Jaguh bina badan negara Bujang Taha, 77, meninggal dunia pada pukul 10.47 malam ini di Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana komplikasi kanser mulut, kanser paru-paru serta asma.
Menurut menantu perempuan beliau, Suzana Ibrahim, Allahyarham yang mendapatkan rawatan di HUS sejak seminggu lalu akibat asma, meninggal di sisi anak dan cucunya.
"Esok, bekas jaguh bina badan Datuk Malek Noor sudah beritahu hendak datang tengok bapa, tapi apakan daya bapa pergi dulu," katanya kepada Bernama di HUS.
Pada kemuncak kariernya, Bujang memenangi gelaran Mr Asia sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1980, 1982, 1983 dan 1986 selain memenangi dua pingat emas pada Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1977 dan di Jakarta pada 1979.
Beliau pernah bertanding Mr Universe di Belgium pada 1982.