat bahawa Bank Negara tahu. Apa buktinya Bank Negara tahu. Kenapa laporan dari Bank Negara ditolak oleh AG. Apakah AG tidak percaya kepada Bank Negara sedangkan kita dikehendaki percaya Bank Negara berkenaan sesuatu yang hanya disebut oleh Najib, tidak oleh Bank Negara.

13.Adakah lebih meyakinkan jika laporan Bank Negara didedah daripada hanya Najib berkata Bank Negara tahu. Wang 50 million dan lebih yang dimasuk dalam mana-mana bank mesti mendapat kelulusan Bank Negara. Tunjuk sahaja bukti kelulusan Bank Negara berkenaan RM2.6 billion dan Najib akan dipercayai.

14.Percubaan memburukkan nama saya dengan berkata saya juga menyebabkan wang Kerajaan hilang kerana tindakan dan pelaburan yang merugikan. Najib sendiri mengaku bahawa dalam perniagaan adakala untung adakala rugi. Yang utama ialah segala yang dilakukan ditulis dalam akaun yang telus dan terbuka. Dan segala urusan dibuat oleh pengawai Kerajaan yang bertanggungjawab. Saya tidak terlibat dengan pengurusan terutama pengurusan modal wang. Tugas saya tamat dengan melulus pelaburan. Saya tidak menjadi pengurus atau penasihat eksekutif.

15.Sebaliknya Najib menubuh 1MDB yang dibiayai sebanyak 1 juta sahaja oleh Kerajaan. Najib juga menjadi Penasihat kepada 1MDB.

16.1MDB hutang RM42 billion Ringgit iaitu 42,000 kali ganda lebih besar dari modal. Wang ini dipinjam dengan faedah yang amat tinggi dan komisyen kepada Golden Sachs berjumlah 10%.

17.Wang ini diguna untuk beli stesen janakuasa yang usang dan hampir tamat lesen dengan harga lebih tinggi dari harga pasaran. Hutang sebanyak RM 8 billion diambil alih menjadi jumlah hutang RM50 billion.

18.Stesyen digabung menjadi Edra. Tetapi pulangan begitu rendah sehingga tidak dapat bayar faedah dan terpaksa dijual. Ia tidak boleh disenarai kerana akaunnya tidak dapat disah oleh juruaudit. Ia terpaksa dijual kepada syarikat negara Cina kerana TNB tidak dapat bayar harga yang boleh selesaikan hutang sebanyak RM 18 billion.

19.Baki hutang diguna untuk beli tanah Kerajaan dengan harga yang amat murah iaitu RM 60 skp sedangkan tanah berdekatan dijual dengan harga RM7000 skp. Harga belian tanah lapangan terbang tidak disebut.

20.Tanah yang diduduki oleh setinggan di Pulau Pinang dibeli dengan harga yang amat tinggi. Sukar untuk dibangun.

21.Percubaan dibuat untuk jual tanah Jalan Tun Razak yang dibeli dengan harga RM60 skp dari Kerajaan, kepada Tabung Haji dengan harga RM3000 skp (50 kali ganda harga beli). Wajarkah Kerajaan rugi sebanyak RM2940 skp. Inikah perniagaan stategik 1MDB?

22.Apakah saya pernah buat perkara-perkara seperti ini? Buktikan. Jangan tuduh melulu.

23.Kononnya ekonomi negara tidak teruk.

24.Hakikatnya nilai Ringgit dan harga saham jatuh dengan teruk. Kos sara hidup meningkat dengan GST, subsidi minyak diturunkan, tol dan tambang dinaikkan dll.

25.Pendapatan dinaikkan tetapi daya beli turun kerana nilai Ringgit jatuh. Pengangguran bertambah, termasuk dikalangan lulusan universiti. Perniagaan dan industry menghadapi masalah yang tidak dapat diatasi.

26.Apakah saya yang merosakkan imej negara?

27.Akhbar dunia telah melaporkan berkenaan Jho Low dan persahabatannya dengan Najib, cara hidupnya dan pembelian rumah mewah, pembiayaan filem Wolf of Wall Street bersama anak tiri Najib jauh lebih awal dari sebutan 1MDB oleh saya. Semua ini yang memburukkan imej negara. Ia menjadi lebih buruk kerana laporan tentang pelaburan 1MDB, dan kemudian wang yang terdapat dalam akaun peribadi Najib sebanyak RM 2.6 billion.

28.Jika ada sesiapa yang merosakkan imej Negara, ia adalah Dato Sri Najib sendiri. Sebelum ini imej Negara amat baik.

29.Jika apa yang dituduh Najib lakukan fitnah, Najib harus membuktikan semuanya tidak benar. Bahkan Najib perlu saman malu akhbar-akhbar yang melapor. Walaupun kononnya tindakan akan diambil, tetapi tidak ada apa-apa tindakan selain dari menakutkan sesiapa yang membuat teguran atau melapor kepada polis dengan disoal siasat oleh polis, dimasuk dalam tahanan dan dihadapkan kepada mahkamah. Tidak pernah terjadi dimana-mana bahawa orang yang melapor jenayah kepada polis dituduh mensabotaj demokrasi atau menguling Kerajaan. Juga peguam pihak yang mengadu disoal oleh polis dan dimasuk dalam tahanan.

30.Orang kampung mungkin tidak kisah. Sebabnya mungkin kerana akhbar tidak dibenar melapor. Tetapi hanya kerana orang kampung tidak ambil kisah, maka perbuatannya curang dan jenayah masih tidak boleh dihalalkan

Sebar luaskan pd rakyat...

Tuesday, November 22, 2016

SUSPEK:Pembunuhan kejam di Taman Scientex.

PASIR GUDANG - Kejam kerana cinta tidak berbalas seorang wanita dibunuh.

Kejadian di Taman Scientex di syaki pada pagi semalam 21/11/2016.

Suspek bunuh seorang perempaun india kerana balas dendam.

Perbuatan seumpama ini tidak boleh diterima oleh masyarakat. Mereka yang melakukan perbuatan ini harus diheret ke muka pengadilan dengan segera.

Friday, November 18, 2016

Kerajaan minta halusi MKN?

Krisis Perlembagaan 1993 telah melihat proses perundingan serta tolak ansur antara Majlis Raja-Raja dan Kerajaan sebelum ia menjadi undang-undang. Rundingan yang berlaku menunjukkan ada sikap saling menghormati satu sama lain.

Dalam isu MKN, Majlis Raja-Raja pada Februari 2016 telah meminta Kerajaan “menghalusi” semula cadangan tersebut untuk dipertimbangkan semula, tetapi Kerajaan Datuk Seri Najib Razak tidak mengendahkan pandangan tersebut. Ia diluluskan tanpa pindaan. Tiada sikap menghormati pandangan Majlis Raja-Raja ditunjukkan.

Sebelum pada itu, pada bulan Oktober 2015, Majlis Raja-Raja juga telah meminta kerajaan menyelesaikan dengan baik kontroversi 1MDB. Sekali lagi kerajaan telah mengambil sikap tidak bertindak sewajarnya dalam isu 1MDB.

Dalam krisis Perlembagaan 1993, kerajaan telah menunjukkan sikap lebih bijaksana, sanggup berbincang dan bertolak ansur, sementara dalam isu MKN:

1) Kerajaan mengambil sikap tidak mengendahkan langsung pandangan Majlis Raja Raja (termasuk dalam isu 1MDB beberapa bulan sebelum itu). Sikap menghormati pandangan Majlis Raja-Raja langsung tidak ditunjukkan.

2) DYMM Yang di-Pertuan Agong menandatangani Pindaan Perlembagaan 1993 setelah ada perbincangan dalam isu tersebut, sementara Akta MKN tidak ditandatangani setelah Kerajaan tidak menimbang cadangan untuk menghalusi cadangan MKN. Sikap menghormati Majlis Raja-Raja tidak ditunjukkan oleh kerajaan.

3) Sikap kerajaan yang tidak ingin bertolak ansur dan tidak menghormati Majlis Raja-Raja merugikan negara dalam isu MKN (dan juga isu 1MDB.)

4) Sikap Kerajaan Datuk Najib hari ini yang tidak menunjukkan kebijaksanaan dan sikap bertolak ansur terhadap Majlis Raja-Raja amatlah tidak menepati cara dan budi bicara Islam dan Melayu tempatan. Menteri menekankan mereka “mengikuti undang undang” seolah-olah budi bicara dan adat tidak penting langsung.

MKN tidak ditandatangani oleh DYMM Tuanku Agong kerana tiada sikap bijaksana dan angkuh ditunjukkan oleh Datuk Najib dalam menangani isu tersebut. Majlis Raja-Raja juga sedar betapa bahayanya MKN yang memberi kuasa “mutlak” kepada Perdana Menteri untuk mengistihar kawasan darurat tanpa merujuk kepada Agong dan ini akan meletakkan Negara dibawah risiko pemerintahan “kuku besi”.

Itulah sikap angkuh Datuk Najib terhadap Raja-Raja Melayu, kepada pembangkang dan juga Rakyat.

Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah ialah ahli parlimen Kuala Terengganu – Malaysia Dateline

Sunday, November 13, 2016

Tahukah anda, Siapa Pewaris Sebenar Pusat Judi Genting?

Tauke Genting Highlands, Lim Goh Tong, semasa bekerja di Cameron Highlands tertarik dengan persekitaran Cameron Highlands. Bila balik KL, dia pun mula mencari kawasan yang hampir sama dengan Cameron Highlands tapi dekat dengan KL.

Cari punya cari…dia jumpa satu kawasan tanah tinggi di Gunung Ulu Kali yang berketinggian 1800 kaki dari paras laut.

Gunung Ulu Kali terletak ditengah-tengah sempadan Selangor dan Pahang. Nak buat apa-apa projek pun, bukan senang…sebab kena deal dengan dua negeri.

Tapi Lim Goh Tong bukan bod oh…sebab dia tau orang Melayu boleh dibeli. Toksah kata orang kampung…bapak Menteri pun boleh dibeli.

Orang pertama dibeli oleh Lim Goh Tong ialah Tan Sri Haji Mohamed Noah Omar. Toksah tengok title Tan Sri ataupun title Haji. Itu semua tak ada makna. Lim Goh Tong menubuhkan Syarikat Genting Highlands Berhad dan melantik Haji Mohamed Noah sebagai Pengarah.

Lim Goh Tong berpakat dengan Mohamed Noah untuk memohon tanah seluas 12,000 ekar yang terletak dalam negeri Pahang dan 2,800 ekar dari negeri Selangor. Dan sudah semestinya, perkara nak mintak tanah ni..Haji Mohamad Noah yang buat.

Kerajaan negeri Pahang meluluskan permohonan Genting Highlands Berhad serta merta. Tapi Datuk Harun Idris yang jadi Menteri Besar Selangor masa tu tak setuju nak bagi macam tu saja. Dia memberikan hak milik 99 tahun kepada Genting Highlands Berhad.

Goh Tong tak setuju dengan pajakan 99 tahun, sebaliknya dia mahukan hakmilik kekal. Datuk Harun tak setuju, sebaliknya dia hanya mahu bagi pajakan 99 tahun. Akhirnya, Datuk Mohamed Noah berjumpa dengan Tun Razak yang masa tu menjadi Timbalan Perdana Menteri supaya mendesak Datuk Harun suruh bagi juga kat Lim Goh Tong.

Datuk Harun terpaksa bersetuju dengan Tun Razak supaya memberikan tanah seluas 2,8000 ekar yang dimiliki oleh Kerajaan Selangor kepada Lim Goh Tong. Apa tujuan untuk membangunkan Genting Highlands..yang tu aku tak payah cerita. Kalau yang tu pun hangpa tak tau..memang bod oh la.

Tun Razak pun aku tak payah cerita..sebab kalau tak tau dia tu bapak kepada Najib… tak tau nak kata la.

Cuma..berapa ramai yang tau siapa Tan Sri Haji Mohamed Noah yang menjadi kuda tunggangan Lim Goh Tong?

Tan Sri Haji Mohamed Noah adalah bapa mertua kepada Tun Razak. Datuk Najib jugak!! Anak Haji Mohamed Noah ialah Rahah (mak Najib) dan Suhaila (emak Hishamuddin).

Datuk kepada Najib dan Hishamuddin adalah kuda tunggangan Lim Goh Tong untuk mendapatkan 14,800 ekar tanah rizab Melayu untuk dijadikan pusat perjudian terkemuka didunia. Dan Pak Mentua dengan menantu bersepakat menggunakan kedudukan depa untuk mendapatkan persetujuan dua-dua kerajaan negeri.

Tun Razak dari Pahang jadi tak susah nak bodek Sultan Pahang. Manakala di Selangor, Tun Razak menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk memaksa Datuk Harun Idris menyerahkan tanah milik kerajaan Selangor kepada Pak Mentua dia.

Cara meluluskan Genting Highland pun semua kelam kabut. Sapa yang menentang semua kena steamroll.

Genting Highlands Berhad ditubuhkan pada 27 April 1965. Kerja-kerja membuat jalan dari Genting Sempah ke puncak gunung Ulu Kali bermula pada 18 Ogos 1965. Dalam masa empat bulan, semua proses permohonan tanah selesai. Masa tu kalau rakyat biasa nak tukar nama dalam geran pun mengambil masa dua tahun.

Najib Razak pewaris Genting

Sejarah selebihnya..yang tu hangpa cari sendiri la. Genting Highlands melalui beberapa proses pertukaran nama, percantuman, pertukaran pemegang saham.. akhirnya dimiliki sepenuhnya oleh Lim Goh Tong.

Sekarang ni…ada la dua tiga kerat Melayu yang jadi Pengarah non-eksekutif.. menguruskan pusat judi.

Tapi jangan risau banyak lagi tanah-tanah di Malaysia ni yang belum tergadai. Semua orang mempunyai pilihan…sama ada nak terus pilih generasi Tan Sri Mohamed Noah untuk menggadaikan tanah Melayu..atau campak saja depa kelaut.

Profail:

Tan Sri
Dato' Haji Mohammad Noah bin Omar / Maimun bin Haji Abdul Manaf

-Anak
-Rahah
-Suhaila
-Fakhriah
-Abu Rais

-Tun Rahah Mohammad Noah adalah isteri kepada
Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein (1971-1976)

-Toh Puan Suhaila menjadi isteri kepada
Perdana Menteri Malaysia ke-3 , Tun Hussein Onn (1976-1981).

Cucunya kini Mohd Najib bin Abdul Razak menjadi
Perdana Menteri Malaysia ke-6 .

Seorang lagi cucunya ialah Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang kini menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kabinet Najib

Umno dan Genting Berhad

Bekas Spekaer Dewan Rakyat, bekas Pengerusi Genting Bhd serta datuk kepada Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tan Sri Noah Omar memiliki 602,318,000 saham dalam Resort World Berhad.

Yayasan Noah memegang saham sebanyak 3,334,600 dalam Genting Berhad. Yayasan Noah kini diwarisi oleh Najib dan Hishammuddin. Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Amin Othman dan bekas Pegawai Bank, Dato’ Paduka Nik Hashim Yusof menjadi Pengarah Genting Berhad.

Salahsilah PM Melayu Islam Malaysia

Buku 'The Three Swan' ada menceritakan perjalanan hidup keluarga ini.Buku ini diterbitkan oleh MPH Group (M) Sdn. Bhd. (MPH) setebal 320, ditulis oleh anak kedua Fakhriah, Datuk Dr. Fawzia Abdullah

Sumber lain ;
My Dream oleh Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong

Tan Sri Mohamad Noah Omar Dan Kisah Belakang Tabir Kasino Genting
http://manjongmari.blogspot.com/2012/06/tokwan.html

Tan Sri Mohamad Noah Omar Dan Kisah Belakang Tabir Kasino Genting
http://atsixty-zakriali.blogspot.com...dan-kisah.html/

UMNO dan kegiatan judi
http://www.tranungkite.net/v10/modul...rder=0&thold=0

Koleksi UMNO dan JUDI dulu kini dan selamanya..
http://penpasksgb.blogspot.com/2011/...-kini-dan.html

NAJIB SURUH CONTOHI DAN IKUTI MENDIANG LIM GOH TONG
http://www.bernama.com/

Koleksi UMNO dan JUDI dulu kini dan selamanya..
http://penpasksgb.blogspot.com/2011/...-kini-dan.html

Jangan salahkan pencuri.. sebab kerja pencuri ialah mencuri. Salahkan diri sendiri sebab terus membenarkan pencuri bermaharajalela
 
Kalu ada silap minta rakan rakan bagi fakta minta betulkan supaya semua kita tahu kebenaran cari kebenaran..pilih kebenaran.

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat