TERIMA KASIH


counters

MTMR

Tuesday, July 26, 2016

MO1: Perdana Menteri kena buat pengesahan secara jujur dan terbuka?

Dalam waktu yang terdekat ini, di sebalik ada yang masih tertanya-tanya dan ada juga yang sudah membuat laporan polis, tugas utama Najib Razak ialah membuat pengesahan secara terbuka, jujur serta ikhlas mengenai siapakah Malaysian Official 1 yang sebenarnya.

Biar pun Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan sebahagian besar yang lain tanpa ragu-rayu menujukan gelaran itu kepada Najib, tetapi tidak ada sesiapa yang mengesahkannya setakat ini.

Jika Malaysian Official 1 itu adalah dirinya, Najib sebagai Pahlawan Bugis yang selalu membanggakan dirinya sebagai "gentleman", beliau haruslah berani mengakuinya secara terbuka.

Kalau bukan, berterus-teranglah juga dengan segala hujah dan silat kuntau yang ada untuk menafikan bahawa Malaysian Official 1 itu adalah dirinya.

Tetapi sehingga ini Najib masih lagi diam. Rosmah Mansor, Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin UMNO juga diam. Malah "blogger serta facebooker 900" juga diam tidak berkata apa-apa.

Oleh itu, siapa Malaysian Official 1 itu terus dalam kekaburan minda rakyat Malaysia serta menjadikan semua orang terus berteka-teka.

Selain mengesahkan identiti Malaysian Official 1, tugas kedua Najib ialah mengesahkan sekali lagi, juga dengan secara terbuka, jujur dan ikhlas, mengenai wang berbilion-bilion ringgit yang pernah masuk ke dalam akaun bank peribadinya.

Najib sebelum ini mengatakan wang itu sebagai derma daripada Timur Tengah, manakala Peguam Negara menyebut wang tersebut diterima daripada salah seorang anak raja Arab.

Namun, dalam maklumat yang ada di tangan FBI dan Jabatan Kehakiman Kehakiman AS, mereka mengatakan wang yang secara keseluruhannya berjumlah AS$731 juta atau lebih RM3,000 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi dimAmbank milik Malaysian Official 1 adalah bersumberkan daripada wang 1MDB yang dilencongkan.

Tidak ada sama sekali nama anak raja Arab atau penderma Timur Tengah disebut dalam laporan FBI dan Jabatan Kehakiman itu.

Adakah Najib dan Malaysian Official 1 orang sama atau individu yang berlainan?

Siapakah sebetulnya yang menerima wang berbilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya?

Dua persoalan ini sedang memeningkan kepala rakyat Malaysia di mana khabarnya jualan pil panadol juga mendapat permintaan tinggi dan banyak habis di pasaran.

Jika Najib mengesahkan Malaysian Official 1 itu adalah dirinya, beliau harus menjelaskan sekali lagi bagaimana wang berbilion ringgit itu diperolehinya.

Adakah ianya daripada penderma Timur Tengah atau daripada 1MDB?

Najib tidak boleh berdalih atau kelentong lagi kerana kali ini maklumat mengenai wang itu bukan lagi sekadar ada dalam pengetahuan WSJ atau Sarawak Report saja, tetapi sudah ada dalam tangan FBI dan Jabatan Kehakiman AS.

Kiranya Najib menafikan Malaysian Official 1 itu adalah dirinya, beliau juga perlu menjelaskan siapakah orang lain yang menjadi Malaysian Official 1 itu?

Rakyat tentunya berhak tahu identinya sebenar Malaysian Official 1 itu kerana ia disebut dengan jelas telah menerima berbilion-bilion ringgit wang yang dicuri daripada 1MDB.

Rakyat juga ingin tahu bagaimana orang berkenaan membelanjakan wang sebanyak itu.

Dengan dapat menunjukkan bahawa Malaysian Official 1 itu bukan dirinya, Najib sekurang-kurangnya sudah terlepas daripada bebanan dikaitkan dengan wang 1MDB.

Beliau boleh terus mengatakan wang yang diterimanya itu adalah daripada penderma Timur Tengah atau anak raja Arab. Lebih menimbulkan keyakinan jika Najib juga dapat berterus-terang memperkenalkan nama penderma tersebut kepada umum.

Inilah dua tugas utama Najib dalam waktu terdekat ini, sekurang-kurangnya sebelum fasa saman sivil Jabatan Kehakiman AS bertukar menjadi saman jenayah.

Kedaulatan negara bukan urusan DOJ!!! 1MDB menipulasi kedaulatan undang-undang negara mereka atas sebab pengubalan wang haram?

Membela kedaulatan negara atau Najib?

ULASAN l Pada bulan Syawal di mana kita menyambut kemenangan berpuasa sebulan baru-baru ini, saya memohon pemimpin pemimpin politik supaya jangan menganggap rakyat Malaysia ini tidak celik maklumat dan kurang cerdik.

Isu kontroversi 1MDB telah melihat seorang bekas menteri kabinet, seorang menteri besar dan seorang ketua parti pembangkang mengeluarkan kenyataan yang sangat sangat mengelirukan dan tidak tepat.

Mereka menyatakan penyiasatan kes 1MDB oleh kerajaan asing adalah campur tangan kuasa luar untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia. Marilah kita merenung secara rasional situasi sebenarnya.

Kepada bekas menteri abinet itu, saya ingin tekankan di sini apabila kes NFL yang melibatkan pemimpin tinggi dan pinjaman beratus juta yang tidak digunakan untuk penternakan lembu, kerajaan Amerika tidak menyentuh langsung isu tersebut kerana tiada kaitan dengan mereka.

Kerajaan Singapura terpaksa memberi kerjasama siasatan kerana sebahagian dari wang tersebut telah dilaburkan di Singapura. Kes ini dalam proses perbicaraan. Tidak timbul kerajaan Singapura nak jatuhkan mana mana pemimpin.

Dalam kes 1MDB, ia melibatkan berbillion billion ringgit wang rakyat yang di bawa keluar dari Malaysia ke Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, kepulauan Caymen dan juga Hong Kong dengan cara haram yang melibatkan penggubalan wang secara haram (money laundering act).

Pada tahun 2015, Malaysia sendiri telah membawa pindaan rang undang-undang penggubalan wang haram di Parlimen untuk memperketatkan undang-undang tersebut. Kita sendiri mengakui penggubalan wang haram adalah salah.

Negara-negara lain juga mempunyai undang undang mereka tentang aktiviti penggubalan wang haram.

Apabila 1MDB telah membawa wang dan melabur secara haram di Amerika, Singapura dan Switzerland mereka terpaksa menyiasat kes kes tersebut kerana menjaga reputasi dan nama baik institusi kewangan mereka sendiri.

Kalau 1MDB hanya mengedar atau melabur secara haram di dalam Malaysia sahaja, tiada sebab atau kuasa mereka hendak menyiasat kes dalam Malaysia.

Tetapi isu dan masalahnya, 1MDB menjalankan aktiviti secara haram di Amerika, Singapura dan Switzerland,dan kerajaan mereka wajib menyiasat kesalahan di bumi mereka.

Tiada apa apa konspirasi di sini yang mereka melanggar kedaulatan undang undang kita. 1MDB yang melanggar undang undang di negara mereka. Ini kita perlu faham dan jangan kelirukan rakyat.

Singapura terpaksa menutup Bank BSI mereka sendiri, menangkap pengurus-pengurus mereka dan merampas harta 1MDB kerana kesalahan isu berkaitan 1 MDB di Singapura.

Bekalan air

Tiada sebab Singapura hendak berkonspirasi terhadap Malaysia apabila mereka bergantung begitu besar terhdap bekalan air kita, pekerja kita dan sedang berunding membina keretapi laju yang akan banyak menguntungkan Singapura.

Ini isu melanggar undang-undang Singapura.

Sebuah syarikat dari Abu Dhabi pula telah menuntut hutang 1MDB melalui Mahkamah Timbangtara Antarabangsa kerana 1MDB gagal membayar hutang mereka.

Adakah kita hendak tuduh Abu Dhabi, sebuah negara Islam, juga terlibat dalam konspirasi terhadap Malaysia.

Isunya ialah hutang 1MDB yang di ketuai oleh Datuk Seri Najib Razak, bukan negara Malaysia yang hendak dihukum.

Switzerland terkenal sebagai negara berkecuali yang tidak pernah terlibat bermain politk antarabangsa dalam sejarahnya, menyiasat 1 MDB kerana ingin menjaga nama baiknya sebagai pusat perbankan dunia terbaik kerana aktiviti mencurigakan 1MDB di Swizerland

Kembali kepada Amerika pula. Barrack Obama adalah rakan golf akrab Najib yang telah dua kali melawat Malaysia dalam setahun.

Di Parlimen kita telah diberitahu olih seorang bekas menteri pertahanan Malaysia yang Amerika sedang berunding dengan Malaysia untuk membina perlabuhan tentera di Sabah menghadapi ancaman negara China.

Dengan kes mahkamah antarabangsa oleh Filipina baru-baru ini terhadap China tentang kedaulatan Lautan Cina Selatan, yang menimbulkan ketegangan serantau ASEAN, mengapa Amerika hendak berbalah politik dengan Malaysia?

Topik panas

Ini semua tidak masuk akal melainkan ianya semata-mata isu perundangan kewangan antarabangsa berkaitan penggubalan wang haram yang amat serius.

Marilah kita menggunakan ilmu pengetahuan melalui penyelidikan dan bukan emosi sebelum membuat anggapan tidak munasabah yang mengelirukan rakyat dan mengalih pandangan dari isu sebenarnya.

Negara kita menghadapi masalah kepercayaan dan kredibiliti yang amat serius sekarang.

Saya baru pulang dari luar negara dan isu 1MDB dan Najib adalah topik panas utama di semua negara luar. Rakyat-rakyat Malaysia di luar negara dihujani pelbagai soalan dan cemuhan kerana isu 1MDB.

Yang amat melucukan adalah kenyataan dari bekas menteri wanita tadi bahawa campur tangan kuasa asing akan menyebabkan Malaysia menjadi seperti Iraq - yang dijajah!

Soalan kami berapa titik sahajalah rezab minyak Malaysia kalau dibanding dengan sumber Iraq, Arab Saudi atau Amerika sendiri?

Lagi pun bukankah perdana menteri Malaysia di antara kalangan kroni-kroni Amerika?

Pada tahun ini saya sendiri telah menyoal di Parlimen mengapa Malaysia menyertai latihan tentera - “ Northern Thunder” di Arab Saudi yang disertai oleh semua kroni Amerika dari negara Arab dan Afrika sahaja?

Kerana ingin mengambil hati Amerika, Malaysia sanggup "menyelit" dan merupakan negara tunggal yang bukan dari Arab dan Afrika dalam latihan tersebut.

Najib sendiri telah melawat tentera Malaysia semasa latihan tersebut. Patutlah Obama sayang pada Najib dan melawat Malaysia dua kali dalam setahun.

Presiden Amerika terakhir melawat Malaysia sebelum itu adalah Presiden Johnson pada tahun 1960an - iaitu hampir 50 tahun dahulu!

Apabila kita mendengar seorang bekas menteri kanan kerajaan, seorang ketua parti pembangkang, dan terakhir, seorang menteri besar Umno menyatakan isu 1MDB ini adalah usaha kuasa asing hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia, cuba kita fikirkan dari mana datangnya logik analisis mereka!

Emosi

Saya mohon mereka cuba asaskan teori mereka dari fakta-fakta yang nyata serta kukuh dan bukan dari emosi!

Kami boleh memahami kenapa bekas menteri kanan dan menteri besar membuat kenyataan demikian kerana ia berasakan emosi dan sentimen kepartian. Tetapi susah kita hendak memahami kenapa seorang ketua parti pembangkang membuat kenyataan yang sama!

Cuba kita renungkan, mengapa tiada bantahan dan tuduhan mencabul kedaulatan atau campur tangan kuasa asing – Amerika dibuat oleh mereka ini semasa perkara-perkara tersebut di bawah berlaku:-

Latihan beribu-ribu tentera Amerika di Terengganu beberapa tahun lalu.
Penggunaan pelabuhan Pelabuhan Kelang oleh Kapal Perang Amerika.

Cadangan pembinaan pelabuhan tentera Amerika di Sabah seperti pendedahan bekas Timbalan Menteri Pertahanan.
Perjanjian TPPA yang akan menggunakan undang-undang negara asing - Amerika di Malaysia.

Adakah bantahan mereka ini untuk membela kedaulatan Malaysia atau untuk menyambung hayat pemerintahan Najib supaya terus berkuasa dan meneruskan salah guna kuasa dan memperkayakan golongan-golongan tertentu?

Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

DOJ dedahkan Penyangak 1MDB?

1MDB: Adakah Ianya Campurtangan Amerika atau Kebodohon Penyangak? Mari Kita Fikirkan

Nota: Kongsikanlah apa yang ditulis dengan rakan-rakan. Janganlah mudah menerima hujah bahawa ianya campurtangan asing tanpa memahami konteks tindakan Amerika tersebut.

1. Secara peribadi, saya amat tidak bersetuju dengan dasar campurtangan Amerika Syarikat di negara-negara lain didunia ini. Ianya sekadar menyerlahkan sikap mereka yang cuba menjadi Sherif dunia.

2. Apatah lagi sebarang campurtangan di tanahair tercinta, Malaysia.

3. Selepas Jabatan Keadilan Amerika mengeluarkan tuntutan terhadap aset-aset yang dibeli menggunakan wang 1MDB, jentera propaganda BN memainkan sentiment  bahawa tindakan tersebut adalah satu campurtangan Amerika dalam urusan Malaysia.

4. Saya tersentak melihat kedangkalan jentera propaganda ini.

5. Tindakan Jabatan Keadilan Amerika tersebut bukanlah satu campurtangan dalam urusan Malaysia. Sebaliknya ianya adalah usaha untuk mempertahankan tadbir urus sistem kewangan mereka.

6. Dari tuntutan Jabatan Keadilan Amerika tersebut jelas bahawa wang yang disalur keluar dari 1MDB telah melalui sistem kewangan Amerika Syarikat. Wang ini digunakan untuk membeli pelbagai jenis aset termasuklah hartanah dan kapal terbang peribadi.

7. Perlu diingat, wang tersebut bukannya dibawa menggunakan kapal, lori atau kapal selam. Sebaliknya ia telah disalurkan melalui sistem perbankan dan kewangan Amerika.

8. Transaksi melalui sistem perbankan adalah transaksi yang paling mudah dikesan. Ianya akan meninggalkan jejak audit yang boleh diikuti dari mula wang tersebut melalui sistem perbankan sehingga ianya digunakan.

9. Dalam kes aset-aset yang disebut oleh Jabatan Keadilan Amerika, tentunya pembelian aset-aset ini tidak dibuat dengan menggunakan wang tunai yang dibawa dengan lori atau kapal. Sebaliknya ianya menggunakan pelbagai instrumen kewangan seperti cek atau kad kredit.

10. Ianya memudahkan penyiasatan oleh pelbagai pihak, termasuklah agensi-agensi kerajaan Amerika. Mereka tidak perlu merujuk kepada 1MDB untuk mengetahui pergerakan wang didalam sistem kewangan Amerika. Ini kerana, apabila wang tersebut disalur keluar dari akaun 1MDB kepada pihak lain (yang bukan entiti 1MDB), pergerakan maka wang tersebut boleh dijejaki dengan mudah walaupun tanpa bantuan 1MDB.

11. Sejarah telah membuktikan bahawa Amerika Syarikat sentiasa berusaha keras untuk mempertahankan ketelusan dan tadbir urus sistem kewangan dan korporat mereka.

12. Didalam salah satu kes penyelewengan korporat terbesar di Amerika iaitu skandal Enron yang terdedah pada tahun 2001, CEOnya Jeffry Skilling telah didapati bersalah dan dipenjarakan selama 24 tahun (sebelum dikurangkan kepada 14 tahun).

13. Selepas skandal Enron, kerajaan Amerika Syarikat telah melakukan perubahan besar-besaran kepada sistem kewangan dan korporat mereka.

14. Satu undang-undang baru, Sarbanes-Oxley Act diperkenalkan pada tahun 2002. Akta ini adalah antara perubahan terbesar yang pernah dibuat kepada sistem tadbir urus korporat dan kewangan Amerika Syarikat.

15.  Pada tahun 2008 pula, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif NASDAQ yang juga pengasas Madoff Investment Securities telah ditangkap kerana didapati bersalah menganjurkan skim cepat kaya terbesar di Amerika. Beliau telah dihukum penjara untuk 150 tahun! Perlu diketahui bahawa Madoff juga seorang Yahudi.

16. Selepas krisis kewangan Amerika yang bermula pada tahun 2008, kerajaan Amerika memperkenalkan Dodd Frank Act pada 2010. Ianya merupakan perubahan paling besar kepada undang-undang dalam sistem kewangan Amerika sejak Great Depression.

17. Contoh-contoh diatas menunjukkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat amat mengambil berat akan ketelusan dan tadbir urus sistem keewangan mereka.

18. Jadi, apabila wang milik 1MDB di salurkan melalui sistem kewangan mereka dan digunakan untuk membeli pelbagai aset peribadi pihak tertentu, maka tentunya pihak berkuasa Amerika akan mengambil tindakan terhadap “kleptocracy” ini.

19. Oleh itu, hujah bahawa tidakan Amerika berkaitan dengan 1MDB adalah satu campurtangan asing dalam ehwal dalaman Malaysia adalah satu hujah yang dangkal.

20. Samalah juga tindakan kita mengambil tindakan terhadap rakyat asing yang terlibat dengan jenayah di Malaysia. Ianya tidak bermakna kita campurtangan dalam urusan dalaman negara asal penjenayah tersebut. Kita bertindak kerana mempertahankan keamanan dan kententeraman negara.

21. Jadi, fikirkanlah. Apakah tindakan Amerika tersebut adalah satu campurtangan asing atau satu tindakan yang diambil kerana kebodohan penyagak yang menggunakan sistem kewangan Amerika dengan harapan tiada pihak yang akan dapat mengesannya!

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat