Pages

Saturday, November 30, 2013

Penyamun: Gadis cedera dikelar

Seorang gadis cedera di lehernya akibat dikelar oleh seorang daripada tiga penyamun yang menceroboh rumah sewanya di Jalan Chiew Lai, Kampung Abdullah di sini pagi ini.

Kejadian pukul 11.15 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 23 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap berada di bilik utama manakala seorang rakannya sedang menonton televisyen di ruang tamu.

Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd. Kamil Sukarmi, tiba-tiba muncul tiga lelaki memakai penutup muka yang disyaki masuk menerusi pintu belakang rumah yang tidak berkunci.

"Salah seorang suspek meluru memasuki bilik utama dan cuba mengikat tangan mangsa namun mangsa dipercayai melawan dan dikelar dengan senjata tajam dipercayai pisau di bahagian lehernya.

"Mangsa yang menjerit telah menyebabkan suspek dan dua rakannya panik dan melarikan diri menaiki kenderaan yang belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi di sini.

Kata beliau, mangsa tinggal bersama dua lagi rakannya di rumah tersebut dan semasa kejadian hanya mereka berdua berada di rumah manakala seorang lagi keluar bekerja.

Menurut Mohd. Kamil, motif serangan serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan tanpa senjata api.

"Usaha untuk mengenal pasti suspek sedang giat dijalankan dan saya nasihatkan orang ramai agar berhati-hati serta mengunci pintu ketika di rumah," katanya.

Menurut rakan mangsa yang enggan dikenali, dia bersyukur kerana dapat menghantar teman serumahnya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Segamat dengan bantuan teman lelakinya.

"Kebetulan tidak lama selepas kejadian, teman lelaki saya tiba untuk menjemput saya ke Kuala Lumpur lalu kami menghantarnya ke hospital," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.