Zakharov merupakan warganegara Rusia yang fasih berbahasa Melayu. Lelaki itu yang kini menginjak usia 84 tahun, merupakan tenaga pengajar Bahasa Melayu/Indonesia di Institut Hubungan Antarabangsa, Rusia. Anak bongsu daripada dua adik-beradik itu dilahirkan pada 14 Julai 1930 di Ukraine.
Bapanya yang merupakan seorang pegawai tentera Rusia bertemu dan bercinta dengan ibunya yang merupakan warga Siberia, di medan tempur. AdvertisementSelepas menamatkan persekolahan pada 1938, lelaki itu melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa Indonesia di Institut Ketimuran Moscow di Rusia.
Apabila institut tersebut dibubarkan pada 1954, Zakharov menyambung pengajiannya di Institut Hubungan Antarabangsa di bawah Kementerian Luar Kesatuan Soviet. Sebaik menamatkan pengajiannya di institut tersebut, Zakharov ditawarkan mengajar Bahasa Indonesia di institut tersebut pada 1955 kerana kecemerlangannya dan mempunyai penguasaan bahasa Indonesia yang amat baik.
Namun, beliau hanya menjadi tenaga pengajar di institut tersebut selama tiga tahun iaitu sehingga 1957. Zakharov yang amat meminati bidang penulisan dan berita kemudian menceburi kerjaya baharu sebagai wartawan dan pengarang di Novosti Press Agency yang merupakan sebuah agensi berita di Rusia.
Kagum bangsa Melayu Selain menjadi wartawan, Zakharov pernah dilantik sebagai Pegawai Penerangan Kesatuan Soviet dan beberapa jawatan lain berkaitan penerangan di Jakarta, Indonesia. Oleh sebab telah menetap agak lama dan bercampur di Indonesia, rasa kasih dan cintanya terhadap budaya dan bangsa Melayu mula berputik.
Menurut beliau, budaya Melayu yang ada di Indonesia dan Malaysia merupakan budaya yang cukup unik dan tidak mampu ditemukan di mana-mana pelosok dunia. Katanya, budaya Melayu seharusnya dikekalkan dan dipelihara oleh orang Melayu itu sendiri dan juga bangsa-bangsa lain agar keunikan yang ada mampu dilihat dan dipelajari oleh generasi baharu.
“Saya cukup kagum dengan jiwa pemimpin Malaysia yang berjaya membawa negara ini mencapai kemerdekaan dan terus maju. Apa yang dilakukan oleh pemimpin Malaysia selama ini terutamanya Tun Dr. Mahathir Mohamad, membuktikan bahawa orang Melayu yang berkulit sawo matang mampu berada sama tahap, bahkan dapat menyaingi orang kulit putih,” jelasnya.
Katanya, bangsa Melayu merupakan bangsa yang celik pemikiran dan ternyata setanding dengan cerdik pandai bangsa-bangsa lain. Jelas beliau, buktinya bangsa Melayu mampu untuk mencipta pelbagai produk bagi kegunaan masyarakat dunia ketika ini. Beliau juga menyatakan slogan Malaysia Boleh sangat bagus kerana mampu memberikan suntikan semangat yang tinggi kepada rakyat negara ini.
Katanya, antara cabaran besar yang berjaya dilakukan oleh rakyat Malaysia ialah ekspedisi ke Kutub Utara. Di samping itu, Zakharov menghargai usaha yang dibawa oleh kerajaan negara ini dalam memelihara tamadun Melayu termasuk menggabungkan seni bina Melayu dalam pembinaan bangunan-bangunan moden.
"Ini secara langsung membawa keindahan yang unik dan pemandangan yang cukup sihat di Kuala Lumpur yang merupakan antara bandar dalam taman di dunia," ujar beliau.
Menurut Zakharov, orang Rusia cukup memandang tinggi cara pentadbiran pemimpin-pemimpin Malaysia kerana berjaya membawa negara ini ke tahap sekarang. Malah, nama Malaysia dan produk-produk negara ini terutama barangan elektronik cukup terkenal di Rusia.
Katanya, situasi ini sihat untuk hubungan Malaysia dan Rusia yang kini semakin erat dari semasa ke semasa dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi dan pendidikan.
"Saya mungkin tidak mengenali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara dekat tetapi saya nampak beliau mempunyai kehebatan yang ada pada diri bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.
“Saya mengenali ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan, ketika di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi. Bagi saya, beliau telah membuat banyak perubahan selain membawa dimensi baharu kepada sistem pertahanan Malaysia.
Daripada sudut pandangan wartawan luar seperti beliau, Zakharov amat menyukai Najib dan menyifatkan Perdana Menteri sebagai seorang pemimpin yang bersikap sederhana tetapi mempunyai pengetahuan yang cukup mendalam. “Najib tidak pernah membanggakan diri seperti pemimpin lain.
Beliau sangat berkarisma dan pengetahuan yang luas tetapi orangnya sangat bersederhana. Beliau juga tidak pernah menolak ketika ingin diwawancara oleh wartawan antarabangsa," jelas Zakharov sambil memuji sistem pengangkutan di Malaysia sebagai antara yang termoden di dunia.
"Cinta" Siti Nurhaliza Satu lagi perkara yang menarik mengenai Zakharov ialah lelaki ini amat meminati penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Menurut Zakharov, dia sudah jatuh cinta terhadap keunikan suara Siti Nurhaliza ketika kali pertama mendengar nyanyian penyanyi itu dalam satu majlis sains dan teknologi di Sumatera, Indonesia.
“Saya pernah membeli album Siti Nurhaliza ketika saya bertugas sebagai pengantara dalam majlis tersebut. Semasa saya memasang lagu Widuri nyanyian Siti Nurhaliza kepada seorang rakan dari Rusia, dia terus mengalirkan air mata.
Menurut Zakharov, beliau ingin sangat melihat Siti Nurhaliza atau mana-mana artis Malaysia menjadi wakil orang Melayu untuk menyebarkan budaya Melayu yang cukup unik ini di Rusia.
Jelas Zakharov, orang Rusia sebenarnya cukup suka dan menghargai muzik klasik termasuk muzik tradisional Melayu dan ia mesti dipertahankan, walaupun muzik moden semakin berkembang.
Minat bekas kolumnis Utusan Malaysia ini terhadap bahasa dan budaya orang Melayu dapat dilihat apabila bila bersama rakan-rakannya pernah menghasilkan kamus poket Bahasa Rusia - Bahasa Melayu.
Menurut Zakharov, beliau dan rakan-rakannya kini sedang menyiapkan dan ingin menerbitkan sebuah buku tentang pemikiran yang dibawa oleh Mahathir. "Pertukaran budaya perlu dilakukan agar kita lebih mengenali budaya masing-masing.
Karya-karya hebat dari Rusia seperti buku serta karya seni perlu lebih banyak diterjemah ke dalam bahasa Melayu dan begitu juga sebaliknya,” katanya. - See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/melayu-dalam-jiwa-zakharov-1.54780#sthash.svKKPyRy.dpuf
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.