Pages

Sunday, June 2, 2013

CIRI ULAMA SEBENAR

Gelaran ulama adalah gelaran yang mulia di dalam Islam. Umat Islam akhir zaman tidak boleh berpedoman dalam urusan agama melainkan kena kembali dan merujuk kepada para ulama apabila inginkan fatwa bagi menyelesaikan kekeliruan dalam banyak urusan dan masalah agama.

Apakah untuk mendapat mendapat gelaran ulama perlu menduduki peperiksaan tertentu? Bila mana lulus peperiksaan tersebut maka layak mendapat kerusi ulama? Apakah gelaran ulama itu perlu mempunyai pengikut yang ramai dan pengikutnya pula memberikan gelaran itu? Atau apakah kelayakan gelaran ulama itu penampilannya sentiasa berjubah dan berserban?

Tidak kurang juga persolan yang bermain di minda kita apakah ciri-ciri seorang ulama itu mestilah belajar di universiti dan mendapat PHD? Atau yang pandai membuat lawak terhadap hukum agama dan para pendengarnya bergelak ketawa dengan penjelasannya? Atau mereka yang pandai berkata-kata dalam memanipulasi ayat al-Quran dan hadis Nabi? Dan tidak kurang juga barangkali ada sebahagian kaum muslimin menganggap seseorang yang berani menentang pemerintah, memakinya dan mendoakan kehancuran pemerintah itu dianggap ulama?

Ironinya, semua persoalan tersebut pada pemahaman sebahagian kaum muslimin dalam Negara kita hari ini beranggapan itulah ciri-ciri ulama sebenar dan merekalah yang layak dimartabatkan dengan gelaran ulama.

SIAPAKAH ULAMA SEBENAR?

Namun, Nabi saw pernah berkata bahawa : “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi. Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bahagian yang banyak.” (Hadis Tirmidzi, Ahmad, Ad-Darimi, Abu Dawud. Dishahihkan oleh Al-Albani)

Hadis Nabi di atas jelas kepada kita bahawa selepas ketiadaan Nabi, maka para ulamalah yang akan mewarisi tugas dan tanggungjawab yang telah dilakukan oleh Nabi. Para ulama adalah pewaris nabi, manakala ulama yang sebenar (rabbani) mestilah mewarisi ilmu seperti apa yang Nabi ajarkan tidak boleh menambah atau mengurangkan dalam urusan agama apa-apa yang telah disampaikan oleh Nabi saw.

Jika kita perhalusi perkataan di kalangan para ulama salafus soleh pula dalam memberikan ciri-ciri ulama dan siapakah yang layak mendapat gelaran ulama ini nesacaya apa yang kita sangkakan dengan pemahaman dari persoalan di atas pasti meleset sama sekali.

Seperti perkataan Ibnu Rajab Al-Hambali RH, beliau mengatakan : “ Ulama ; mereka adalah orang-orang yang tidak menginginkan kedudukan, dan membenci segala bentuk pujian serta tidak menyombongkan diri atas seorang pun”.

Al-Hasan mengatakan: “Orang faqih adalah orang yang zuhud terhadap dunia dan cinta kepada akhirat, bashirah (berilmu) tentang agamanya dan senantiasa dalam beribadah kepada Rabbnya.” Dalam riwayat lain: “Orang yang tidak hasad kepada seorang pun yang berada di atasnya dan tidak menghinakan orang yang ada di bawahnya dan tidak mengambil upah sedikitpun dalam menyampaikan ilmu Allah.” (lihat: Al-Khithabul Minbariyyah, jilid 1 ms 177)

Manakala perkataan Syeikh Abdus Salam bin Barjas RH lebih jelas dalam menjelaskan ciri- ciri ulama rabbani seperti katanya : “Orang yang layak untuk disebut sebagai ulama jumlahnya sangat sedikit sekali dan tidak berlebihan kalau kita mengatakan jarang. Yang demikian itu karena sifat-sifat ulama rata-ratanya tidak akan terwujud pada diri orang-orang yang menyandarkan diri kepada ilmu pada masa ini. Bukanlah dinamakan ulama bila sekadar fasih dalam berkata-kata atau pandai menulis, orang yang menyebarluaskan karya-karya atau orang yang mentahqiq kitab-kitab yang masih dalam tulisan tangan. Kalaulah ulama diukur dengan cara ini, maka terlalu banyaklah ulama itu. Akan tetapi penggambaran seperti inilah yang banyak tertanam di fikiran orang-orang yang tidak berilmu. Oleh karena itu banyak orang tertipu dengan kefasihan seseorang dan tertipu dengan kepandaian mengarang, padahal ia bukan ulama. Ini semua menjadikan orang-orang takjub. Ulama hakiki itu adalah yang mendalami ilmu agama, mengetahui hukum-hukum Al -Quran dan Sunnah. Mengetahui ilmu usul fiqh seperti nasakh dan mansukh, mutlak, muqayyad, mujmal, mufassar, dan juga orang-orang yang mengkaji ucapan-ucapan ulama salaf terhadap apa yang mereka perselisihkan.” (lihat kitab : Wujubul Irtibath bi ‘Ulama, hal. 8)

PEMBERIAN GELARAN ULAMA

Apa yang dapat difahami, tidaklah semudah yang disangka untuk kita hendak menentukan siapakah ulama rabbani tersebut sekiranya kita memahami maksud perkataan ulama salaf di atas. Hal ini kerana yang paling layak untuk menentukan seseorang itu ulama sebenar mestilah ulama juga bukan orang awam atau pengikutnya. Umpamanya, Imam Malik RH menjadi ulama rabbani bukan diberikan oleh muridnya tetapi imam Malik menjadi ulama kerana dia diiktiraf lebih dari 80 orang ulama di zamannya. Begitu juga Imam Syafie menjadi ulama bukan diberikan oleh muridnya tetapi Imam Malik dan para ulama yang lebih senior darinya mengiktiraf gelaran ulama untuknya.

Jika masyarakat awam yang memilih siapakah yang mereka ingin tabalkan sebagai ulama supaya mereka boleh mengikutinya tanpa neraca ilmu dari ulama yang sebenar, dikhuatiri kesesatan dalam beragama itu lebih besar kemungkinannya dari kebenaran yang hendak dicari.

BEZA ULAMA SEBENAR DAN ULAMA JAHAT

Kerana di samping ulama rabbani (sebenar) terdapat di sana juga para ulama su’ (jahat). Bukanlah ulama rabbani sekiranya ia sering berjenaka dalam menyampaikan ilmu agama melainkan ia adalah seorang panglipurlara. Nabi memberi ancaman dengan berkata : “Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !” (Sahih, Hadis Riwayat Abu Daud)

Bukanlah ulama rabbani jika hati dan mulutnya sering mendoakan kehancuran dan menentang pemerintah Islam melainkan ia seorang ulama khawarij. Bukanlah juga dapat digelar ulama rabbani seandainya ia hanya pandai bernyanyi dengan diikuti dengan alat-alat muzik dalam mendakwahi manusia melainkan ia adalah seorang ruwaibidhah.

Maka, sewajarnya kita semua berhati-hati dalam mengikuti seseorang yang disangka ulama hanya melalui penilaian mata kasar kita, boleh jadi mata kita mudah tertipu dengan pakaian atau watak seseorang. Tetapi hakikat seseorang ulama itu sentiasa mengembalikan segala urusan agamanya mengikut al-Quran dan sunnah sesuai dengan manhaj sahabat dan salafus soleh.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.