Isu Sultan Johor: Jangan komen kalau jahil-Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam
Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam meminta mereka yang kurang arif mengenai undang-undang negeri dan institusi beraja menghentikan komen kerana ia akan menimbulkan kontroversi.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berhak menentukan Rang Undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ).
Menurut Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, kuasa berkenaan diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (UUTKJ) 1895.
“Apabila ia merujuk kepada negeri Johor pula, tindakan Sultan Ibrahim mengikut peruntukan UUTKJ. Sebagai Ketua Negeri Johor, baginda mempunyai kuasa mutlak untuk menasihati, melantik dan menentukan lembaga pengarah kerajaan Johor. Sultan juga ada kuasa melantik pengurusan tanah dan memberi pandangan bukan mentabdir, kerana tugas itu dilakukan menteri besar bukannya Sultan,” katanya kepada The Rakyat Post.
Jelasnya, dengan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada baginda, Sultan Ibrahim mempunyai alasan untuk bertindak bagi melindungi kepentingan rakyat dan negeri.
Ramlah turut memaklumkan, dalam pentadbiran negeri, menteri besar boleh menasihati sultan, tetapi sultan sebagai pemerintah, berkuasa mutlak dalam menentukan apa juga rang undang-undang yang bakal digubal.
“Semua undang-undang yang ditubuhkan perlulah dirujuk kepada sultan terlebih dahulu, contohnya isu pemberian tanah hak milik kekal selama 999 tahun di negeri Perak, dilakukan tanpa pengetahuan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan tanpa menunggu keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) dan masalah ini tidak pernah berlaku dalam sejarah kita.
“Tanah terletak di bawah hak negeri, bukannya persekutuan, dan kini Sultan Ibrahim sedar, selepas Pulau Batu Puteh diberikan kepada Singapura. Itu salah siapa?” katanya.
Menurutnya, selaku pelindung rakyat, Sultan Ibrahim berhak mencampuri urusan pentadbiran negeri.
“Saya rasa bukan niat Sultan Ibrahim nak campur tangan dala
m urusan pentadbiran negeri, tetapi baginda nak mengawal harga perumahan, sekaligus membantu rakyat di negerinya berpeluang membeli rumah, kerana rata-rata rakyat Johor berpendapatan rendah dan tidak mampu membeli rumah,” katanya.
Jelasnya, sebagai Sultan Johor, baginda sendiri melihat tanah di negerinya dibeli rakyat Singapura dan menyebabkan rakyat tempatan terpinggir.
“Bila ada kuasa sultan, perkara itu boleh dilakukan. Sultan memang tidak mentadbir, tetapi baginda berkuasa untuk menentukan lembaga pengarah sebagai penyelaras negeri dan pelindung rakyat. Buat apa baginda nak mentadbir, kerana baginda merupakan ketua negeri Johor,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai komen pelbagai pihak berhubung isu berkenaan, Ramlah khuatir ia akan menimbulkan kontroversi.
“Kebanyakan tokoh politik, tokoh akademik, penganalisis perundangan, politikus hinggalah negarawan, tidak mempunyai kepakaran untuk menyentuh isu ini, kerana walaupun mereka pakar dalam bidang masing-masing, mereka bukanlah pakar dalam bidang Perlembagaan Negeri.
“Sultan memerintah mengikut peruntukan perlembagaan negeri masing-masing, tetapi kenapa isu ini masih lagi timbul? Apakah akta yang ingin diusulkan Isnin hadapan dalam sidang DUN bertentangan dengan akta Persekutuan dan Negeri? Saya rasa ia tidak bertentangan sama sekali.
“Apa yang Sultan Ibrahim cuba lakukan adalah untuk memberi penjelasan lebih tepat dalam pelantikan lembaga pengarah dan LPHJ bukanlah pejabat tanah, tetapi lembaga ini berada di atas pejabat tanah bagi memantau Majlis Mesyuarat Negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Ramlah menasihati orang Melayu di Johor supaya tidak bergaduh dengan sultan sendiri, kerana akibatnya orang lain yang bakal bertepuk tangan.
Sebenarnya MTMR perhati tidak ada perselisihan pun antara rakyat Johor dan Sultan. Hanya perlaksanaan Pemaju perumahan yang ingkar terhadap kepentingan rakyat Johor. Tindakkan tegas termasuk menyenaraikan hitam kepada pemaju yang gagal mengikut syarat yang di tetapkan.