TERIMA KASIH


counters

MTMR

Tuesday, March 22, 2016

Musa mengakui Tun M melakukan sesuatu yang bagus buat negara???

Musa mengakui Dr Mahathir mutakhir ini menyuarakan isu-isu yang relevan dengan orang ramai.

“Beliau bersuara tepat pada masanya. Beliau menjadi hero popular dalam sekelip mata kerana menjuarai isu popular yang menyentuh hati nurani begitu ramai orang.

“Daripada segi ini, beliau melakukan sesuatu yang bagus buat negara tetapi ia juga selari dengan personalitinya,” kata Musa di Kuala Lumpur sewaktu diminta mengulas kritikan demi kritikan yang dilancarkan bekas bosnya itu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Membuka rahsia lama, menurut Musa beliau percaya tindakan Dr Mahathir itu dilakukan mengambil pedoman dari kitab strategi klasik perang Cina, “Art of War” karya Sun Tzu.

Art of war

Art of War adalah manual taktik perang berusia lebih 2,000 tahun yang diamalkan bukan sahaja dalam peperangan tetapi juga dalam perniagaan dan pembangunan diri.

“Dr Mahathir ini bersaing untuk menang. Guru Dr Mahathir adalah Sun Tzu (menerusi buku) Art of War.

“Semua kami dalam Kabinet, dalam mesyuarat pertama kami itu antara buku pertama yang diberikannya.

“Setiap tindakan yang dilaksanakannya jika anda perhatikan adalah berdasarkan buku itu,” kata Musa dipercayai merujuk kepada strategi kelapan dalam buku itu – yang merujuk kepada kebolehan mengubah tindak balas kepada keadaan yang sentiasa berubah.

Musa menjadi timbalan perdana menteri kepada Dr Mahathir dari 1981 sehingga 1986.

Beliau meletak jawatan pada 1986 kerana “perbezaan yang tidak dapat diselaraskan” dengan Dr Mahathir.

Musa kemudian bersara daripada politik selepas tewas kepada Tun Ghafar Baba yang menjadi regu Dr Mahathir dalam “Team A” pada pemilihan Umno tahun 1987.

Musa pada masa itu menjadi regu Tengku Razaleigh Hamzah dalam “Team B” dan cuba mempertahankan jawatan timbalan presiden Umno selepas meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

Kritik kerajaan seumur hidup

Bercakap lanjut, Musa menghuraikan dengan lebih lanjut “personaliti” Dr Mahathir berdasarkan penilaiannya.

“Dr Mahathir adalah pengkritik seumur hidup mana-mana kerajaan – ia tidak terhad kepada kerajaan yang menurut acuan beliau sahaja.

“(Oleh kerana) saya rasa dia ada sense of humor yang baik, saya anggap Dr Mahathir ini ‘Mr Terminator’ politik.

“Dia tamatkan begitu banyak perdana menteri dalam negara kita dengan jayanya, seperti dalam filem Terminator,” katanya sambil ketawa kecil.

Menurut Musa lagi, tekanan yang sedang diberikan Dr Mahathir kepada Najib adalah percubaannya untuk “menamatkan” perdana menteri ketiga selepas Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Abdullah Badawi.

“Ini adalah perdana menteri ketiga yang disasarkannya dan saya rasa beliau akan berjaya walau apa cara sekali pun,” katanya.

Abdul Rahman terpaksa meletak jawatan sebagai presiden Umno pada Jun 1971.

Peletakan jawatannya pada masa itu dikatakan salah satunya berpunca daripada tekanan Dr Mahathir dan Musa sendiri yang dianggap “Kaum Muda” dalam Umno pada masa itu.

Abdullah pula memberi laluan kepada Najib pada Perhimpunan Agung Umno 2009 selepas hilang majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Pentadbiran Abdullah pada masa itu turut dikritik teruk Dr Mahathir yang sebelum itu melantiknya sebagai penggantinya pada tahun 2003.

Najib kekal sampai PRU14

Bercakap lanjut, Musa berkata beliau pernah berkongsi pandangannya dengan Najib tentang cara menangani Dr Mahathir yang kurang senang dengannya sejak mula menjadi perdana menteri pada 2009.

“Saya dah pesan pada Najib berulang kali yang dia akan bermasalah dengan Dr Mahathir kerana dia (Dr Mahathir) sudah kurang senang dengan banyak perkara.

“Satu-satunya cara buat Najib dalam mencegah perkara ini adalah melaksanakan perkara menurut caranya sendiri, tegas dan tekal, rasional dalam kerajaan.

“Malangnya beliau nampaknya tidak cenderung ke arah itu,” katanya.

Justeru, Musa meramalkan Najib akan hanya bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 apabila mengambil kira kritikan berterusan Dr Mahathir terhadapnya.

“Najib akan kekal sebagai presiden parti paling lama sehingga pilihan raya umum akan datang (kira-kira) 2 tahun lagi,” katanya.

YANG TERBUANG DAN PETUALANG.

YANG TERBUANG DAN PETUALANG

Tan Sri Muhyiddin Yasin (TSMY) telah membaca sajak Khairul Anwar
" Aku ini binatang jalang,
dari kumpulan terbuang",
sebagai refleksi diri beliau dan DSMM (Dato Seri Mukhriz Mahathir) yang dibuang dari memegang kuasa eksekutif kerajaan.

TSMY dan DSMM yang terbuang dari UMNO,  dianggap tidak lagi penting untuk kesinambungan kuasa Datuk Sri Najib. Ironinya yang terbuang inilah yang kini bersusah payah memperjuangkan kelangsungan kuasa UMNO dan terus berani  menentang kemungkaran demi Alif, Ba, Ta walau dibuang,  dihalang dan diberi tekanan.

DSMM menceritakan tentang satu2nya panggilan telefon dari PM kepadanya yang dibuat pada tahun 2013 supaya dia menyediakan 300 ekar tanah di Kedah untuk projek tenaga solar 1MDB, satu  usahasama dengan  Obama!. Nilai tanah RM35 juta dan walaupun 1MDB baru membayar RM3.5 juta, tetapi projek tersebut bernilai  RM1 billion?? Adakah begitu mudah penilaian projek 1MDB dibuat sebagaimana modus operandi yang serupa seperti tanah TRX yang dibeli dari kerajaan dengan harga murah dan dijual berlipat ganda oleh 1MDB?

Selain itu, TSMY juga telah mendedahkan bahawa sesuatu yang menakjubkan dalam 1MDB apabila surat perlantikan salah seorang CEO 1MDB yang ditandatangani oleh PM sebagai Pengerusi Eksekutif telah diserahkan kepada CEO berkenaan oleh Jho Low!. Adakah 1MDB syarikat pelaburan kerajaan atau syarikat untuk orang2 tertentu sebagai satu "skim penipuan"?? 

Ketika Timbalan Presiden UMNO yang juga ketika itu Timbalan Perdana Menteri sendiri mendedahkan hal2 urusniaga pelik 1MDB yang tidak diketahui orangramai, adalah pelik juga apabila ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia sendiri menolak kebenaran ini. Kes syarikat ini melibatkan wang rakyat secara langsung, rakyat menanggung cukai yang membebankan dan harta negara kini  tergadai sewenang-wenangnya. Adakah ini sebuah cerita penglipurlara tanah Melayu zaman moden? Apakah rakyat sanggup membiarkan sebuah syarikat merobek dan merombak harta-harta negara sewenang2nya?

Perlukah TSMY mendiamkan diri atau terus menikmati keistimewaan memegang jawatan TPM? Atau TSMY menggadai maruah dan prinsip perjuangan serta turut menerima dedak apabila dia juga ditawarkan pilihan sama ada menerima jawatan gabenor Pulau Pinang atau menjadi Pengerusi PNB?

DSMM juga pernah ditawarkan jawatan menteri kabinet agar melepaskan jawatan menteri besar Kedah.
Adakah pemimpin-pemimpin Malaysia bukan memegang jawatan berdasarkan merit tetapi demi menutup suatu kepincangan dan korupsi?

TSMY kecewa dengan keadaan negara ketika ini yang dilapurkan oleh media-media antarabangsa sebagai negara kedua paling korup di dunia yang dikepalai oleh perdana menteri paling korup di dunia!.

TSMY bercakap dari hati naluri, kecewa bukan kerana kehilangan jawatan tetapi kecewa kerana UMNO parti yang dicintainya bukan lagi seperti dahulu. Sebaliknya UMNO menjadi alat untuk seseorang terus berkuasa.

Sekiranya  Tun Dr Mahathir negarawan ulung yang cuba menyelamatkan negara, diperlekehkan oleh parti yang dianggotainya sejak berdekad dahulu, bagaimanakah UMNO dibawah Najib boleh dipercayai dan mampu mendapat sokongan rakyat Malaysia?

Siapa binatang jalang?
Siapa sebenarnya petualang negara?

NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA

#beranikeranabenar
#selamatkanmalaysia

PANEL PEMIKIR
GKCM Pusat

TSMY ditawarkan Gabenor??? Tetap tolak kerana soal maruah!!!

Kota Tinggi : Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi berkata beliau mendapat dua tawaran ekoran pemecatan daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri.

Berucap di Kota Tinggi di Johor malam ini Muhyiddin berkata beliau ditawarkan menjadi Gabenor Pulau Pinang serta Pengerusi Permodanan Nasional Berhad (PNB) oleh pihak yang tidak dinamakannya.

Bagaimanapun Muhyiddin dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak.

Kata Muhyiddin kadang-kadang beliau berasa "agak bodoh" kerana tidak menerima tawaran berkenaan.

"(Sepatutnya) ambik la. Ada (yang) tanya kenapa saya tak ambil (tawaran itu), kemudian ambik RM1 bilion, cukuplah," katanya.

Mengenai dua jawatan berkenaan Muhyiddin berkata dia tidak kisah walaupun terlepas tawaran yang boleh dianggap 'lumayan' itu.

"Sebab itu saya tak ksah, tak apa. Dia sudah pecat saya, tapi (dia bagi) saya tawaran dua perkara. Satu, Gabenor Pulau Pinang. Saya tanya (dia) balik: What? Governor of Penang? Terbayang (di) depan saya (Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng) menghadap saya dan sembah, melutut.

"Kedua, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB)," katanya di depan kira-kira 1,500 hadirian.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada tawaran itu dibuat sebelum atau selepas Muhyiddin disingkirkan daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Menjelaskan keadaan itu Ahli Parlimen Pagoh berkenaan memberitahu tidak dapat menerima tawaran yang diberikan kerana ia membabitkan soal maruah.

"Kalau saya terima maknanya saya makan dedak (boleh dibeli). Rakyat akan berkata orang nombor satu memakan dedak ialah Muhyiddin.

"Saya tak boleh menggadaikan prinsip perjuangan saya hanya kerana ada tawaran jawatan walau setinggi mana sekali pun," katanya.

Bekas Menteri Besar Kedah ke Pagoh.

PAGOH, Isnin – Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Deklarasi Rakyat yang diilhamkan oleh bapanya akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja apabila jumlah tandatangan yang dikumpul mencapai sasaran.

Beliau berkata, setakat ini sambutan yang dterima daripada rakyat terhadap deklarasi itu amat memberangsangkan.

Deklarasi Rakyat diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mendapat sokongan pemimpin pembangkang bertujuan mendesak Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan Perdana Menteri, berikutan pelbagai skandal yang masih menjadi misteri.

Antara skandal yang masih menimbulkan tanda tanya walaupun Najib ‘diselamatkan’ oleh Peguam Negara ialah pelbagai isu yang melingkari syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad; SRC International dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Deklarasi Rakyat bukan bertujuan menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) atau UMNO, sebaliknya menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri.

Muhkriz yang turut menandatangani deklarasi itu berkata, rakyat sudah tiada pilihan dan mahukan Najib disingkirkan.

“Deklarasi itu akan dikemukakan kepada kerajaan sebagai reaksi kepada suara rakyat.

“Rakyat yang berada di belakang deklarasi itu sudah tiada pilihan dan mereka tidak mahu menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang media selepas menemui penduduk Muar, Segamat dan Tangkak di sini, hari ini.

Beliau berkata, rakyat tidak boleh menunggu dua tahun lagi dan meletakkan UMNO dalam risiko untuk kalah pada pilihan raya umum.

Monday, March 21, 2016

Terlalu besar untuk penyangak jalanan?

Tulisan terbaru Dato' A. Kadir Jasin di blognya, The Scribe A Kadir Jasin.

TERLALU BESAR UNTUK PENYANGAK JALANAN

"JANGAN ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat."

Kenyataan di atas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, dilaporkan secara meluas oleh media atas talian pada hari Sabtu 19 Mac.

Ia adalah petikan ucapan beliau di Himpunan Solidariti di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di Kuantan pada 19 Mac.

Perhimpunan politik di pangkalan tentera? Adakah ini disengajakan sebagai isyarat bahawa angkatan bersenjata kini di bawah “kuasa” beliau ekoran Akta Majlis Keselamatan Negara? Mohon ampun sekadar bertanya.

Mohd Najib kata, dia bukan penyangak – satu istilah yang keras dan hina. Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan penyangak sebagai pencuri atau penjahat.

Sepanjang ingatan saya, tiada siapa pun menuduh beliau perompak dan penjahat yang mencuri balak dan bauksit di Pahang.

Tapi ramai mendakwa dan mensyaki beliau terbabit dengan skandal 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan "derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Jadi apakah tujuan beliau apabila berkata “jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat”?

Bagi saya, ialah adalah mainan psikologi yang sengaja beliau dilakukan untuk sekali lagi mengaburi mata rakyat jelata, khususnya marhaen totok yang tidak faham isu-isu kompleks yang sedang dibincangkan.

Sama ada Mohd Najib penyangak atau tidak, saya serahkan kepada rakyat jelata dan kepada mahkamah pendapat umum (court of public opinion) membicarakannya. Saya hanya ingin menghalusi sama ada beliau "mencuri harta rakyat" atau tidak.

Mari kita halusi perkara berikut:

1. Kalau kita berpegang kepada hukum bahawa negara ini adalah milik semua warganegaranya maka apa saja harta benda yang bukan milik individu adalah harta kekayaan milik semua rakyat jelata.

2. Harta ini diamanahkan untuk ditadbir secara yang paling baik oleh rakyat jelata kepada kerajaan yang mereka pilih melalui proses pilihan raya.

3. Pada 3 April 2009 Mohd Najib mengambil alih mandat Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri. Pada 6 Mei 2013, melalui Pilihan Raya Umum, dia memperoleh mandat sendiri dengan hanya 48 peratus undi popular.

4. Apabila Mohd Najib yang berulang kali mengaku dirinya sebagai “perdana menteri untuk rakyat” menggunakan kuasa eksekutif yang diamanahkan oleh rakyat jelata untuk menjual atau memindahkan hak milik tanah TRX di Jalan Tun Razak dan Pangkalan TUDM Sungai Besi beliau sebenarnya menjual dan memindahkan hak milik tanah yang dipunyai secara kolektif oleh rakyat Malaysia.

5. Dalam kaitan inilah sesiapa saja yang faham undang-undang melihat penjualan dua bidang tanah ini dengan harga murah kepada 1MDB sebagai perbuatan khianat kerana telah menyebabkan rakyat kerugian potensi pendapatan (potential income) yang besar.

6. 1MDB menilai semula harta ini. Dalam sekelip mata nilainya naik berpuluh kali ganda. Dengan nilai yang tinggi itu 1MDB mencagarkannya untuk mendapatkan pinjaman. Dalam sekelip mata hutannya naik melepasi RM42 bilion.

7. Pada harga baru yang tinggi itu jugalah 1MDB menjual tanah TRX kepada Tabung Haji dan pihak-pihak lain dari dalam dan luar negara. Kalau Mohd sayangkan Tabung Haji, dia sepatutnya menjual tanah TRX itu awal-awal lagi kepada Tabung Haji pada harga kerajaan dan bukan harga pasaran. Tidak perlulah Tabung Haji beli atas tangan dengan harga yang mahal.

8. Logiknya 1MDB membuat keuntungan besar apabila tanah yang dibelinya pada harga rendah dijual dengan harga tinggi. Apabila 1MDB mendapat keuntungan, keuntungan itu juga menjadi hak semua rakyat jelata.

9. Malangnya, bukan sahaja rakyat jelata tidak dapat apa-apa, sebaliknya mereka dan anak cucu mereka memikul beban hutang berpuluh bilion ringgit kerana banyak hutang 1MDB dijamin oleh kerajaan.

10. Tanah yang dulu mereka miliki kini sudah dijual. Kalau dijual kepada Tabung Haji, walaupun pada harga yang tinggi, ia masih milik rakyat jelata. Tetapi lebih banyak tanah 1MDB dijual kepada orang asing.

11. Rakyat jelata yang menyimpan, mencarum atau melabur dalam Tabung Haji, KWSP, KWAP dan PNB juga menanggung risiko tambahan kerana agensi-agensi ini adalah antara yang memberi hutang kepada 1MDB.

12. Sebahagian tanah TRX telah dijual kepada pemodal Australia dan Indonesia manakala 60 peratus saham syarikat pemaju Bandar Malaysia (bekas Pangkalan TUDM) dimiliki oleh perkongsian di antara Cina Malaysia dan Cina negeri China.

13. Penjana elektrik bebas (IPP) yang 1MDB beli daripada pemilik tempatan dengan harga mahal dan dijual murah kepada syarikat negeri China sepatutnya menjadi hak milik negara dalam masa beberapa tahun lagi.

14. Menurut sumber industri tenaga, IPP tersebut akan menjadi hak milik negara selepas tempoh konsesi selama 20-25 tahun tamat dengan bayaran hanya antara RM10 dan RM100 sebuah.

Kesimpulannya, memang betul dakwaan Mohd Najib bahawa beliau bukan penyangak. Dalam penggunaan dan kefahaman harian, penyangak adalah penjahat atau bajingan jalanan biasa sahaja. Dalam loghat Utara kawar.

Apa yang sedang diperkatakan mengenai 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan “derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Mohd Najib adalah di luar kemampuan penyangak, bajingan dan kawar jalanan.

Kalau ia kegiatan “menyangak” biasa seperti mencuri motosikal kapcai atau kasut di masjid ia tentulah tidak disiasat dan akaun bersabit dengannya dibekukan di Singapura, Hong Kong, Switzerland, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Wallahuaklam.

Perdana Menteri Malaysia perlu berundur untuk memutihkan negara? Imej negara perlu di baik pulih!!!

Kemelut-kemelut yang berlaku satu persatu kelompangan dan ketirisan. Terdedah satu persatu.

Kami masih tidak nampak kelangsungan untuk DS Najib Razak meneruskan kemaraan UMNO/BN menjelang PRU 14.

Ada kebenaran dan asas yang boleh di percayai untuk Tun M minta DSNR meningalkan jawatan PM?

Perkara ini kena dilakukan dengan kadar segera jika mahu BN terus memerintah. Kepercayaan rakyat bukan ahli UMNO kelihatan jelas mahukan Perdana Menteri baru. Ada juga ahli UMNO mahu perkara yang sama?

Perkara ini jangan di pandang remeh dan enteng bagi menarik kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada pucuk pimpinan yang sedia ada.

Perpecahan kepada beberapa kelompok nampak semangkin menyukarkan menyatukan hati pengundi.

Najib berkata beliau bukanlah seorang pencuri harta rakyat seperti yang digambarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkannya?

KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertekad untuk terus berjuang mempertahankan kepimpinannya demi pembangunan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

Najib berkata beliau bukanlah seorang pencuri harta rakyat seperti yang digambarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkannya, yang disifatkannya sebagai sengaja dilakukan untuk memburukkan imej beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.

“Tuan-tuan dah kenal saya. Saya ini bukanlah (seperti) apa yang dikatakan oleh orang belah sana (yang ingin menjatuhkannya). Saya bukanlah macam itu. Saya telah jaga Pahang (dan negara) dengan sebaik-baiknya.

“Kalau saya nak rompak dah lama saya rompak hutan (balak) sini (Pahang). Saya tidak ambil seinci pun, sebatang pokok pun saya tidak ambil, saya tidak ambil lombong bauksit, saya tidak ambil apa-apa.

“Bila saya jadi perdana menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat,” katanya pada majlis Himpunan Solidariti di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di sini, Sabtu.

Himpunan itu diadakan bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Najib, dihadiri lebih 5,000 anggota dan pemimpin Umno dan Barisan Nasional daripada 14 Umno bahagian di negeri ini. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Najib yang juga Presiden Umno dan Anggota Parlimen Pekan sebelum itu tiba di Pangkalan TUDM, di sini kira-kira 9.30 pagi dengan menaiki pesawat khas dan disambut oleh Adnan serta pimpinan parti.

Perdana Menteri turut meminta rakyat di negara ini khasnya anggota parti supaya tidak memperdulikan kerjasama politik bekas pemimpin Umno dan pihak pembangkang kerana ia tidak mendatangkan manfaat berbanding langkah kerajaan selama ini yang telah banyak membuat kebajikan untuk rakyat.

“Kita (pemimpin kerajaan) buat kerja, kita jaga ekonomi, kita nak orang muda ada pekerjaan, memperkembangkan ekonomi, kita nak jaga orang kampung, kita nak bangunkan kawasan bandar, pinggir bandar, pesisiran pantai, gunung, semua kita kena jaga,” katanya.

Dalam masa yang sama Najib turut menempelak tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melancarkan deklarasi bersama-sama pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinannya.

Beliau berkata tindakan itu jelas bertentangan prinsip yang dipegang oleh Dr Mahathir selama 22 tahun menerajui kepimpinan negara apabila cuba menjatuhkan kerajaan dan menukar perdana menteri dipilih rakyat dengan cara tidak demokrasi.

“22 tahun kutuk parti DAP… kata Kit Siang (veteran DAP Lim Kit Siang) rasis…kata DAP parti cauvinis, menidakkan hak orang Melayu, menekan Islam, kita dah dengar ucapan-ucapan dia.

“Ini bukan saya kata, ini Dr Mahathir sendiri kata selama 22 tahun … hari ini dia duduk sebelah siapa, dia ‘sign’ (tandatangan) deklarasi rakyat dengan siapa,” soalnya.

Najib berkata Dr Mahathir, beberapa bekas pemimpin Umno dan pembangkang tidak wajar menjatuhkan kerajaan dengan cara demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan seperti yang dirancang oleh pihak berkenaan sebelum ini.

“Dulu (Dr Mahathir) kata demonstrasi jalanan salah di sisi undang-undang. Dulu kata salah dari segi prinsip demokrasi. Tapi sekarang ini lain pula,” katanya.

Pada 4 Mac lepas, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan dan Kit Siang adalah antara lebih 50 individu menandatangani deklarasi menyokong penyingkiran Najib, diketuai Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Najib mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pahang yang hadir pada Himpunan Solidariti hari ini untuk menyatakan sokongan terhadap kepimpinannya.

Perdana Menteri berkata beliau berasa gembira dengan keadaan itu kerana ia menggambarkan beliau tidak keseorangan dalam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran dalam memimpin negara.

“Sebagai anak watan Pahang hati ini terubat hari ini. Walaupun diserang daripada mana-mana pun, tetapi kalau ‘askar’ saya ini seperti hari ini, saya tidak keseorangan, I’m not alone,” katanya.– Bernama

Silat Melayu

DOA DOHA

WALI SONGO

Video Penjelasan Isu cincin RM 24 Juta.

WAJIB TONTON

Top Blogges

B. 10 Artikal Menarik Minggu ini.

C. Senarai Blog Wajib Baca Rakan Malaysia Transformasi Minda Rakyat