TERIMA KASIH


counters

MTMR

Tuesday, December 6, 2016

TAKLIMAT NAJIB

1.Najib mendakwa bahawa sebabnya saya tidak sokongnya ialah kerana saya tidak dapat apa yang saya minta.

2.Bagi diri saya tidak ada apa pun yang saya minta. Tawaran Kerajaan untuk memberi percuma tanah di Putrajaya diwaktu saya letak jawatan, seperti kepada bekas Perdana Menteri yang lain, pun saya tolak. Saya minta untuk membeli tanah di Putrajaya dan saya bayar satu juta untuk sekeping. Duit ini dari tabung simpanan saya selama 29 tahun dalam Kerajaan. Tak hutang.

3.Hadiah yang diberi kepada saya semasa dalam Kerajaan saya pulangkan balik kepada Kerajaan. Semua boleh dilihat di Galeria Langkawi dan kediaman PM lama di Jalan Terengganu, off Jalan Damansara.

4.Yang saya minta dari Najib ialah untuk negara dan untuk rakyat. Semuanya ditolak tetapi dalam PRU13 saya masih sokong Najib. Walaupun saya menyatakan Najib harus berhenti jika pencapaiannya dalam PRU 13 lebih buruk dari Abdullah dalam PRU 12, setelah kemenangannya dalam PRU 13 lebih buruk dari Abdullah saya masih terus menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

5.Hanya apabila rahsia hutang dan kerugian 1MDB terbongkar barulah saya tarik sokongan saya daripada Najib.

6.Kalau kerana jambatan tidak dibina, sudah lama saya berhenti dari menyokongnya. Kalau kerana landasan berkembar elektrik tidak dibina dari Johor Bahru ke Padang Besar, sudah lama saya hentikan sokongan saya kepada Najib. Bukan kerana tidak layan permintaan saya untuk negara pun yang saya tarik sokongan saya dari Najib.

7.Najib biasa datang jumpa saya untuk bertanya apa yang saya hendak. Saya fikir ia ikhlas dan saya pun sebut beberapa projek pembangunan untuk negara. Kemudian saya sedar ia sedang mencuba sogok saya dengan cara ini supaya saya tidak bangkit soal 1MDB.

8.Tetapi kehilangan wang Kerajaan terlalu besar. Hanya kerana melayan saya tidak boleh dijadikan alasan bagi saya pejam mata berkenaan kehilangan duit Kerajaan berbillion-billion. Oleh itu saya teruskan juga membangkitkan soal 1MDB. Apatah lagi apabila 2.6 billion Ringgit tiba-tiba didapati ada dalam akaun persendirian Najib.

9.Tidak pernah dalam sejarah Malaysia merdeka, Perdana Menteri Malaysia memiliki sebegitu banyak duit. Untuk apa tujuan pun Perdana Menteri Malaysia tidak harus memiliki 2.6 billion Ringgit.

10.Yang jelas ialah tanpa duit yang begitu banyak, BN dan UMNO telah menang dengan berkali lebih baik dari Najib dalam PRU 13. Bukan wang yang boleh beri kemenangan. Khidmat pada rakyat dan keikhlasan niat yang memberi kemenangan bagi parti.

11. Kononnya duit ini diderma oleh penderma-penderma yang tidak suka dikenali. Mereka pula tidak sanggup memberi terus kepada UMNO tetapi sebagai “pemimpin” mereka sanggup beri hanya kepada Najib sebagai pemimpin untuk disimpan olehnya dalam akaun peribadi. Ini tidak masuk akal sama sekali melainkan ada niat untuk tidak menjelas dari mana duit itu datang, menyembunyi perbelanjaan.

12.Tuduhan dibuat bahawa Bank Negara tahu. Apa buktinya Bank Negara tahu. Kenapa laporan dari Bank Negara ditolak oleh AG. Apakah AG tidak percaya kepada Bank Negara sedangkan kita dikehendaki percaya Bank Negara berkenaan sesuatu yang hanya disebut oleh Najib, tidak oleh Bank Negara.

13.Adakah lebih meyakinkan jika laporan Bank Negara didedah daripada hanya Najib berkata Bank Negara tahu. Wang 50 million dan lebih yang dimasuk dalam mana-mana bank mesti mendapat kelulusan Bank Negara. Tunjuk sahaja bukti kelulusan Bank Negara berkenaan RM2.6 billion dan Najib akan dipercayai.

14.Percubaan memburukkan nama saya dengan berkata saya juga menyebabkan wang Kerajaan hilang kerana tindakan dan pelaburan yang merugikan. Najib sendiri mengaku bahawa dalam perniagaan adakala untung adakala rugi. Yang utama ialah segala yang dilakukan ditulis dalam akaun yang telus dan terbuka. Dan segala urusan dibuat oleh pengawai Kerajaan yang bertanggungjawab. Saya tidak terlibat dengan pengurusan terutama pengurusan modal wang. Tugas saya tamat dengan melulus pelaburan. Saya tidak menjadi pengurus atau penasihat eksekutif.

15.Sebaliknya Najib menubuh 1MDB yang dibiayai sebanyak 1 juta sahaja oleh Kerajaan. Najib juga menjadi Penasihat kepada 1MDB.

16.1MDB hutang RM42 billion Ringgit iaitu 42,000 kali ganda lebih besar dari modal. Wang ini dipinjam dengan faedah yang amat tinggi dan komisyen kepada Golden Sachs berjumlah 10%.

17.Wang ini diguna untuk beli stesen janakuasa yang usang dan hampir tamat lesen dengan harga lebih tinggi dari harga pasaran. Hutang sebanyak RM 8 billion diambil alih menjadi jumlah hutang RM50 billion.

18.Stesyen digabung menjadi Edra. Tetapi pulangan begitu rendah sehingga tidak dapat bayar faedah dan terpaksa dijual. Ia tidak boleh disenarai kerana akaunnya tidak dapat disah oleh juruaudit. Ia terpaksa dijual kepada syarikat negara Cina kerana TNB tidak dapat bayar harga yang boleh selesaikan hutang sebanyak RM 18 billion.

19.Baki hutang diguna untuk beli tanah Kerajaan dengan harga yang amat murah iaitu RM 60 skp sedangkan tanah berdekatan dijual dengan harga RM7000 skp. Harga belian tanah lapangan terbang tidak disebut.

20.Tanah yang diduduki oleh setinggan di Pulau Pinang dibeli dengan harga yang amat tinggi. Sukar untuk dibangun.

21.Percubaan dibuat untuk jual tanah Jalan Tun Razak yang dibeli dengan harga RM60 skp dari Kerajaan, kepada Tabung Haji dengan harga RM3000 skp (50 kali ganda harga beli). Wajarkah Kerajaan rugi sebanyak RM2940 skp. Inikah perniagaan stategik 1MDB?

22.Apakah saya pernah buat perkara-perkara seperti ini? Buktikan. Jangan tuduh melulu.

23.Kononnya ekonomi negara tidak teruk.

24.Hakikatnya nilai Ringgit dan harga saham jatuh dengan teruk. Kos sara hidup meningkat dengan GST, subsidi minyak diturunkan, tol dan tambang dinaikkan dll.

25.Pendapatan dinaikkan tetapi daya beli turun kerana nilai Ringgit jatuh. Pengangguran bertambah, termasuk dikalangan lulusan universiti. Perniagaan dan industry menghadapi masalah yang tidak dapat diatasi.

26.Apakah saya yang merosakkan imej negara?

27.Akhbar dunia telah melaporkan berkenaan Jho Low dan persahabatannya dengan Najib, cara hidupnya dan pembelian rumah mewah, pembiayaan filem Wolf of Wall Street bersama anak tiri Najib jauh lebih awal dari sebutan 1MDB oleh saya. Semua ini yang memburukkan imej negara. Ia menjadi lebih buruk kerana laporan tentang pelaburan 1MDB, dan kemudian wang yang terdapat dalam akaun peribadi Najib sebanyak RM 2.6 billion.

28.Jika ada sesiapa yang merosakkan imej Negara, ia adalah Dato Sri Najib sendiri. Sebelum ini imej Negara amat baik.

29.Jika apa yang dituduh Najib lakukan fitnah, Najib harus membuktikan semuanya tidak benar. Bahkan Najib perlu saman malu akhbar-akhbar yang melapor. Walaupun kononnya tindakan akan diambil, tetapi tidak ada apa-apa tindakan selain dari menakutkan sesiapa yang membuat teguran atau melapor kepada polis dengan disoal siasat oleh polis, dimasuk dalam tahanan dan dihadapkan kepada mahkamah. Tidak pernah terjadi dimana-mana bahawa orang yang melapor jenayah kepada polis dituduh mensabotaj demokrasi atau menguling Kerajaan. Juga peguam pihak yang mengadu disoal oleh polis dan dimasuk dalam tahanan.

30.Orang kampung mungkin tidak kisah. Sebabnya mungkin kerana akhbar tidak dibenar melapor. Tetapi hanya kerana orang kampung tidak ambil kisah, maka perbuatannya curang dan jenayah masih tidak boleh dihalalkan

Sebar luaskan pd rakyat...

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat