Pages

Monday, January 6, 2014

ASM Investment mahu jadi antara 10 terbaik

ASM Investment mahu jadi antara 10 terbaik 
 
Kuala Lumpur: ASM Investment Services Bhd, anak syarikat Pelaburan MARA Bhd merancang memantapkan lagi perkhidmatan dan produk pelaburan ditawarkannya untuk muncul sebagai antara 10 pengurus unit amanah terbaik Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

Pengurus unit amanah itu juga kini dalam proses akhir menukar semua unit amanah yang diuruskannya kepada patuh Syariah.
 
Langkah itu selaras dengan pelan transformasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2011-2015 untuk menjadikannya sebagai pengurus unit amanah berlandaskan Syariah pilihan utama di negara ini.

Ketua Eksekutif ASM Investment, Ameer Ali Mohamed, berkata pengurus unit amanah itu juga menyasar untuk mengurus dana amanah bernilai sehingga RM1.4 bilion menjelang hujung tahun ini.

Kini, katanya, ia menguruskan 14 dana bernilai kira-kira RM500 juta.

“Kami yakin dapat mencapai sasaran itu dengan pengenalan produk baru dan memantapkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya kepada BH ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ameer berkata, bagi tahun ini, ASM Investment bercadang mengembangkan kategori dana yang ditawarkannya dengan melancarkan produk sukuk dan pasaran wang borong sebelum pertengahan tahun ini kepada pelanggan institusi dan korporatnya.
Beliau berkata, pengurus unit amanah itu sudah menawarkan produk pelaburan berkaitan ekuiti, dana pasaran wang dan dana perlindungan prinsipal.

“Pengenalan produk baru selaras dengan usaha kami untuk mempelbagaikan produk portfolio yang ditawarkan dengan tumpuan pelaburan masih di pasaran tempatan.

Kepelbagaian produk

“Kepelbagaian produk yang ditawarkan juga menyediakan pilihan yang pelbagai kepada pelanggan kami dari segi risiko dan pulangan pelaburan yang menepati kehendak mereka,” katanya.

Selain pelancaran produk baru, Ameer berkata, ASM Invetsment juga akan memantapkan kehadirannya di pasaran unit amanah tempatan dengan meningkatkan jumlah ejennya yang aktif di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk meningkatkan jumlah ejen kepada 275 sehingga 300 orang menjelang akhir tahun ini daripada lebih 100 ejen ketika ini.

“Kami akan meningkatkan jumlah ejen yang aktif kami di seluruh negara dan pada masa yang sama akan memantapkan lagi pemahaman dan kepakaran ejen kami bagi membolehkan mereka memberi khidmat nasihat yang sewajarnya kepada pelanggan.

“Khidmat nasihat yang sewajarnya penting bagi membantu pelanggan membuat pilihan pelaburan yang menepati kehendak dan risiko pelaburan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.