TERIMA KASIH


counters

MTMR

Friday, January 15, 2016

Dua anggota tentera tembak penyeludup di bebaskan.

GENTING HIGHLANDS - Dua anggota tentera yang ditahan polis berhubung insiden tembak seorang suspek yang dipercayai terbabit dengan kes penyeludupan di Pasir Mas, Kelantan pada 7 Januari lepas, dibebaskan hari ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zin berkata, dua anggota berkenaan sebelum ini ditahan hanya untuk membantu siasatan polis.

"Hari ini, kedua-dua mereka telah dibebaskan di bawah jaminan polis," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Program Hala Tuju Kementerian Pertahanan 2016 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam kejadian 7 Januari lepas, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an maut selepas terkena tembakan anggota tentera yang bertugas di sebuah pos kawalan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Anggota tentera itu melepaskan tembakan setelah van yang membawa lelaki itu, tidak berhenti di pos kawalan untuk pemeriksaan.

Tembakan itu dikatakan terkena lelaki itu yang duduk di kerusi penumpang hadapan.

Zulkifeli berkata, anggotanya bertindak melepaskan tembakan dalam kejadian itu semata-mata sebagai langkah pencegahan.

"Saya melihat perkara ini sebagai satu insiden yang tidak boleh dielak. Kejadian adalah di mana sebuah kenderaan cuba merempuh sekatan di kawasan operasi berdekatan dengan sempadan antarabangsa. Kalau rempuh sekatan maka sudah tentu ada niat yang tidak baik," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini banyak kes dilaporkan berlaku di sempadan negara termasuk di Kelantan.

"Apa jadi kalau kenderaan itu membawa dadah, senjata api, pendatang haram, pengganas dan lain-lain. Tindakan untuk (tembak) diambil dalam waktu singkat selepas kenderaan itu merempuh sekatan," katanya.

Katanya pucuk kepimpinan ATM akan membela nasib setiap anggota yang menjalankan tugas dengan betul. - Bernama

China mencetuskan situasi tegang di kawasan maritim.

Walaupun Fiery Cross Reef terletak di luar kawasan maritim Malaysia di Laut China Selatan, Kuala Lumpur tetap berpendirian penerbangan ujian dan pendaratan pesawat China di situ telah mencetuskan situasi yang meningkatkan ketegangan di kawa­san maritim tersebut.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, provokasi China itu menyebabkan usaha-usaha untuk menyelesaikan tuntutan bertindih di antara Vietnam, Filipina dan China menjadi semakin sukar ke­rana ‘kepercayaan dan keyakinan’ yang semakin menipis dalam kala­ngan mereka.

Dalam hal ini, kata beliau, Wisma Putra maklum laporan media serantau dan antarabangsa berhubung perkembangan semasa di Laut China Selatan termasuklah penerba­ngan ujian dan pendaratan pesawat awam oleh China di Fiery Cross Reef pada 2 dan 6 Januari lalu.

“Pada ketika ini amat penting untuk semua pihak berpegang kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (United Nations - Convention on the Law of the Sea 1982 – UNCLOS 1982) serta prinsip dan semangat Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea).

“Semua pihak juga mesti berusaha untuk meningkatkan persefa­haman yang boleh mengelakkan se­barang aktiviti yang boleh me­ningkatkan ketegangan.

“Pada masa sama, semua pihak perlu terus komited dalam mereali­sasikan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (Code of Conduct in the South China Sea),” kata beliau kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Pegawai Kementerian Luar China hujung minggu lalu mengesahkan satu penerbangan ujian oleh pesawat awam telah mendarat di pulau buatan di Kepulauan Spratly menggunakan landasan di pulau itu buat pertama kali.

Landasan yang dibina di Terumbu Fiery Cross itu adalah sepanjang 3,000 meter dan merupakan satu daripada tiga landasan di pulau buatan itu yang dibina daripada gabu­ngan tujuh terumbu di Kepulauan Spratly.

Berikutan itu, Vietnam membuat bantahan rasmi yang disusuli Filipina, ditambah pula landasan berkenaan berkemampuan membolehkan pendaratan pesawat pengebom dan pesawat pengangkut, selain jet pejuang.

Di Washington, jurucakap Ja­ba­tan Negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby berkata, pendaratan pesawat China itu meningkatkan kete­gangan dan mengancam kestabilan di rantau berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Dewan Senat AS, Senator John McCain turut mengkritik pentadbiran Presiden Barack Obama kerana menangguhkan rondaan ‘laluan kebebasan’ dalam jarak 12 batu nautika dari pulau buatan terbabit.

China mula membina pulau tersebut sejak tahun lalu dan pendaratan pesawat itu bukan perkara mengejutkan. SUMBER: Utusan

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat