Pages

Saturday, November 30, 2013

Aliran tasawuf terpesong tanpa ilmu fiqah

Usaha dekatkan diri kepada Illahi perlu mengikut neraca syariat


Ilmu yang benar akan membawa kita lebih mengenali seterusnya ke tahap lebih dekat dengan Allah SWT. Di sinilah bermulanya lonjakan pengiktirafan Allah SWT terhadap seseorang hamba.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Diangkatkankan darjat orang yang beriman dan mereka yang berilmu pula, ada beberapa darjat yang khusus.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu bermanfaat ialah ilmu yang mengunjurkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir daripada melakukan maksiat serta takut kepada Allah SWT.

Mereka juga meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat, mendampingi orang awam, memuliakan kekasih Allah SWT dalam kalangan orang berilmu dan menyibukkan diri kepada apa yang lebih diutamakan.

Kita sering didedahkan dengan ilmu tasawuf atau ilmu tarekat dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, ilmu tasawuf atau tarekat mestilah dipertimbangkan mengikut neraca syariat. Ajaran yang mendorong kepada sifat pemencilan diri yang meragukan serta menyempitkan ibadat kepada Allah SWT, maka ia perlu perhatian serius.

Sesuatu bercanggah dengan syariat adalah ilmu yang menyimpang daripada jalan-Nya. Jika ada yang mendakwa kita tidak mampu menyesatkan sesiapa melainkan Allah SWT, namun garis panduan telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya adalah ukuran untuk menilai sesuatu ajaran.

Banyak ilmu dan pelajaran yang menyimpang daripada landasan sebenar. Nabi Isa berkata:
“Alangkah banyaknya pohon kayu, tetapi tidak semuanya berbuah; alangkah banyaknya buah-‘buahan, tetapi tidak semuanya baik;, alangkah banyaknya ilmu, tetapi tidak semuanya berfaedah.”
Buka pintu perdebatan

Ketika ini kita dapati ramai menutup pintu amal sebaliknya membuka pintu ‘jidal’ (perdebatan) dengan cara yang buruk. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berbangga dengan ilmu yang ada.

Namun, mereka yang benar-benar berada pada aliran tasawuf akan berusaha menutup pintu jidal itu dengan membuka pintu amalan atau pengabdian melalui ibadat dengan sebanyak-banyaknya.

Imam al-Ghazali dan pengarang sufi lain mentafsirkan pengertian ilmu, fadilat ilmu, fadilat mempelajari ilmu dan fadilat mengajar serta menyiarkan ilmu pengetahuan hendaklah mengikut apa yang diambil daripada al-Quran, hadis, kias dan ijmak ulama. Ditambah pula kisah hidup sahabat serta ahli sufi yang penuh dengan pengajaran dan perangsang.

Ilmu tasawuf dalam sejarah penyebaran, pengajaran dan penghayatannya disebut juga dengan pelbagai istilah lain seperti ilmu ihsan, iman, batin, hati, khusyuk, tarekat, hikmah, i sirr (rahsia), suluk (jalan), adab atau ilmu akhlak.

Sebahagian ulama berpendapat ilmu tarekat adalah jalan yang membolehkan dan menyampaikan seseorang mukmin mencapai darjat ihsan iaitu satu daripada tahap dalam tasawuf. Ihsan juga disebut dengan istilah tasawuf atau suluk.

Namakanlah ihsan itu dengan nama apapun, semuanya adalah perkataan yang berlainan sebutannya tetapi membawa maksud yang sama iaitu takut kepada Allah SWT.

Sahabat Baginda SAW mempunyai ciri ahli sufi yang dapat dijadikan teladan dalam semua aspek iaitu syariat, hakikat, akhlak, akidah dan ibadat. Mereka tidak digelar sebagai sufi kerana gelaran sahabat itu menjadi gelaran terunggul serta mengatasi semua gelaran lain.

Maka Islam dapat dilihat daripada sudut ilmu merangkumi tiga jenis ilmu iaitu ilmu fiqah, tauhid dan tasawuf. Ketiga-tiga itu adalah ilmu asas dalam Islam. Menurut ahli sufi, ilmu wajib atau fardu ain hendaklah dipelajari dan diamalkan dengan ilmu tauhid, fiqah dan tasawuf.

Ia juga disebut ilmu syariat, ilmu tarekat (jalan menuju Allah SWT), ilmu hakikat (mengenal dengan cara lebih tepat) dan ilmu makrifat (jauh ke dalam semua ilmu terdahulu). Sebab itu ilmu tasawuf seperti yang kita ketahui dikenali juga sebagai ilmu hikmah ketuhanan.

Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai ihsan lalu Baginda menjawab: 
“Ihsan adalah melakukan ibadat seolah-olah kamu melihat Allah SWT. Jika kamu tidak dapat melihat-Nya, maka Dia sentiasa melihat akan kamu.”
Ulama terkenal, Sheikh Najm al-Din yang juga ulama sufi berkata, syariat itu umpama sebuah kapal, manakala tariqah pula umpama lautan dan hakikat itu seperti mutiara. Sesiapa yang mahukan mutiara itu, mestilah menaiki kapal kemudian ia belayar mengharungi lautan itu.

Menebalkan iman dalam hati

Kemudian baru ia sampai kepada mutiara. Sesiapa yang meninggalkan urutan perjalanan ini, ia tidak akan sampai kepada mutiara itu. Tujuan bertarekat untuk menebalkan iman dalam hati supaya tiada yang lebih indah dan dicintai selain Allah SWT.

Kecintaan itu akan menyebabkan kita terlalu asyik sehingga melupakan diri dan dunia. Dalam perjalanan meraih tujuan itu, manusia perlu ikhlas, bersih segala amal dan niatnya, muraqobah (mendekatkan diri dengan Allah SWT) dan merasakan dirinya sentiasa diawasi Allah SWT.

Mereka yang mengamalkan ilmu tasawuf dikenali sebagai ahli sufi, manakala yang mengamalkan syariat dipanggil ahli fikah. Perlu diingat bahawa mereka yang cuba untuk masuk aliran tasawuf, mesti mengetahui selok-belok ilmu fiqah.

Tanpa ilmu fiqah, akan memesongkan aliran tasawuf itu sendiri. Setelah kedua-dua ilmu ini dipelajari, maka ruang pertelingkahan dapat dikurangkan. Justeru, kita dapat merealisasikan tuntutan Baginda SAW supaya mengurangkan ruang perdebatan yang kurang memberi faedah.
Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawaduk sehingga tidak ada seseorang pun berasa dirinya megah (lebih bangga diri) daripada orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain.” (Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.